Monday 5 March 2018

UJIAN DIHADAPI SATU CARA HAPUS DOSA

Setiap kali manusia teruji, keimanannya akan menjadi penentu sama ada dia mampu menghadapi ujian tersebut dengan reda atau tidak. Maka lebih berat ujian yang dihadapi, semakin tinggi keimanan perlu diraih untuk kita berjaya mengharunginya.

Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, "Wahai Tuhanku adakah Engkau reda kepadaku?"

Kebetulannya di belakangnya, Imam Shafie yang bertanya balik kepada lelaki itu, "Adakah kamu reda segala diberikan Allah sehingga Allah juga boleh reda kepada engkau?"

Lelaki itu menjawab, "Subhanallah, aku reda apa yang datang dari-Nya dan aku mengharapkan reda-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?" tanya lelaki itu kepada Imam Shafie.

Imam Shafie menjawab, "Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu reda sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepada kamu."

Itulah yang digambarkan Rasulullah SAW mukmin berada pada tahap luar biasa dan menakjubkan kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya" (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila kita mengaitkan segala kejadian di dunia ialah hasil aturan dan kehendak Allah SWT, kita akan melihat semuanya dari perspektif positif. Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya.

Keimanan akan menyuntik kekuatan insan untuk berhadapan dengan ujian menimpa. Menjauhkan dirinya dari kelemahan putus asa dan kemudaratan kecewa. Keimanan inilah yang akan membina peribadi yang teguh mengharungi cabaran dunia.

Sikap reda haruslah ditunjukkan baik ketika menerima nikmat mahupun ditimpa musibah. Bagi Mukmin, segala keputusan Allah adalah terbaik. Kurniaan kejayaan dalam hidup tidak menjadikannya riyak, takabbur dan ujub sehingga menyeretnya ke neraka.

Ditimpa musibah tidak membawa kepadanya putus asa, kecewa dan merungut-rungut sehingga menyeretnya ke dalam kalangan manusia tidak bersyukur.

Antara tujuan seseorang itu diuji Allah SWT adalah bagi menghapuskan dosanya. Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sunday 4 March 2018

FAEDAH GST KEPADA RAKYAT

GST dan cukai-cukai yang dikutip akan diberi (dipulangkan) semula kepada rakyat dalam pelbagai cara. Antara contohnya ia diberi semula dalam bentuk khairat kepada pejawat awam awam yang terima RM1500.00. Imam, Bilal, Tok Siak, Tok Batin juga terima khairat seperti ini.

Tanpa GST kita tidak dapat lakukan semua ini kerana daripada 14 juta orang yang bekerja hanya 2 juta sahaja yang membayar cukai pendapatan. Sudah pasti ianya tidak mencukupi untuk kerajaan menampung keperluan 30 juta rakyat yang lain.

Banyak yang kita belanjakan untuk rakyat. Subsidi tidak langsung masih berjalan seperti biasa. Bahkan jumlahnya lebih besar. Contohnya subsidi pendidikan yang diberikan kepada setiap anak-anak di sekolah. Sebanyak RM8,900 dibelanjakan setiap tahun bagi setiap pelajar sekolah.

Dalam bidang perubatan pula, setiap kelahiran dicaj sebanyak RM10. Padahal di Pusat Perubatan UKM dicaj RM200 dan di hospital swasta lebih mahal iaitu sekitar RM3,000 hingga ke RM5,000. Subsidi untuk kelahiran sahaja sudah mencecah hingga RM5000. Belum lagi untuk rawatan lain yang lebih tinggi kos bayarannya.

Fasiliti dan infrastruktur seperti hospital, klinik kesihatan, UTC, pengangkutan awam, jalan raya dan lain-lain pastinya memerlukan dana yang mencukupi untuk memastikan semua berfungsi dan beroperasi dengan baik untuk keselesaan pengguna (rakyat).

Inilah kelebihan yang kita beri kepada rakyat dari kutipan GST. Percayalah, kerajaan ini akan menjaga rakyat. Dan akan terus menjaga rakyat.