Monday 29 January 2018

MALU MENGAKU RAKYAT MALAYSIA

Satu ciri atau tanda kesetiaan rakyat kepada negara ialah cinta dan bangga dengan negaranya. Maka, jiaka mana-mana individu yang malu untuk mengakui menjadi rakyat Malaysia, itu tanda dia tidak sayang kepada Malaysia.

Jika malu mengaku rakyat Malaysia, elok cari dan minta kerakyataan negara lain yang dirasakan lebih baik berbanding Malaysia. Negara tidak berkehendakan akan rakyat yang malu mengaku sebagai warganegaranya.

Kalau sudah tidak layak digelar warganegera, lebih-lebih lagi tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada negara ini.

Seorang pemimpin tanpa semangat patriotisme hanya memberikan kesan negatif kepada negara sahaja. Kepemimpinan individu itu juga bakal dipersoal kerana mentadbir tanpa rasa cintakan kepada negara.

Jika seseorang itu tidak mempercayai negaranya, tetapi pada masa sama mahu memerintahnya, sudah pasti menimbulkan kebimbangan terutama bagaimana individu itu mahu menjalankan tanggungjawab serta menyatakan pendirian terhadap isu negara.

Tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan nikmat bernegara, malah ramai lagi individu di dunia ini sedang mencari negara sebagai tempat berlindung.

Ramai yang berhasrat menjadi rakyat kepada negara Malaysia. Kalau tidak dapat jadi warganegara, sudah satu kebanggan dan rasa bersyukur dapat tinggal di Malaysia.

Malang sekali, ada rakyat Malaysia malu mengaku menjadi warganegara Malaysia. Amat memalukan dan menampakakan sikap tidak bersyukur.

Wednesday 24 January 2018

APAKAH HUKUM MAIN CATUR


Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai permainan catur. Ada ulama mengatakan haram dan setengahnya pula mengatakan harus.

Pendapat mengharuskan permainan catur termasuklah Dr Yusuf al-Qardawai. Pendapat Dr. Yusuf Al-Qordhawi dalam kitab Halal dan Haram seperti berikut: “Di antara permainan yang sudah terkenal ialah catur. Para ahli fiqh berbeza pendapat tentang hukumnya, antara harus, makruh dan haram.

Mereka yang mengharamkan beralasan dengan beberapa hadis Nabi SAW. Namun para pengkritik dan penyelidiknya menolak dan membatalkannya. Mereka menegaskan, bahwa permainan catur hanya mulai tumbuh di zaman sahabat. Oleh kerana itu setiap hadis yang menerangkan tentang catur di zaman Nabi adalah hadis-hadis batil (daif).

Para sahabat sendiri berbeza dalam memandang masalah catur ini. Ibnu Umar menganggapnya sama dengan dadu. Sedang Ali memandangnya sama dengan judi. (Mungkin yang dimaksud, iaitu apabila diiringi dengan judi). Sementara ada juga yang berpendapat makruh.

Dan di antara sahabat dan tabiin ada juga yang menganggapnya harus. Di antara mereka itu ialah Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Sirin, Hisyam bin Urwah, Said bin Musayyib dan Said bin Jubair.

Sesungguhnya majoriti ulama hari ini berpendapat bermain catur adalah harus.  Ini memandangkan catur dilihat dapat membantu melatih kecerdasan minda dan strategi.

Sunday 21 January 2018

BERAMAL DENGAN ISLAM


Beramal dengan Islam ertinya kita melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam hukum syariat yang diturunkan oleh Allah.

Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara sempurna.

Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat sesuatu amal soleh. 

Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat. 

Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah SAW Mengadakan sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas untuk memandu manusia.

Para ulama berijtihad mengeluarkan hukum, termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi SAW akan menyebabkan manusia mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.

Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan mengikuti petunjuk Nabi SAW mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan sebagai amal soleh.

Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan menghancurkan nilai kebaikan tersebut.

Gejala-gejala seperti riak, takabbur, ujub dan lain-lain yang menjadi penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita. 

Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, "(Manusia menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh" (Surah at-Tiin: 6)

Apabila kita telah dapat memandu hidup kita berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat.

Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan merugikan. 

Tidak ada seorang pun dapat mencapai kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman.

Apaalah ertinya kita berpenat lelah dalam perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat.

Sunday 14 January 2018

CARA KERJA TANAM PADI DAHULU DAN KINI

Dahulu kerja-kerja menanam padi sehinggalah menuai dan proses menghasilkan beras dilakukan secara menual atau tenaga manusia sepenuhnya. Sebab itu dikatakan sebiji padi atau beras itu amat bermakna.

Pesan orang-orang tua, jangan tinggalkan walaupun sebiji nasi di pinggan. Jangan membazir kerana untuk lahirnya sebiji nasi amat sukar. Begitu juga dengan rezeki lain. Jauhkan sikap membazir dan tidak bersyukur.

Pada masa dahulu, hendak menabur benih kena tunggu musim hujan. Sekarang ini tarikhnya telah ditetapkan oleh yang menyediakan sistem perairan seperti KADA di Kelantan dan MADA di Kedah.

Dahulu, selepas menabur kena tunggu anak semai membesar dan kemudian kerja-kerja mencabut anak semaian untuk dipindahkan ke tapak bendang atau sawah.

Anak padi akan disemai kembali apa yang dipanggil kerja  'cedung' menggunakan 'kaki kambing' atau cara biasa 'sempit' jari membenamkan akar anak padi ke dalam tanah.

Ketika proses cedung inilah pokok padi ditanam dalam barisan. Setiap rumpun padi mengandungi 3 atau 4 pokok anak padi.

Lain sekarang ini, selepas proses menabur benih, anak padi yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh sehingga besar dan berbuah tanpa perlu diubah ke tempat baru. Jadi, tidak banyak tenaga yang diperlukan.

Apabila buah padi masak, pada masa dahulu, kena pula buat kerja menuai. Ada dua cara biasa dilakukan.

Pertama cara dikerat tangkai dengan menggunakan ketam. Himpunan tangkai padi akan diikat menjadi satu 'gemar'. Tuaian cara ini biasanya padi itu akan disimpan dengan tangkainya agar lebih tahan.  

Kedua cara dikerat batang padi dari bawah. Bahagian batang digunakan untuk dipegang ketika proses 'memukul' tangkai di tempat khas untuk meleraikannya.

Kedua-dua cara itu tidak lagi dilakukan. Sebaliknya sekarang ini guna jentera penuai padi. Cepat dan mudah.

Dahulu, padi yang telah 'dipukul' akan masukkan ke dalam guni dan dibawah pulang. Melalui batas sawah sehingga ada sejauh 1 atau 2 kilometer sebelum sampai di rumah.

Padi itu perlu dijemur segera untuk mengelak rosak, terutama padi yang basah akibat hujan atau terendam dalam air kerana pokok padi rebah akibat diitup angin. Padi dijemur atas tikar atau belulang lembu.

Sekarang, padi dituai menggunakan jentera penuai akan terus dibawa ke kilang untuk disimpan atau terus dimesin untuk menghasilkan beras. Dahulu padi perlu ditumbuk atau dikisar untuk menanggalkan kulit padi sebelum dipanggil beras.

Tuntasnya, duhulu dan kini jauh berbeza.

Saturday 13 January 2018

KURANGKAN MAKAN MEE SEGERA ELAK KESAN BURUK

Rakyat Malaysia gemar makan mee segera. Perisa mee segera memang menarik selera. Perisanya macam-macam jenis yang memberi banyak pilihan kepada peggemarnya.

Tambahan pula cara penyediannya mudah. Panaskan air dan masukkan mee segera bersama perencah yang disediakan. Tunggu beberapa minit terus dapat makan.

Pengedaran atau penjualan mee segera dibenarkan. Tidak salah makan mee segera. Apa dibimbangi adalah kesan buruk jika terlalu kerap makan mee segera sehingga menjadi makanan asasi.

Di dalam mee segera dan perencahnya terdapat bahan yang mendatangkan kesan buruk jika diambil secara berteruskan.

Antara kandungan yang mungkin terdapat dalam mee segera pilihan anda adalah:
- Kalsium sulfat - kapur paris.
- Asid tartarik - bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.
- Kalsium oksida - digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.
- Tertiary butylhydroxyquinone (TBHQ) - produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).
- BHT- risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal
- Propyl gallate - satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma.
- Pentasodium triphosphate - bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.
- Propylene glycol - pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.
- Polydimethylsiloxane - digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Penggunaan bahan-bahan itu memang dibenarkan dalam makanan mengikut piawaian antarabangsa. Namun, jika dimakan terlalu kerap, dan ditambah pula cara hidup tidak sihat, kesan keburukannya menjadi lebih ketara.

Jadi, langkah bijak untuk mengelak kesan buruk akibat makan mee segera ialah kurangkan pengambilannya dalam kadar satu atau dua kali seminggu sahaja.

Atau lebih baik jika tidak makan langsung mee segera. Pilihlah makanan lebih sihat sebagai menu harian anda.

Friday 5 January 2018

OPS GUBIR 2 - SEJARAH PENGORBANAN TENTERA

Keamanan Malaysia tidak diperoleh tanpa pengorbanan generasi terdahulu, terutama sekali pasukan keselamatan terdiri tentera, polis dan pasukan bantuan lain. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi melaksanakan misi mengamankan negara.

Banyak peristiwa pertempuran dan operasi keselamatan yang mengorbankan nyawa anggota keselamatan. Antara kisah pengorbanan besar anggota keselamatan ialah dalam melaksanakan Ops Gubir 2.

Ops Gubir 2  berlaku pada tahun 1976, iaitu satu operasi khas mencari dan memusnah jerangkap samar kerana sebelum ini pasukan keselamatan selalu terkena jerangkap samar dan telah ramai yang terkorban.

Panglima Markas 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis diserang. Maklumat diperoleh daripada anggota musuh yang menyerah diri menyatakan tentang kewujudan terowong bawah tanah.

Gerakan ini melibatkan anggota Pasukan Gerakan Khas (Komando). Dari Kem Gubir ke kawasan operasi mereka menggunakan helikopter NURI, mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke kawasan sempadan. 
 
Semua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah 'rapelling' dan 'winching' kerana kawasan itu tiada tempat pendaratan heli (Landing pad - LP).

Komando yang terlibat seramai lebih kurang 60 orang. Turut diaturgerak ialah Tim Jurutera sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat LP.

20 Apr 1976 – Anggota diaturgerak ke kawasan opeasi menggunakan NURI. Bagaimanapun, percubaan pertama gagal apabila sebelum anggota didaratkan, mereka diserang pengganas komunis.

Pengganas menembak bertalu-talu ke arah pesawat. Cubaan pertama terpaksa dibatalkan dan pesawat berpatah balik.

Percubaan kedua dilakukan dengan diiringi pesawat Allouette yang berperanan sebagai penembak dari udara. Tembakan dari Allouette sebagai tembakan perlindungan semasa anggota turun menggunakan tali dari NURI.

Walaupun diberikan tembakan perlindungan, musuh tetap melepaskan tembakan dari kedudukan terlindung di bawah. Tanpa pilihan, sebaik mendarat, anggota terus mendapat perlindungan dan membalas tembakan.

Anehnya, semasa tentera hebat memberi tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’. Tiba-tiba semua tembakan terhenti. Suasana itu menjadi tanda tanya kepada anggota tentera yang masih siap sedia untuk membalas tembakan dan jika sesuai akan membuat serang balas.

Agak lama anggota tentera dalam siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Dalam pada itu, NURI kembali ke kawasan itu untuk menurunkan anggota lain, termasuk Tim Jurutera.

Berdasarkan anggaran Tim Jurutera, kawasan itu mempunyai lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam.

Siapapun mendengar angka tersebut pasti naik gerun. Bayangkan dengan jerangkap samar sebanyak itu, setiap langkah anggota adalah bagaikan menempah maut. Silap langkah, pasti akan ada anggota badan yang bercerai atau nyawa yang melayang.

Peluh jantan menitik di wajah masing-masing dan kegusaran terbayang. Adakah ini kali terakhir? Adakah langkah seterusnya yang akan diambil akan jadi langkah terakhir di muka bumi ini?

Namun mengenangkan tugas dan sudah sedia maklum risikonya, masing-masing menguatkan semangat. Beg digalas, senjata dipegang dalam keadaan sedia, dan dengan berhati-hati melangkah satu demi satu.

Setiap nafas dihembuskan diiringi syahadah. Risaukan jerangkap samar satu hal, risaukan musuh yang mungkin tiba-tiba munculpun satu hal hagi. Maklumlah, kawasannya berhutan tebal. Manakan mungkin mata anggota dapat melihat semua benda pada masa yang sama.

Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan semua anggota pasukan berjalan dan tidur serta berehat dengan selamat.

Keupayaan dan kemahiran Tim Jurutera memang terbaik melakukan tugas dengan jayanya.  Bab jerangkap samar, serah saja pada geng jurutera. Kemahiran mereka memang tak dapat dipertikaikan.

Semasa Tim Jurutera memusnahkan atau membersihkan jerangkap samar, anggota lain memberi perlindungan dari serangan musuh yang mungkin muncul tiba-tiba.

Untuk operasi yang dijangka berlangsung beberapa hari itu, makanan dihantar dari Kem Gubir. Kotak makanan digugurkan melalui NURI.

23 Apr 1976 – Satu Tim Jurutera tambahan dari Kem Sangro, Taiping dihantar untuk membantu tugas membersihkan jerangkap samar di kawasan itu. Anggota tambahan itu diharapkan dapat membantu dan mempercepatkan urusan pembersihan jerangkap sama itu.

Hari pertama membuat proses pembersihan semuanya berjalan lancar dan selamat. Pada hari kedua, nasib malang menimpa kumpulan pembersih jerangkap samar.  Dua anggota terpijak jerangkap samar mengakibatkan putus kaki. Manakala seorang anggota berada berhampiran cedera teruk di tangan.

Mendengar bunyi berdentum dan melihat asap berkepul tentunya mengejutkan semua anggota. Kemudian diikuti melihat tubuh rakan yang sebahagian anggotanya telah hancur diiringi darah membuak keluar, pasti menggongcang keyakinan diri.

Anggota yang cedera diberi bantuan rakan yang sekadar tahu menaburkan morfin di tempat luka untuk menahan sakit, serta membungkus kecederaan dengan pembalut medan yang paling asas.

Usaha lain mampu dilakukan ialah meriba dan memberi 'keselesaan' dan 'keyakinan' kepada mangsa.

Laporan kecederaan dihantar ke Markas Tektikal dan minta bantuan NURI untuk membawa keluar mangsa. Ketibaan NURI bukan dalam tempoh lima atau 10 minit. Masa lebih lama diambil.

Detik menanti ketibaan NURI untuk membawa mangsa keluar mendapat rawatan lebih baik satu pengalaman menyanyat hati setiap anggota yang berada bersama-sama mangsa.

Mangsa merintih kesakitan, sedangkan rakan-rakan tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan sekadar terus menberi keyakinan dan mengingatkan agar mengucap. Keadaan semakin meruncing apabila darah semakin berkurangan dalam badan.

Hati mana tidak meruntun sedih mendengar rintihan itu. Tambah-tambah lagi memikirkan nasib itu mungkin terkena pada diri sendiri. Mungkin nasib akan dialami nanti lebih teruk dari itu atau terus meninggal dunia.

Pada masa sama, anggota lain terpaksa berkawal memerhati jika ada musuh menyerang. Mereka juga terpaksa membuat 'pembersihan' dari gangguan musuh bagi membolehkan mangsa dinaikkan ke NURI dengan selamat.

Dan saat melihat mangsa diangkut pergi, masing-masing hanya mampu menitipkan doa. Semoga tak ada ibu akan kehilangan anaknya dan tak ada anak kehilangan ayahnya.

Sayup-sayup bingit NURI hilang, itu tidak menghilangkan semangat anggota yang masih perlu meneruskan misi. Kesedihan perlu dilenyapkan segera. Anggaplah tiada apa-apa yang terjadi, melainkan satu tugas yang perlu dilaksankan.

Jika, ada anggota tenera cedera atau meninggal, itu menjadi azimat kepada rakan-rakan lain untuk memburu musuh yang menyebabkan rakan mereka tercedera. Hangat darah yang tumpah menjadi pembakar semangat kepada yang lain.

24 Apr 1976 – Pada petang itu, persoalan anggota tentang bagaimana kumpulan musuh tiba-tiba ghaib pada pertempuran di hari pertama terjawab. Mereka telah berjaya memperoleh satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut. Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand.

Disebabkan penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya itu juga merupakan penemuan pertama dalam sejarah TDM, maka menjadi satu tugas Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut.

Maka, Tim Jurutera meneruskan tugas, manakala anggota Komando memberikan perlindungan kawasan. Dalam beberapa keadaan, anggota Komando yang mempunyai kepakaran juga turut membantu usaha menjejak terowong itu.

Tim Jurutera menjumpai pintu masuk ke terowong itu dan memulakan tugasan membersih terowong setelah mendapat kebenaran pegawai atasan. Pertama kali dalam sejarah ATM, pembersihan terowong ala Vietcong dilaksanakan.

Alhamdulillah, kerja pembersihan diteruskan hingga tamat sebelah petang tanpa insiden.

25 Apr 1976 – Pada awal pagi, Tim Jurutera memulakan pembersihan dalam terowong kedua. Untuk tujuan pemantauan kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan, Tim Jurutera bersama anggota Komando sebagai pengiring turun ke terowong mengikut tangga.

Sebelum itu, mereka bernasib baik dapat mengesan beberapa jerangkap samar yang dirangkaikan dengan jarangkap samar induk. Jika meletup, mungkin semua di dalam kumpulan terkambus terus.

Setelah melalui lorong utama, mereka menjumpai 2 ruang seolah-olah bilik. Kedudukan ruang tersebut berselang seli satu di kanan dan satu ke kiri. Ada beberapa pintu atau laluan lain selain daripada pintu terowong yang digunakan itu.

Di dalam bilik 1, terdapat bahan makanan (dipercayai ianya adalah bilik menyimpan makanan). Di dalam  ruang kedua pula terdapat perca-perca kain yang berterabur. Mungkinan bilik itu digunakan sebagai bilik jahitan pakaian .

Lebih kurang 5 ke 10 minit penggeledahan dilakukan penuh teliti dengan bantuan 'Mine Detector (MD) dan segalanya berjalan lancar. 

Langkah diteruskan. Tiba-tiba MD berbunyi menandakan ada logam yang mungkin jerangkap samar dikesan. Namun, melalui pemeriksaan didapati punca MD berbunyi kerana di tempat itu terdapat kelongsung peluru telah digunakan.

Lalu, mereka terus melangkah. Selang beberapa langkah sahaja bergerak, satu letupan bergema ...Booooom!!!!!!,  diikuti asap yg amat tebal!

Masing-masing panik dan bertanya siapa yang kena. Kemudian, terdengar suara menjerit 'Tuan... saya kena tuan", sekaligus mengenal pasti mangsa.

Nasib baik, letupan itu tidak menyebabkan tanah runtuh yang menyebabkan mereka tertimbus. 

Apapun, letupan itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan, tetapi keadan kelam kabut dengan keadan terowong dipenuhi asap yang menerobos hidung dan memedihkan mata.

Mangsa ditarik ke luar sehingga ke permukaan terowong. Dalam keadaan terowong gelap, mereka meraba-raba laluan. Nasib baik laluan itu telah selamat atau diperiksa semasa masuk.

Setelah berjaya naik ke permukaan, di dapati muka dan perut mangsa penuh dengan darah. Yang lain hanya mampu mengelilingi dan melihat beliau.  

Kelihatan darah membuak-buak keluar, dan beliau merintih kesakitan. Sayunya hati tak dapat diceritakan ketika itu. Beberapa orang rakan-rakan hanya mampu membuka topi hutan masing-masing dan terduduk.  

Mangsa tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir di ribaan rakan akibat tercedera di bahagian dada dan perutnya. 

Seorang pegawai turut cedera dalam letupan tersebut. Nasib baik beliau tidak parah dan disuntik morfin untuk menahan sakit. Keduanya diterbangkan menggunakan NURI dibawa keluar dari kawasan operasi.

Tentu sekali, peristiwa itu sekali lagi menggamit perasaan setiap anggota. Biarpun antara mereka baru kenal dalam operasi itu, semangat perjuangan tetap sama, demi agama bangsa. Demi negara tercinta.

Tambah lagi, dalam hati setiap mereka terdetik adakah mereka juga akan mengalami nasib itu. Namun, mereka tidak pernah menyerah atau ingin meninggalkan operasi, melainkan setelah diarahkan oleh pihak atasan.

26 Apr 1976 – Anggota masih di kawasan operasi. Pada hari itu juga sebuah pesawat NURI telah ditembak jatuh oleh musuh dan kesemua 11 anak kapal dan penumpangnya telah terkorban.

NURI tersebut membawa bekalan peluru dan bahan letupan bagi tujuan meletupkan terowong. Bekalan peluru dan bahan letupan walau bagaimanapun dapat dihantar kemudiannya walaupun dalam jumlah yang tidak sama seperti dalam helikopter yang ditembak jatuh itu.

27 Apr 1976 - Elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando mula dikeluarkan daripada kem pengganas setelah operasi memusnahkan terowong dan bunker berjaya dilakukan.

Semoga kisah ini memberi pengajaran dan keinsafan kepada rakyat Malaysia untuk menyayangi dan mempertahankan negara tercinta ini. 

Thursday 4 January 2018

KHASIAT BUAH PISANG KAKI

Buah pisang kaki tiada kaitan dengan pokok pisang yang diketahui umum. Buah pisang kaki atau persimmon atau nama lainnya kesmak semakin mendapat sambutan di Malaysia.

Buah pisang kaki banyak diimport dari China itu berasa manis dan enak selain kaya dengan vitamin A, mineral dan antioksida yang penting untuk kesihatan.

Menurut satu kajian, pisang kaki atau lebih dikenali orang Cina sebagai 'buah dewa' ditanam di China sejak beradab-abad lalu sebelum ia disebarkan ke beberapa buah negara di Asia Timur seperti Jepun dan Korea dan kemudiannya diperkenalkan ke California, Amerika Syarikat, selatan Eropah serta Brazil pada pertengahan abad ke-19.

Statistik menunjukkan negara China merupakan pengeluar utama buah pisang kaki di dunia. Pada tahun 2000, China menghasilkan 1.615 juta tan buah pisang kaki dan jumlah itu meningkat kepada hampir 1.9 juta tan pada tahun 2005.

Buah yang dihasilkan dari pokok dan bukannya yang menjalar atau dari ubi. Malahan bentuk buahnya langsung tidak ada rupa pisang. Tidak diketahui bagaimana nama 'pisang' boleh timbul pada buah tersebut.

Buah ini berwarna kuning dan apabila masak ianya berwarna ke merah-merahan. Semakin merah buahnya maka semakin manis rasanya.

Selain rasa sedap, buah pisang kaki kaya khasiat dan kadar kalori yang rendah.

Buah pisang kaki memiliki kandungan nutrisi seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, karbohidrat, serat, protein, kolin, niasin, tiamin, riboflavin, piridoksina, asid folik, kalium, kalsium, tembaga, zat besi, magnesium, mangan, fosfor, beta-karotena, zink dan likopen.

Antara khasiat buah ini ianya boleh menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu.

Buah ini juga amat baik untuk paru-paru dan jantung. Bentuk buah ini pelbagai ada yang berbentuk bulat dan ada yang berbentuk leper sedikit dan ada berbentuk bujur.

Manakala rasanya juga juga ada yang sangat manis dan ranggup sementara ada juga yang rasa sedikit masam dan pahit.  Buah ini ada yang sedap dimakan mentah dan ada yang dibuat buah kering yang juga sangat manis.

Apabila dikeringkan di sekeliling buah ini akan terbentuk serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah yang rasanya manis kerana mengandungi manitol, glukos dan vitamin C, 

Di Jepun kajian juga dilakukan ke atas daun, batang dan juga buah yang busuk untuk dijadikan produk lain yang berguna kepada manusia.

Monday 1 January 2018

KHASIAT SIRIH CINA MUJARAB UBATI GOUT

Apa kelebihan, manfaat atau khasiat sirih cina? Kegunaan khasiat sirih cina atau dipanggil juga sirih tanah, sirih laut, sirih pasir, sirih bumi, sirih air, sirih bunian, tumpangan air atau ketumpang amat mujarab merawat gout. Sirih cina mampu mengurangkan paras asid urik di dalam badan. Jadi, sirih cina sesuai dijadikan ubat gout

Sirih cina juga mujarab untuk merawat masalah buah pinggang, darah tinggi, buasir, meredakan batuk, meredakan cirit birit, kencing manis dan mengatasi selsema.

Cara makan sirih cina amat mudah. Anggaplah ia sebagai sayur. Jadi, boleh dimasak dengan pelbagai menu. Sirih cina juga sesuai dibuat ulam dan kerabu. Malah, sirih cina juga boleh dijadikan jus. Memang sedap. 

Jadi, apa tunggu lagi. Jadikan sirih cina sebahagian menu atau jus minuman yang pasti lain dari yang lain. Sirih cina mudah didapati secara percuma. Ada di sekitar kawasan rumah.


Sirih cina biasanya tumbuh di tempat yang lembab seperti di tepi pasu atau longkang. Pokok ini menumpang yang sering dianggap mengganggu atau semak di kawasan sekitar kita. Biarpun telah dibuang atau dicabut, ia akan tumbuh kembali di tempat itu.

Pokok renek tidak berkayu ini memang mudah tubuh. Jadi, tidak perlu ditanam untuk mendapat hasilnya. Melainkan, jika kita ingin mendapat bekalan yang lebih segar dan bersih berbanding yang tumbuh di tepi longkang.

Amalkan memakan sirih cina untuk kesihatan. Mudah diperoleh dan percuma. Namun, khasiatnya banyak.