Tuesday 29 May 2018

MENGAPA KERBAU BERKUBANG DALAM LUMPUR

Mengapa kerbau berguling atau berkubang di dalam lumpur? Pertanyaan ini sering terdetik di hati memandangkan perbuatan itu tidak dilakukan lembu yang dianggap satu ‘keluarga’ dengan kerbau. 

Sebenarnya kerbau berendam dalam lumpur atau air kerana ingin menyejukkan badan. Sebab itu, kerbau berkubang semasa tengah hari yang panas. Justeru, tidak pula kerbau berkubang dalam lumpur semasa hari hujan.

Tahukah anda, kerbau akan membuat sendiri kubang untuk berkubang jika di kawasan itu tidak ada kubang atau lumpur. Kerbau akan mencari lopak air dan mula berguling di tempat itu.

Pada masa sama kerbau akan menyondol dengan tanduk dan kepalanya untuk membina lubang yang lebih luas. Masa hari hujan, air akan bertakung dan memudahkan lagi kerbau berkubang dan terus meluas serta mendalamkan kubang yang dibuat itu.

Kubang yang dibuat kerbau itu digunakan secara berterusan seperti sebuah ‘rumah’ untuk ‘berteduh’ semasa panas. Sebab itu ada kubang di tengah-tengah padang atau bendang.

Sunday 27 May 2018

KEUTAMAAN SEDEKAH PADA BULAN RAMADAN

Memberi sedekah amalan terpuji. Sebaik-baik memberi sedekah adalah pada bulan Ramadan. Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "Puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan," Baginda ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." (Hadis riwayat Tirmizi: No 599) Status Daif

Dari Ibnu Abbas dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (HR Muslim No: 4268) Status: Hadis Sahih

Tingkatkan sedekah, derma juga wakaf kerana itulah yang kekal dan menetap pahala kebaikannya untuk kita, meskipun secara mata kasarnya harta kita berkurang. Namun hakikatnya tidak berkurang harta orang yang bersedekah.

Amalan bersedekah sebagai satu daripada cara untuk menjauhkan dari api neraka. Sedekah akan menjadi penghindar dari api neraka walaupun sebelah biji buah kurma. Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah kalian kepada neraka walau dengan sebelah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik." (HR Bukhari No: 5564) Status: Hadis Sahih

Amalan sedekah yang paling utama dilakukan ialah sedekah pada bulan Ramadan. Sifat suka bersedekah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain.

Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa  juga kepada golongan fakir miskin.

Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan yang lebih baik serta keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat. Firman Allah: “Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya” (QS Sabaa’:39).

Dari Aisyah  bahawa keluarga Rasulullah SAW  pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah  bertanya: “Apa yang tertinggal dari (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah  menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah  bersabda: “Itu bererti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”

Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi. Amalan sedekah menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. “Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (Surah an-Nahl: 96)

Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.

Friday 25 May 2018

ISI BUAH KABUNG DAPAT PERMINTAAN TINGGI

Pokok kabung dipanggil juga kantau atau kantor menghasilkan buah yang isinya mendapat permintaan tinggi. Isi buah kabung menjadi bahan campuran dalam cendol, air batu campur dan hidangan lain. Kelembutan isi buah kabung seumpama gula-gula getah dan rasa manis.

Buah kabung ada sepanjang musim, tetapi mendapat permintaan tinggi pada bulan Ramadan. Untuk memenuhi permintaan, ada pengusaha buah kabung hanya beroperasi pada bulan Ramadan dan sanggup berhenti seketika kerja yang biasa dilakukan pada bulan lain, disebabkan untung mencari, memproses dan menjual buah kabung lebih menguntungkan.

Buah pokok kabung dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung.

Buah kabung mempunyai kulit berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.

Kerja memetik buah kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Selain perlu pandai memanjat, pemetiknya juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal.

Proses mengeluarkan isi kabung bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu.

Setiap biji buah kabung mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari.

Selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak.

Isi buah kabung yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang. Selain itu, isi buah kabung segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi.

Isi buah kabung ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan.

Kandungan gizi buah kabung mengandungi kalori 164mg, sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg.

Buah kabung mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. Kandungan karbohidrat memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga.

Buah kabung mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu.

Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah kabung dikatakan berkesan untuk :
- Untuk mengubati demam
- Mengubati sakit perut.
- Mengubati sembelit. 
- Mengurangkan noda-noda hitam di wajah
- Mencegah osteoporosis.