Saturday 25 November 2017

BAHAYA MAKAN SUAP


Rasuah adalah perbuatan tidak bermoral yang amat membahayakan keselamatan negara, keharmonian masyarakat dan kelicinan urusan kehidupan seharian.  Negara akan hancur dan huru hara jika amalan rasuah berleluasa. 

Banyak negara jatuh ke tangan kuasa asing disebabkan berleluasanya amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan awam.  Kerajaan menjadi boneka kepada pihak yang menyogok rasuah untuk mendapat sesuatu.

Kerajaan menanggung kerugian akibat rasuah yang mana kos pentadbiran meningkat, sedangkan tahap perkhidmatan kepada rakyat semakin rendah.  Pendapatan kerajaan juga menurun akibat bayaran yang sepatatnya diterima telah dinafikan penerima dan pemberi rasuah. 

Perbuatan rasuah atau makan suap bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat.  Amalan tersebut telah dikesan berlaku selewat-lewatnya 4,000 tahun lalu atau lebih awal daripada itu.  Kisah dan hukum mengenai rasuah telah disebut dalam Kitab Perjanjian Lama Injil. 

Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang tidak sebenarnya. 

Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan sebagai mengabuli mata orang ramai sebagai menghalalkan perbuatan itu.

Sesiapa dilantik menjalankan sesuatu urusan dan dibayar gajinya oleh pihak berkuasa, perlu melakukan tugas tersebut tanpa mengharapkan bayaran daripada pihak lain.  Apa yang dilakukan sudah memadai dengan gaji yang diterima daripada kerajaan atau majikan.   

Pengertian rasuah bukan terhad kepada menerima wang sogokan sahaja.  Segala bentuk yang mempunyai ‘nilai’ seperti kenaikan pangkat, layanan istimewa, hubungan seks, hiburan dan jamuan juga sebahagian daripada habuan rasuah. 

Sesuatu yang mempunyai hubung kait dengan rasuah melibatkan satu pelanggaran etika kerja.  Pekerja menerima rasuah mengetepikah aturan tugas yang diamanahkan kepadanya.  Dia tidak melakukan sesuatu yang hak dan mewujudkan masalah dalam pentadbiran negara.

Perbuatan rasuah mudah berlaku di kalangan pekerja melakukan penguatkuasa dan urusan secara langsung dengan orang ramai.  Individu melakukan kesalahan sanggup mengeluarkan sedikit wang untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.  

Sistem pentabiran mengamalkan birokrasi meletakkan pegawai mempunyai kuasa penuh terhadap sesuatu urusan yang dikendalikan yang menyebabkan amalan rasuah mudah berlaku. 

Secara amnya pelanggan tidak suka kepada sistem birokrasi yang mengambil masa dan banyak peraturan.  Sebagai jalan mudah pelanggan memberi sogokan supaya urusan dimudahkan.  Pegawai yang berkuasa memenuhi keinginan pelanggan itu mendapat habuan lumayan.

Pegawai menerima rasuah didorong perasaan ingin mendapat wang lebih.  Keperluan wang yang mendesak disebabkan cara hidup mewah atau berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan ramai pegawai terjebak amalan rasuah.   

Setiap pekerja yang dilantik tertakluk kepada peraturan tugas dan memastikan mutu kerja yang memuaskan.  Kecemerlangan pekerja menjadi lambang kepada kejayaan kerajaan dan organisasi diwakili pekerja menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Hal demikian memerlukan setiap pekerja menanam azam dan iltizam akan melakukan tugas dengan keupayaan terbaik.  Matlamat itu hanya tercapai jika pekerja mengikut peraturan kerja, jujur, amanah dan melakukan yang terbaik.     

Sewajarnya setiap pekerja bersyukur diberikan pekerjaan dan berpeluang untuk berkhidmat kepada negara.  Gaji yang diterima di atas kerja dilakukan hanya dianggap halal dan diberkati jika kerja tersebut dilakukan seperti mana ditugaskan.

Pekerja tidak menjalankan tugas dengan sempurna juga dianggap melakukan rasuah, yakni tidak amanah.  Amalan mencuri tulang, lepas tugas dan tidak bersungguh-sungguh melakukan tugas menyebabkan mutu perkhidmatan berada pada tahap rendah. 

Pekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna, tetapi menerima gaji penuh sebulan, samalah telah mencuri.  Dia mengambil gaji yang tidak sepadan dengan apa yang dilakukan.