Monday 30 July 2018

KESETIAAN PENYOKONG PAS AMAT LUAR BIASA TAASUB

Umum mengetahui kekuatan PAS terletak kepada penyokong yang taasub. Golongan ini percaya bahawa PAS itu Islam dan Islam itu adalah PAS. Sebab itu, apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka dianggap fatwa yang mesti dipercayai dan dipatuhi.   

Dari segi bahasa, fatwa adalah keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang berwenang tentang keputusan hukum syarak).

Tetapi, di kalangan penyokong PAS, apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka adalah fatwa (perkataan fatwa yang diguna dalam penulisan ini yang dirujuk kepada apa yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS tidak membawa erti fatwa yang sebenar, melainkan sekadar menjelaskan maksud yang diguna dan dipegang oleh penyokong PAS). 

Justeru, mereka tidak perlu lagi merujuk kepada sumber lain. Malah, jika ada pihak menyanggah fatwa itu, akan dianggap sebagai menolak agama Islam, atau lebih tepat lagi dikatakan kafir. Ulama di luar PAS dianggap tidak layak menjadi golongan pewaris nabi. 

Sebaliknya PAS menggelarkan ulama UMNO dan kerajaan (era pemerinthan BN) sebagai ulama terompah kayu, ulama syaitan, ulama bisu dan segala macam gelaran yang tidak melambangkan kemuliaan. Ulama UMNO hanya layak membincangkan soal haid dan nifas. 

Inilah bahayanya parti politik disamakan dengan agama. Penyokong yang tidak arif tentang hukum agama mudah tertipu dengan apa yang disogokkan kepada mereka oleh pemimpin parti yang menggunakan ilmu agama untuk kepentingan politik.

Pemimpin PAS banyak mengeluarkan fatwa sesuka hati untuk mendapat sokongan. Fatwa yang dikeluarkan tidak diperhalusi mengikut kaedah sebagaimana sepatutnya. Kebanyakan fatwa pemimpin PAS sekadar ‘lepas cakap’ ketika berceramah. Namun, penyokong PAS yang taksub menerimanya sebagai satu fatwa sah yang perlu dipatuhi atau diterima kebenarannya. Mereka bertaklid buta dengan fatwa dikeluarkan pemimpin PAS.   

Fatwa yang dikeluarkan pemimpin PAS ini dijadikan fakta dan pegangan yang sukar untuk diubah biarpun kebenarannya dibawa para ulama dari luar PAS atau di kalangan bekas pemimpin PAS sendiri. Penyokong taksub akan hanya menerima fatwa daripada pemimpin yang masih berada dalam PAS. 

Mana-mana bekas pemimpin PAS yang dipegang fatwanya oleh penyokong PAS ketika dia berada dalam PAS, fatwa barunya, tidak akan diterima. Malah, jika dia ingin memperbetulkan fatwa dikeluarkannya ketika berada dalam PAS, tidak akan diterima oleh penyokong PAS. Peliknya, fatwanya ketika berada dalam PAS masih dipakai. 

Dengan kata lain, orang PAS hanya menerima fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpinnya. Pemimpin PAS dianggap amat alim, bijak, mursyid dan serba tahu. Tetapi, jika individu yang sama keluar daripada PAS, maka dia akan dianggap paling jahil, kafir dan taghut.

Pada tahun 1999, ketika bahang deman Pilihanraya Umum (PRU) ke 10 mula dirasakan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada masa itu,  mengeluarkan kenyataan berikut: “Sesiapa yang nak tolong kerajaan Islam kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong kenapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima.”

Utusan Malaysia keluaran 28 April 1999 melaporkan Nik Aziz berkata: “Allah sendiri menggunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia individu mana tempatnya.”

Ketika pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah (2000), Haji Hadi  berceramah dengan ucapan: “Muslim dan muslimat ahli-ahli PAS yang dikasihi, telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis dengan jelas jika kita undi orang kafir, maka kita akan masuk neraka.”

Para pemimpin PAS menalok wanita sebagai calon pilihan raya atas alasan wanita tidak layak menjadi pemimpin. Melantik wanita menjadi pemimpin dianggap melanggar perintah Nabi Muhammad SAW dan membawa ummah kepada kehancuran.    

Contoh fatwa yang dibawa ini adalah daripada ratusan fatwa lain yang diucapkan oleh pemimpin PAS. Rencana ini bukan hendak membincangkan betul atau salah fatwa itu. Sebaliknya, mari kita melihat fatwa yang kini kena pada batang hidung sendiri.  

Secara umumnya, fatwa yang dikeluarkan pemimpin PAS mengkafirkan orang UMNO pada tahun 60an, 70an dan 80an adalah atas alasan UMNO adalah parti assabiah dan mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam. 

UMNO dituduh parti assabiah atas alasan perkataan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang diterjemah kepada bahasa Inggeris United Malays National Organisation yang menjadi ringkasan UMNO. Perkataan Kebangsaan Melayu diterjemahkan oleh PAS sebagai bukti UMNO adalah assabiah.

Hakikatnya, perkataan ‘kebangsaan’ tidak tepat disamakan dengan ‘assobiah’ dalam Bahasa Arab. Sebaliknya, perkataan ‘kebangsaan’ yang digunakan dalam UMNO adalah ‘wataniah’, yakni cintakan negara dan bangsa. 
  
Atas maksud Islam mengharamkan assabiah, maka UMNO juga haram, dan sesiapa menyertai dan menyokongnya juga haram. UMNO juga dituduh haram disebabkan memisahkan agama dengan urusan politik dan pemerintahan, atau dipanggil sekular. 

Alasan yang digunakan menuduh sekular adalah tidak ada perkataan ‘Islam’ pada nama UMNO. Sedangkan PAS mengaku parti Islam kerana ada perkataan ‘Islam’ pada nama parti itu. Inilah dinamakan parti slogan yang banyak diamalkan dalam PAS.

Pakatan UMNO dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (ditubuhkan pada 1974, sebelum itu dikenali Perikatan yang dibentuk sebelum negara mencapai kemerdekaan) seperti MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak dianggap sebagai haram. Disebabkan itu, maka orang UMNO dianggap melakukan dosa besar dan turut sama menjadi kafir.

Orang Melayu yang berpegang kuat kepada fahaman tidak mahu jadi kafir, biarpun sebenarnya tidak kuat berpegang kepada ajaran agama, mudah terpengaruh untuk menolak UMNO. Haramnya UMNO bagi golongan ini samalah seperti haram menyentuh dan memakan daging babi. 

Fahaman inilah banyak membantu PAS berjaya menawan Kelantan pada PRU Pertama tahun 1959, 1964 (kedua), 1969 (ketiga), 1990 (kelapan), 1995 (kesembilan), 1999 (ke 10) dan 2004 kali ke 11.

Pada PRU Keempat yang diadakan tahun 1974, PAS menyertai Barisan Nasional. PAS keluar daripada Barisan Nasional sebelum pilihan raya kelima yang diadakan pada tahun 1978. 

Persoalannya, mengapakah PAS menerima menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974, sedangkan dalam gabungan itu ada parti bukan Islam?  Di manakah fatwa pemimpin PAS yang mengatakan berkerjasama dengan bukan Islam sebagai haram dan kafir?  Sepanjang tempoh 1974 hingga 1978, tidak ada kedengaran fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam kerana PAS sendiri mengadakan kerjasama dengan orang kafir melalui Barisan Nasional. 

Isu orang UMNO kafir timbul kembali apabila PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1978, tetapi dalam nada atau alasan yang sedikit berlainan. Ketika itu, UMNO dianggap kafir kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Mungkin, pemimpin PAS tidak berani secara terang mengatakan UMNO haram kerana berkerjasama dengan bukan Islam disebabkan mereka pernah berada dalam Barisan Nasional.

Bagaimanapun, isu UMNO haram disebabkan berkerjasama dengan bukan Islam ‘mengganas’ kembali beberapa tahun kemudian. Isu ini terhenti sekali lagi apabila persiapan PRU Kelapan yang diadakan pada tahun 1990, apabila PAS yang bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) turut mengundang mengadakan kerjasama dengan DAP. 

Pada PRU Ke 10 yang diadakan pada tahun 1999, PAS semakin melupai fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam apabila membentuk kerjasama dalam Barisan Altenatif yang mengandungi DAP, PKR, PBS dan Parti Rakyat Sosialis Malaysia. 

Pada PRU Ke 10 juga memperlihatkan sikap PAS yang berubah menerima calon wanita  dari parti gabungan atau, lebih tepat merujuk ke Datin Seri Wan Azizah bertanding di Permatang Pauh. Sedangkan, PAS masih bertegas mengatakan wanita tidak layak menjadi calon pilihan raya untuk ahli Muslimat PAS. Tetapi, pada masa sama PAS melantik senator di kalangan wanita. Bagaimana dua hukum berbeza dikeluarkan untuk perkara yang sama?

Namun, PAS mengambil keputusan meletakkan calon wanita bertanding pada PRU ke 11 yang menyaksikan seorang calon wanita memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Mas, Kelantan. 

Lebih pelik apabila Nik Aziz ‘mengarahkan’ supaya PAS Kawasan yang bersidang mencalonkan wanita untuk menduduki kerusi naib presiden parti tersebut. Jelas sekali, apa yang dilakukan itu lebih ‘hebat’ daripada UMNO yang belum dalam sejarah melantik wanita sebagai naib presiden, kecuali atas dasar kedudukan Ketua Wanita dan Ketua Puteri.

Inilah pemikiran dan dasar yang diamalkan dalam PAS. Semuanya dilakukan untuk kepentingan politik dan individu. Maknanya, fatwa dikeluarkan pemimpin PAS dengan sendirinya tertolak, karut dan sekadar gimik politik. Dalam maksud lain, pemimpin PAS memang tidak layak digelar ulama untuk mengeluarkan fatwa.

MELAYU PERLU BERBINCANG DEMI ISLAM

Amat jelas mutakhir ini kedudukan orang Melayu di tanah air sendiri termasuk di sisi Perlembagaan dipersoalkan secara lantang dan tanpa berselindung lagi. Perkembangan itu semestinya didorong oleh kewibawaan orang Melayu itu sendiri yang dilihat oleh bangsa-bangsa lain semakin lemah dan tidak bersatu.

Semestinya antara Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan terutamanya dalam konteks sebuah negara yang bernama Malaysia. Oleh itu apabila keutuhan Melayu semakin rapuh maka sekali gus kedudukan Islam di negara ini akan tercabar.

Justeru apa yang menjadi keutamaan ialah menjayakan pertemuan pemimpin Melayu untuk kekuatan Islam. Hanya keikhlasan dan komitmen dapat membantu agenda penting ini. Paling penting umat Melayu mesti sentiasa sedar tujuan murni pertemuan itu kelak adalah semata-mata untuk memulihkan perpaduan Melayu yang terjejas akibat persaingan politik kepartian.

Walaupun semua parti politik mempunyai agenda masing-masing tetapi apabila mengambil kira kepentingan bangsa dan negara, semua pihak harus ketepikan sebarang pertimbangan sempit kumpulan sendiri.

Sesungguhnya orang Melayu sedang menghadapi pelbagai bentuk cabaran yang perlu ditangani secara bersama. Lihatlah di sekeliling kita dan ikutilah fakta-fakta mengenai kedudukan orang Melayu dalam ekonomi, politik dan budaya pada masa ini.

Sememangnya orang Melayu sudah mencapai kemajuan besar sejak negara mencapai kemerdekaan. Tetapi sejak akhir-akhir ini terdapat cabaran-cabaran baru yang perlu ditangani oleh orang Melayu secara rasional, terancang dan imaginatif.

Senario dunia yang sedang berubah pesat melalui kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta globalisasi menuntut usaha keperkasaan baru di kalangan orang Melayu.

Perlu juga disedari bahawa kemajuan masa depan negara juga terletak pada perpaduan orang Melayu. Bukan saja kepimpinan politik utama negara ini terletak di tangan orang Melayu tetapi aspirasi bangsa ini merupakan tonggak kepada hala tuju Malaysia. Bayangkanlah sekiranya orang Melayu terus berpecah dan saling bercakaran, apakah yang diharapkan oleh kaum lain untuk memastikan negara kita aman dan makmur.

SUMBANGAN WANITA DALAM PARTI

Peranan wanita dalam politik tanahair tidak dapat dinafikan. Golongan wanita yang menggelarkan diri Kaum Ibu begitu lantang memperjuangkan kemerdekaan dan bersama-sama diberi kepercayaan menduduki kerusi penting dalam kerajaan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, setiap wanita mempunyai satu undi (mereka yang mendaftar dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menentukan kemenangan calon yang bertanding. 

Menariknya, kaum wanita bukan sahaja diberi hak untuk mengundi, bahkan turut berpeluang diundi (menjadi calon) mewakili parti, mahupun sebagai calon bebas. Memandangkan pentingnya kaum wanita di dalam senario politik tanah air, setiap parti politik mempunyai sayap wanita dalam parti masing-masing. Bahkan sekarang ini telah ada parti mewujudkan sayap puteri (untuk golongan wanita muda).

Bilangan pengundi lelaki berbanding pengundi wanita boleh dikatakan sama banyak. Namun, rata-rata parti politik masih memperuntukkan sejumlah kecil kerusi kepada calon wanita.

Wajar parti politik memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. Kemampuan wanita menjadi pemimpin telah lama terbukti setanding dengan lelaki dan sepatutnya bilangan calon wanita mesti ditambah.

Kepimpinan wanita kini telah diterima oleh kaum lelaki dan turut memilih calon parti yang mengemukakan calon wanita. Gabungan tenaga lelaki dan wanita amat diperlukan dalam menjalankan sesuatu misi parti dan agenda negara. 

Jangan pandang kaum wanita lemah kerana dalam memenangkan parti ada kala kaum wanita bertugas lebih kuat daripada lelaki dengan menjadi perayu undi dan kerja-kerja untuk melancarkan kempen piihan raya.

Bilangan calon wanita dan seterusnya diberi jawatan dalam kabinet penting bagi merealisasikan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang ingin menambah bilangan wanita sehingga 30 peratus yang berada pada peringkat pembuat dasar dan keputusan.

Apapun keputusan pucuk kepimpinan tetap diterima dan wanita akan menjadi penentu kejayaan mana-mana calon sekalipun yang dipilih oleh atasan.

Selama ini wanita berjuang seiring dengan lelaki dan saling melengkapkan. Jadi, memang patut benar jika memberi ruang dan kesempatan kepada wanita bertanding. Soal mendapat calon wanita tidak timbul masalah kerana ramai tokoh wanita berkelayakan di setiap bahagian yang boleh diketengahkan.

MENGAPA MELAYU PERLU DIBANTU

Ketika pelbagai pihak dari kalangan bukan Melayu lantang mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana kononnya ia berat sebelah, orang Melayu tetap berada paling belakang dalam apa juga bidang.

Sebab itu, jika mahu bercakap soal kesamarataan atau keadilan antara kaum di negara ini, tolong semak fakta dulu. Tengok di mana kedudukan ekonomi dan sosial kaum masing-masing.  

Sedangkan golongan yang benar-benar miskin, ketinggalan dan terpinggir daripada serba serbi ialah kaum Melayu dan bumiputera yang merupakan penduduk asal di negara ini. Tetapi mereka yang benar-benar miskin dan terpinggir ini tidak pula berdemonstrasi atau melakukan protes.

Pemimpin-pemimpin politik ini jika rajin berjalan ke seluruh negara tentunya boleh melihat di mana kedudukan kaum mereka dari segi ekonomi. Pergilah ke bandar-bandar dan pekan-pekan kecil di seluruh negara. Tengok siapa tuan punyai kedai, basikal, kedai runcit, pasar mini, bengkel motosikal dan pelbagai perniagaan lain lagi.  

Milik Melayu ada tetapi tidak sebanyak yang dimiliki kaum lain. Sebab itu, untuk memastikan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera tidak terus membesar perlu ada dasar seperti DEB. Ia supaya ekonomi tidak dikuasai kaum tertentu sahaja.

Jika dengan dasar seperti DEB pun Melayunya masih kekal sebagai termiskin dan termundur, bayangkan jika dasar ini tidak ada. Mungkin 100 peratus yang berpendapatan di bawah RM1,000 itu adalah Melayu.

DEB langsung tidak menjadikan kaum lain lebih miskin. Malah melalui DEB ekonomi mereka bertambah baik. Sebabnya, melalui DEB, ekonomi Melayu bertambah baik. Apabila ekonomi Melayu meningkat kaum lain turut mendapat faedahnya.

Orang Melayu yang bekerja keras membanting tulang menoreh getah dan mengerjakan sawah. Tetapi mereka bukan pemilik kilang padi yang tersergam indah di tepi sawah. Malah sebahagian besar kedai-kedai dan kilang getah di seluruh negara bukan milik orang Melayu.  

Jadi di mana yang tidak adilnya dengan dasar dan agihan ekonomi di negara ini? Di mana letaknya diskriminasi dalam dasar-dasar yang digubal kerajaan seperti DEB?

Berfikirlah dengan minda yang terbuka. Apa juga dasar yang dilihat sebagai memihak kepada bumiputera ia sekadar untuk memastikan golongan ini mampu bersaing dan tidak ketinggalan terlalu jauh.

Dasar-dasar ini tidak sama sekali untuk menjadi Melayu jauh lebih kaya atau lebih berjaya daripada Cina atau India terpinggir begitu sahaja.

Kenapa Agama Lain Tidak Bebas Disebarkan

Perkara 3 dalam Perlembagaan mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam, mereka tidak boleh diganggu.

Perkara 11 adalah peruntukan utama hak kebebasan beragama, semacam membayangkan ruang litup hak berkenaan meliputi aspek menganut, mengamal dan mengembangkan agama berkenaan.

Bagaimanapun, hak mengembangkan agama tertakluk kepada peruntukan bahawa pengembangan agama lain tertakluk kepada sekatan undang-undang. Sekatan ini termasuk larangan mengembangkan doktrin atau agama selain Islam kepada orang Islam.

Undang-undang menyekat penyebaran agama lain di kalangan orang Islam masih belum ada di Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Undang-undang ini ialah untuk melindungi orang Islam daripada dipengaruhi kepercayaan lain.

Dalam agama Islam, hak kebebasan agama bermaksud Islam tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam. Namun di negara kita kebebasan beragama boleh disekat melalui undang-undang.

Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama lain daripada Islam di kalangan umat Islam.

Selain itu perlembagaan juga menyebut kebebasan agama tidak boleh digunakan untuk menyalahi undang-undang awam mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Halangan itu termasuk penggunaan perkataan 'Allah' oleh agama lain yang pernah hangat dibangkitkan sehingga dibawa ke mahkamah. Agak keterlaluan apabila agama berkenaan yang di luar negara tidak menggunakan perkataan Allah, bahkan di negara Barat mereka amat membenci nama Allah.

Tentu mereka ada perancangan terselindung. Mereka cuba menjadikan isu memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai strategi untuk memohon kerajaan membenarkan penggunaan nama Allah untuk menggantikan 'God' yang biasa diguna pakai mereka.

Penyakit itu bukanlah baru jika kita mengenal strategi mereka. Sebab itulah Allah memberitahu dalam firman: "Sebahagian dari orang Yahudi mengubah kalimah-kalimah Allah daripada tempatnya." (Surah an-Nisa, ayat 46).

Jika perkataan Allah dibenarkan dalam terbitan agama lain di sini, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam, terutama generasi akan datang yang tidak dapat membezakan penggunaan nama Allah untuk kedua-dua agama itu.

Sesungguhnya Allah seperti dipercayai umat Islam jauh bezanya dengan apa yang cuba diperkenalkan untuk menggantikan 'God' yang sudah lama mereka gunakan. Memang ada hujah penggunaan Allah oleh penganut Kristian sekali gus menunjukkan mereka menidakkan konsep Triniti dalam agama itu.

Ini kerana makna Allah merujuk kepada 'Tuhan Maha Esa'. Bagaimanapun dalam soal ini Allah sudah memberi peringatan: "Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam, padahal Al Masih (sendiri) berkata: Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu.

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan pedih. (Surah al-Maidah, ayat 72-73)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." ( Surah al-Maidah, ayat 77)

Memang benar Islam menekankan aspek kesabaran. Sabar bermakna tidak bertindak balas atas apa yang diperlakukan oleh orang lain kepada masyarakat Islam. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu keadaan yang tidak disenangi dan berserah kepada Allah.

Wajarkah kita bersabar apabila melihat agama dicabar. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh." (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat dan kesucian Islam di negara ini selama ini. Kita tidak mahu wujud lagi provokasi yang boleh menjejas dan mempersendakan agama suci ini.

Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas suara kita yang tidak berada dalam satu wadah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah." (Surah al-Anfal, ayat 39)

Perjuangan mempertahankan kalimah Allah adalah sumbangan penting kepada agama. Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan: "Seseorang telah bertanya Rasulullah SAW: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya." (Hadis riwayat Muslim)

PERTAHAN SOPAN SANTUN MELAYU

Orang Melayu halus budi bahasa. Bagaimanapun, semakin banyak orang Melayu hilang budi bahasa. Bahasa yang kesat dan kasar digunakan oleh mereka hilang identiti Melayu. Mereka hilang jati diri dan tidak berbangga menjadi Melayu. Mereka ingin dikenali Melayu liberal yang bebas mengamalkan apa yang difikirkan betul tanpa melihat akar umbi bangsa sendiri.

Melayu liberal sama dengan Islam liberal. Hilangnya kehalusan jiwa Melayu disebabkan mereka hilang kekuatan pegangan Islam. Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Indahnya Melayu kerana dibimbing oleh hukum agama. Kalau sudah hilang kekuatan roh Islam, maka hilanglah sendi kekuatan Melayu.

Disebabkan sendi agama semakin longgar apabila diserang fahaman liberal, banyak individu menukilkan bahasa dan tindakan tidak sepatutnya dikeluarkan di luar norma-norma keperibadian Islam. Kadangkala ia diungkap oleh mereka yang mendakwa memperjuangkan agama Islam.

Semua ini mungkin kerana kekecewaan emosi dan sebagainya. Apa yang kita nak tahu kenapa mereka yang berilmu berpengetahuan tidak boleh memiliki satu integriti yang tinggi.

Orang Melayu menyatakan rasa marah dengan bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya diucapkan sebagai orang Islam. Kenapa orang Melayu jadi begitu. Adakah kerana marah kita tidak boleh kawal perasaan sehingga hilang pedoman, ini yang kita nak tengok.  

Sebahagian kecil orang Melayu rupa-rupanya sudah hilang kesopanan. Untuk atasi masalah ini kita perlu merapatkan diri dengan orang muda dan memberitahu mereka supaya menjaga budaya dan akhlak kita, tidak ada orang yang sempurna pasti ada kekurangan, ini kita harus terima. Selain itu kita perlu belajar untuk terima penerangan dan pandangan orang, sebelum kita buat rumusan.

Sikap orang kita buat rumusan terlalu cepat, apabila terima sesuatu berita tanpa usul periksa mereka percaya, apabila kita buat penjelasan, tidak mahu terima. Jadi mereka anggap itu betul semua, ini tindakan yang salah. Sepatutnya kita berfikiran terbuka dengan mengadakan perbincangan dan berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.

Itu adat kita, sama ada marah atau sedih, integriti kita sebagai orang Melayu kena kekal. Sebab itulah anak-anak muda kita, kalau marah pun jangan sampai kita mencarut. Itu bukan cara kita. Kalau marah pun, kita kena dengar pandangan orang dulu. Barulah ada integriti.  

Orang Melayu dalam apa keadaan sekalipun, sopan santun kita perlu ada, itu paling penting kerana itu akhlak orang Islam.

RAJA PAYUNG RAKYAT TADBIR NEGARA

Negara kita mengamalkan dua sistem berkembar, iaitu demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kedua-dua sistem ini bergerak secara bersama dan perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain menurut falsafah atau acuan negara.

Keduanya umpama tiang menunjangi negara. Satu daripadanya tidak boleh dilupai kerana ia boleh membinasakan keseluruhan negara. Apa yang perlu dilakukan ialah mengimbangi kedua-duanya sehingga menjadi pelengkap antara satu sama lain, bukan kompetitif atau berlawanan.

Kedua-dua sistem itu mempunyai tanggungjawab masing-masing. Namun, kita tidak dapat mengelak daripada pertembungan antara kedua-duanya. Pertembungan ini berlaku kerana keadaan, budaya serta sejarah yang membentuk latar dan landskap negara.

Pindaan kepada Perkara 66 pada 1983 dan seterusnya 1994 menjadi antara contoh pertembungan. Pindaan terbabit dianggap sesetengah pihak sebagai mengikis kuasa Raja. Tetapi, jika dilihat dari satu sudut lain, ia bertujuan mengukuhkan demokrasi.

Pada peringkat Persekutuan, peruntukan asal Perlembagaan mewajibkan setiap Rang Undang-Undang mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan dan seterusnya beroperasi sebagai undang-undang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong, Rang Undang-Undang terbabit tidak boleh diwartakan dan tidak boleh menjadi undang-undang.

Ia kemudian dipinda sehingga kepada apa yang ada sekarang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dalam masa 30 hari, rang undang-undang itu boleh diwarta dan beroperasi. Bagaimanapun, pada peringkat negeri masih ada negeri yang masih mengekalkan syarat mohor besar Raja-Raja dalam Perlembagaan negeri.

Dalam konvensyen Westminster, Raja tidak pernah enggan memberikan mohor besar kepada rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Ini bagi meraikan demokrasi berparlimen. Bagi negara kita, sejarah perundangan memperlihatkan bahawa Perlembagaan negeri meletakkan kuasa legislatif dalam bidang kuasa Raja.

Keadaan mula berubah dengan Perjanjian Persekutuan 1948, bila mana Raja-Raja bersetuju menjadi Raja Berperlembagaan dan sebahagian besar kuasa Raja, termasuk kuasa legislatif diserahkan kepada majlis perundangan. Begitu juga dengan Perlembagaan 1957, tetapi mengekalkan syarat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dan pada peringkat negeri, mohor besar Raja.

Pindaan kepada Perkara 40 Perlembagaan juga boleh dijadikan contoh. Pindaan terbabit memasukkan fasal (1A) yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut atas nasihat jemaah menteri berkenaan apa juga peranan dan fungsi yang memerlukan baginda bertindak atas nasihat. Pindaan Perlembagaan ini juga satu cedukan daripada konvensyen Perlembagaan Westminster.

Yang pasti, Raja bukan hanya sekadar simbol dalam sistem demokrasi kita. Baginda mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri.

Kuasa Raja dalam soal mohor besar sebagai contoh, boleh menjadi penapis kepada ‘demokrasi mutlak’. Ia boleh bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang kepada tindakan pihak legislatif atau eksekutif menurut demokrasi.

Maka, di sinilah timbulnya konflik antara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Mengelak daripada Raja mutlak, pada masa sama, juga menghindari demokrasi mutlak. Kita mestilah berhati-hati dalam hal ini supaya kedua-duanya menjadi pelengkap antara satu sama lain mengikut acuan kita. Apa yang pasti kita mahukan kedua-duanya kekal bersama.

JANGAN BERTINDAK KETERLALUAN DALAM ISU SULTAN

Setiap rakyat perlu sedar mengenai kedudukan dan kuasa Yang Di-pertuan Agong dan raja-raja. Jangan mudah lupa sejarah hingga timbul banyak kes mempertikaikan kedudukan itu.

Di negara kita, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik saja negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ini bermakna, kedudukan Raja yang sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia. Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.

Kedudukan dan peranan ini membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. Walaupun Raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Perlembagaan negara memaktubkan dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara. Namun, kuasa pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai Perdana Menteri. Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas d bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan Parlimen. Justeru, cadangan pihak tertentu supaya Dewan Negara dibubar atau ditiadakan seolah-olah menghina, mencabar dan cuba memperkecilkan peranan baginda.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menghina atau membangkitkan perasaan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga memperlekehkan titah atau ucapan baginda dalam apa-apa bentuk sekali pun termasuk dalam media sosial adalah satu kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi raja di negara ini.

Selain peranan utama yang disebutkan, Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Baginda juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Peranan institusi Raja dalam memayungi agama Islam di negara ini juga membuktikan bahawa institusi Raja di negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka semata-mata.

Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda, manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan.

Baginda akan dirujuk dan apa-apa perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan membetulkan yang mana yang perlu serta memberikan cadangan mengenai apa-apa perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.

Fungsi baginda itu adalah selari dengan Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Raja-raja adalah Ketua Agama Islam dalam negeri naungan baginda yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai.

Oleh sebab pentingnya institusi Raja ini, maka satu badan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di negara ini selari kedudukan mereka dengan Perlembagaan ditubuhkan. Ia dikenali sebagai Majlis Raja-Raja. Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli Majlis Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat kerajaan.

Perlembagaan mengehendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri. Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi Raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong, maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.

Kesimpulan, institusi raja di negara ini mempunyai kedaulatan tersendiri mengikut kuasa yang ditetapkan Perlembagaan. Institusi Raja tidak bersifat politik kerana baginda adalah lambang perpaduan kepada semua rakyat. Rakyat seharusnya sedar bahawa taat setia kepada baginda adalah elemen kenegaraan yang sangat penting.

BANYAK KEBAIKAN DILUPAKAN, SATU KESALAHAN DIINGATI

Seorang Guru menuliskan ini di papan tulis:

5 x 1 = 7  
5 x 2 = 10
5 x 3 = 15 
5 x 4 = 20
5 x 5 = 25 
5 x 6 = 30
5 x 7 = 35 
5 x 8 = 40
5 x 9 = 45  
5 x 10 = 50

Setelah selesai menulis dia kembali melihat murid-muridnya yang mulai ketawa menyedari ada sesuatu yang salah.

Gurunya pun bertanya: "Mengapa kamu ketawa?"

Serentak mereka semua menjawab: "Yang nombor satu salaaaahhh cikguu!" (tertawa beramai).

Sejenak sang guru menatap muridnya, tersenyum menjelaskan: "Saya memang sengaja menulis seperti itu agar kamu boleh belajar sesuatu dari ini. Saya ingin kamu tahu, bagaimana dunia ini memperlakukan kita. Kamu sudah melihat bahwa saya juga menuliskan jawapan yang betul sebanyak 9 kali, tapi tak ada satu pun dari kamu yang memuji. Malahan kamu lebih cenderung menertawakan saya hanya untuk 1 kesalahan.

Tambah guru lagi: "Hidup ini jarang sekali memuji hal-hal yang baik bahkan yang kita lakukan ribuan sekalipun. Hidup ini hanya akan selalu mengkritik kesalahan kita, walau satu kesalahan yang kita perbuat.

Ujar guru itu lagi: "Ketahuilah anak-anakku. Orang lebih dikenal dari satu kesalahan yang ia perbuat, dibandingkan dengan seribu kebaikan yang ia lakukan. Semoga dari kesalahan kita tersebut memperbaiki diri kita lebih baik lagi."

Saturday 21 July 2018

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB DALAM PERKAHWINAN

Perkahwinan amat dituntut dalam Islam. Ikatan perkahwinan membolehkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan mengikut keinginan dan keperluan naluri kamanusiaan.   

Sesungguhnya melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecapi nikmat hidup yang lebih bermakna. Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum ayat 21).

Nabi Muhammad menyatakan rasa gembira umatnya berkahwin serta mempunyai anak. Rasulullah sentiasa menggalakkan agar cepat berkahwin sekiranya telah mampu. 

Sebuah hadis Rasulullah bermaksud: “Berkahwinlah dengan perempuan yang dapat melahirkan anak dan berkasih sayang kerana aku amat berbangga dengan umat yang ramai” (Riwayat Abu Daud).

Berkahwin bertujuan melahirkan zuriat yang bersih, jelas asal keturunan, serta direstui dalam keluarga. Dengan cara itu hubungan keturunan bertaut dengan kukuh dengan perasaan kasih sayang dan rasa saling menghormati. 

Baginda melahirkan rasa sedih apabila mengetahui seorang sahabat meninggal dunia ketika masih bujang. Sahabat itu dikatakan mendapat kurang martabatnya di sisi Allah, biarpun semasa hayatnya dia tergolong mereka yang kuat beribadat.

Balasan kebaikan bagi mereka berkahwin digandakan dengan rahmat Allah. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seorang isteri mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga dari sebarang pintu yang dia kehendaki” (Riwayat Ibnu Hibban).

Sesiapa yang melaksanakan amanah perkahwinan beroleh apa yang diingini dalam memenuhi tuntutan naluri kemanusiaan. Pada masa sama dia beroleh pahala untuk bekalan di akhirat.

Nabi Muhammad membantah permintaan pemuda yang tidak mahu berkahwin dengan alasan ingin memberi tumpuan sepenuhnya beribadat kepada Allah. Mereka tidak mahu berkahwin kerana takut banyak masa dihabiskan bersama isteri dan menyebabkan lalai daripada memperbanyakan ibadah. 

Sesiapa yang tidak berkahwin bermakna tidak mengikut sunnahnya. Banyak keburukan akan menimpa umat Islam jika banyak yang tidak mahu berkahwin. 

Siapakah bakal meneruskan anutan Islam sekiranya umat Islam tidak berkahwin? Zuriat yang dilahirkan bertujuan untuk diajar, mengamalkan dan meneruskan ajaran tauhid mengesakan Allah. Oleh itu amat penting umat Islam berkahwin dan mempunyai anak pinak.

Sesungguhnya amat besar ganjaran untuk orang yang berkahwin. Setiap apa yang dilakukan berkaitan hidup rumah tangga dikira ibadah. Mencari rezeki untuk isteri dan keluarga dikira fisabilillah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah” (Riwayat Thabrani).

Walaupun perkahwinan amat digalakkan, namun tidak boleh dipermudahkan umpama mencari ikan di pasar. Pemilihan pasangan perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin keserasian. 

Rasulullah menggariskan empat perkara perlu diperhatikan dalam memilih jodoh, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan keimanan. Sesiapa memperoleh keempat-empatnya, maka bertuahlah dirinya. Tetapi, jika gagal memenuhi kesemuanya, ambillah yang terbaik tanpa meninggalkan keimanan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakanlah wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Memilih pasangan yang sesuai amat penting memandangkan ikatan perkahwian merupakan perkongsian hidup dalam segenap segi sehingga ke akhir hayat. Kaedah memilih pasangan perlu dilakukan dengan bijaksana dan bukannya terpengaruh godaan nafsu semata-mata. 

Jika perkahwinan digalakkan, maka talak pula perlu dielakkan. Talak dibenarkan sebagai jalan penyelesaian terakhir jika segala usaha untuk perdamaian tidak berhasil. 

Sebab itu talak dibenarkan. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada suatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu” (Surah al-Baqarah: 236).

Tanggungjawab dalam perkahwinan amat besar dan tidak semudah disangka. Lelaki dan perempuan yang bersetuju membentuk ikatan perkahwinan secara mutlaknya telah bersetuju menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. 

Lelaki sebagai suami mempunyai tanggungjawab lebih berat berbanding perempuan sebagai isteri. Suami menjadi pemimpin rumahtangga dan bertanggungjawab menyediakan nafkah keperluan bagi isteri dan keluarga. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu bersekedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat” (Surah an-Nisa: 21).

Hakikatnya, semua penganut agama lain juga berkahwin. Tetapi perkahwinan itu dilakukan atas keperluan tabie dan tidak dikira sebagai sebahagian daripada ibadah. Perkahwinan bagi umat lain lebih mengikut keperluan adat. Jika tidak mahu mengikut adat, boleh bebas hidup bersama seperti pasangan suami isteri tanpa ikatan perkahwinan.

Islam membenarkan lelaki berpoligami atau beristeri lebih daripada satu pada satu masa sehingga empat. Namun, lelaki yang ingin berpoligami perlu menimbangkan baik buruknya. Jika difikirkan ‘perlu’, lakukan dengan niat mencari kebaikan. 

Suami dibenarkan berpoligami jika mampu berlaku adil. Sebaliknya jika difikirkan tidak mampu berlaku adil adalah lebih baik tidak berpoligami.   

Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 3 bermaksud: “Kemudian jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih baik kepada tidak berbuat aniaya.”

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab memastikan isteri dan ahli keluarga melakukan kebaikan dan menjauhkan larangan Allah. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah kamu dan keluarga kamu daripada api neraka” (Surah at-Tahrim: 6). 

Wednesday 18 July 2018

Erti nikmat makanan yang sebenar

Makanan satu nikmat dianugerahkan Allah. Ukuran nikmat rezeki dari Allah itu bukan tentang mahal atau lazat makanan itu. Nikmat itu bukan juga pada jenama yang hebat dan dimakan di tempat ternama. Sebaliknya, ukuran nikmat makanan itu apabila kita mampu menikmati rezeki makanan dengan rasa bersyukur. 

Tiada ertinya dapat makan jenis makanan mahal, sedangan kita tidak bersyukur. Tentu ada yang masih tidak sempurna pada nikmat itu sehingga menyebabkan tidak bersyukur.

Sebab itu, hargailah nikmat makan. Jangan ego dan angkuh dapat makan makanan yang mahal dan terkenal. Setiap makanan yang disuap ke dalam  mulut membawa erti nikmat dan lazat yang berbeza pada setiap orang. 

Orang kaya yang makanan yang bernilai berpuluh kali ganda lebih mahal berbanding hidangan orang miskin, belum tentu berasa nikmat melebihi apa yang dirasai oleh orang miskin.

Lihatlah, betapa berselera dan nikmatnya orang miskin menjamu selera biarpun dengan hidangan paling ringkas dan bernilai murah dan makan bersila di ruang dapur yang usang. Mereka makan dengan nikmatnya dan tidak ada sisa ditinggalkan. Semuanya dianggap rezeki yang perlu disyukuri biarpun sekadar pucuk ulam yang dipetik di dalam semak berhampiran rumah.

Dan, perhatikan pula golongan kaya yang makan di meja penuh hidangan pelbagai jenis dan berharga mahal. Mereka hanya makan sedikit. Kononnya tiada selera kerana terlalu memikirkan soal tugas harian. Atau tidak sempat hendak makan kerana perlu berkejar ke sana ke mari untuk mencari rezeki.

Makanan yang tidak habis dimakan dibuang begitu sahaja. Itu semua perbuatan membazir. Namun, bagi orang kaya itu tidak membazir. Apalah sangat belanja yang perlu dikeluarkan untuk menyediakan makanan itu. Apapun erti membazir bagi orang kaya, perbuatan membuang makanan adalah satu pembaziran. Sesungguhnya membazir itu amalan syaitan.

Maka itu, amalkan sikap bersyukur. Makanlah apa sahaja yang dimakan dengan rasa bersyukur kerana dengan itu kita akan merasai nikmat setiap makanan yang dimakan. 

Bersyukur kita masih ada makanan untuk dimakan, berbanding orang lain yang terpaksa menahan lapar dan dahaga biarpun bukan pada bulan Ramadan.

Sunday 15 July 2018

SEJARAH AWAL PERINTAH MELAKUKAN KORBAN

Sejarah awal amalan korban sebagai satu bukti ketakwaan kepada Allah SWT berlaku ketika menentukan hak memilih calon isteri antara Habil dan Qabil.

Pasangan Adam dan Hawa memperoleh zuriat secara berpasang-pasang, lelaki dan perempuan setiap kali Hawa melahirkan anak. Antara pasangan itu ialah Habil dilahirkan kembar dengan Labuda dan Qabil bersama kembarnya Iqlima.

Apabila dewasa mereka dinikahkan dengan adik beradik, tetapi bukan dengan kembar masing-masing. Adam menentukan Qabil berkahwin dengan Labuda dan Habil dengan Iqlima. Bagaimanapun Qabil membantah kerana Labuda tidak cantik. Dia ingin mengahwini kembarnya sendiri Iqlima yang cantik rupawan.

Kedegilan Qabil menyebabkan Adam buntu fikiran. Maka Allah SWT memerintahkan agar penentuan siapa layak mengahwini Iqlima dilakukan dengan penyediaan korban kepada Allah SWT. Siapa yang diterima korbannya oleh Allah SWT, dialah layak menjadi pasangan Iqlima.

Peraturan tersebut diterima oleh Habil dan Qabil. Mereka menyediakan korban mengikut apa yang dimiliki masing-masing. 

Habil yang menjadi penternak telah menyediakan korban seekor kibas yang paling baik dan gemuk daripada hasil ternaknanya. Kibas itulah paling disayanginya.

Manakala Qabil pula menyediakan gandum sebagai korban kerana dia seorang petani. Tetapi, Qabil memilih gandum yang telah busuk dan tidak lagi sesuai untuk dimakan. Gandum yang baik disimpan untuk dimakan.

Kedua-dua korban itu diletakkan di atas puncak gunung. Mana-mana korban yang diterima oleh Allah akan dimakan oleh sejenis api putih dari langit, manakala korban ditolak akan dimakan oleh burung dan binatang. Korban Habil telah diterima oleh Allah SWT. 

Peristiwa tersebut diceritakan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak (Habil dan Qabil) yang berlaku sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan suatu persembahan korban. Lalu diterima korban salah seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban yang lain (Qabil), berkata (Qabil): “Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu!” Jawab (Habil): “Hanya Allah menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27).

Korban Habil diterima kerana keikhlasannya melakukan korban itu. Dia memilih yang terbaik dan apa yang disayanginya. Sedangkan Qabil memilih apa yang tidak lagi diperlukan olehnya. Dia awal-awal lagi tidak ikhlas dan menyimpan sikap bongkak tetap tidak mahu menerima Labuda.

Sikap Habil menepati makasud korban yang sebenarnya. Dia sanggup mengorbankan apa yang disayangi demi untuk menzahirkan keikhlasannya.  Habil menyediakan korban yang baik bukan untuk menandingi korban Qabil bagi memperisterikan Iqlima. Bahkan Habil sanggup menerima siapa sahaja pasangan untuknya, termasuklah Labuda yang hodoh.

Dendam Qabil pada Habil semakin memuncak hingga ke satu peringkat tidak dapat dikawal lagi. Pada suatu hari Qabil memukul Habil dengan sebatang kayu sehingga mati. Peristiwa itu adalah kejadian pembunuhan yang pertama dan dipercayai juga kematian pertama keturunan manusia. 

Wednesday 11 July 2018

UNTUNG TANAM RUMPUT NAPIER

Rakyat di negara kita diperkenalkan dengan pelbagai jenis perniagaan yang dulunya satu perkara yang dianggap pelik dan tidak masuk akal. Tentulah satu perkara tidak lojik apabila lintah yang dianggap musuh petani kini menjadi satu usaha yang mendatangkan keuntungan lumayan. Begitu juga dengan usaha menternak cacing. 

Satu lagi penemuan baru yang bakal memberi keuntungan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya iaitu tanaman rumput. Selari dengan aktiviti penternakan di negara kita yang kini berkembang menjadi satu bidang perniagaan, bekalan makanan untuk haiwan ternakan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

Satu kajian telah berjaya menemui potensi besar keuntungan kepada mereka yang mengusahakan tanaman rumput yang dikenali rumput napier India. 
 
Spesis rumput napier India sesuai ditanam di negara kita. Rumput napier India mudah ditanam dan membesar dalam tempoh masa yang singkat berbanding jenis rumput napier lain.

Selain mudah ditanam, kandungan protin yang tinggi antara 16 hingga 20 peratus sesuai untuk dijadikan makanan ternakan khususnya lembu dan kambing.

Jika lembu atau kambing diberi makan rumput napier India, ia tidak lagi memerlukan penyediaan makanan lain untuk tumbesaran haiwan ternakan itu dan ini tentu memudahkan penternak dan menjimatkan. 
 
Setiap ekar kawasan tanaman rumput napier India boleh memberi pulangan kira-kira RM1,000 untuk sekali tuai dan ia boleh diulang tuai dalam tempoh kira sebulan sekali.

Penternak yang menanam rumput napier India dapat menyediakan makanan untuk ternakan lebih murah berbanding makanan khusus dalam bentuk pelet atau yang diproses. 
 
Langkah itu dapat menjimatkan perbelanjaan dan sekaligus meningkatkan untung. Perbelajaan membeli makanan diproses boleh dijimatkan separuh jika ia digantikan dengan rumput. 

Monday 9 July 2018

CARI MAKLUMAT MENGENAI CALON ISTERI KETIKA ADAT MERISIK

Pinang atau meminang merupakan permintaan lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isterinya. Permintaan itu disampaikan terus kepada tuan badan atau melalui walinya. Dalam masyarakat Melayu, proses meminang diadakan secara beradat yang melibatkan merisik atau bertanya khabar, sebelum majlis meminang.

Merisik sebelum meminang adalah tuntutan agama. Cara mana merisik diadakan tidak ditetapkan. Tidak semestinya diadakan acara rasmi seperti biasa diadakan. Apa yang dikehendaki ialah maklumat mengenai perempuan yang bakal dipinang. Ia dilakukan agar tidak menyalahi tuntutan syariat dan memudahkan tercapai tujuannya.  

Maklumat yang perlu diketahui ketika merisik:

Pertamanya, perempuan hendak dipinang bukan menjadi isteri kepada lelaki lain. Sememangnya tidak ada pihak keluarga yang bertindak pergi meminang isteri orang. 

Lainlah, jika perempuan itu berkahwin senyap-senyap dan tidak jelas tanda-tanda dia isteri orang. Inlah sebabnya mengapa Rasulullah menyuruh agar majlis perkahwinan dihebahkan kepada pengetahuan umum melalui majlis walimatulurus atau apa-apa cara sekalipun. 

Banyak kes berlaku ialah lelaki menjalin hubungan dengan perempuan bergelar isteri. Lelaki mungkin mengetahui status wanita itu. Dalam kes tertentu, lelaki tidak mengetahui status wanita disebabkan suaminya tinggal bekerja di tempat lain. Hubungan secara maya juga sering menyebabkan terperangkap cinta terlarang.  

Kes sedemikian diistilahkan isteri curang atau main kayu tiga. Lelaki yang menjalin hubungan dengan isteri orang menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya. Kenyataan itu juga bermaksud ‘meminang’.

Peminangan itu akan mendorong wanita meminta cerai daripada suaminya sebagai jalan membolehkan berkahwin dengan kekasihnya. Sesungguhnya perceraian amat ditegah dilakukan. Adalah menjadi satu kesalahan besar mana-mana isteri meminta cerai daripada suami tanpa apa-apa kesalahan dilakukan oleh suami.

Perempuan yang masih bergelar isteri haram dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia menjadi hak mutlak suaminya. Seorang isteri hanya putus hubungan dengan suami setelah dia diceraikan dan telah tamat edahnya. 
 
Islam amat mementingkan hubungan suami isteri yang baik sepanjang masa. Jadi, isteri ditegah sama sekali menaruh minat kepada lelaki lain. Manakala lelaki pula diharamkan menaruh minat kepada mana-mana wanita yang masih bergelar isteri. 

Keduanya, perempuan yang hendak dipinang bukan tunangan lelaki lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Banyak lelaki masih menaruh minat terhadap perempuan yang sudah bertunang. Alasan bahawa ikatan pertunangan boleh diputusakan bila-bila masa sahaja sering dijadikan alasan oleh lelaki yang ingin merampas tunangan orang. 

Bahkan, perempuan yang bertunang juga mudah terpikat kepada lelaki lain kerana ikatan pertunangan sekadar satu janji dan bukannya rugi apa-apa jika diputuskan. 

Tambahan pula ada ikatan pertunangan yang sebenarnya tidak disukai oleh perempuan berkenaan. Pertunangan itu di atas kehendak keluarga. Jadi, jika ada lelaki lain ingin memikatnya atau kekasih pilihan, maka dia mengharapkan pertunangan itu diputuskan.

Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan perempuan sudah bertunangan samalah seperti merampas hak orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang saling ingin memiliki perempuan yang sama. 

Islam amat mementingkan hubungan persaudaran. Maka sesiapa yang memutuskan persaudaraan amat dicela sifatnya. Sesungguhnya ditegaskan tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia kasih saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri sendiri.     

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki. 

Perempuan telah bertunang juga boleh dipinang jika diizinkan oleh tunangnya. Keadaan  ini di mana tunangnya bersedia memutuskan pertunangan jika ada lelaki lain ingin meminang tunangnya. Hakikatnya, pertunangan itu belum diputuskan sehinggalah ada lelaki lain meminang perempuan itu. 

Rasulullah bersabda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehinggalah lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ketiga, perempuan yang hendak dipinang tidak dalam edah. Edah ialah masa selepas diceraikan sehingga genap tempohnya yang membolehkan perempuan berkahwin semula. Masa edah ialah tiga kali haid atau 100 hari bagi wanita yang diceraikan.

Manakala idah bagi balu kematian suami ialah empat bulan 10 hari. Firman Allah bermaksud: “Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (idah) empat bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat,” (Surah al-Baqarah, ayat 234).

Dalam masa edah perempuan tidak boleh berkahwin. Wanita yang diceraikan ole suaminya dengan talak raji (talak satu dan dua), boleh dirujuk kambali oleh suaminya pada bila-bila masa yang dikehendakinya, selagi tempoh edahnya belum tamat. Talak raji ialah talak yang boleh dirujuk semula.

Hal demikian ada dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (bekas) suami mereka lebih berhak kembali kepada mereka (rujuk), (dalam masa edah raji), jika mereka mengkhendaki pendamainan.” (Surah al-Baqarah, ayat 228).

Manakala isteri ditalak dengan talak bain (talak tiga), juga perlu melalui tempoh edah.  Edah bertujuan bagi memastikan dia benar-benar tidak mengandungkan zuriat (dapat pastikan dengan setelah tiga kali suci haid) bekas suaminya.  Jika dia mengandung, edahnya dilanjutkan sehingga melahirkan kandungan.

Janda diceraikan dengan talak bain tidak boleh dirujuk atau berkahwin semula dengan bekas suaminya. Bagaimanapun, peluang untuk kedua-duanya berkahwin semula hanya ada setelah wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, dan di antara keduanya telah bercampur, kemudian diceraikan pula oleh suami baru.
 
Perlu ditegaskan, perkahwinan dengan suami baru itu perlu dilakukan dengan niat perkahwinan sebenarnya. Maksudnya perkahwinan yang ingin berkekalan sepanjang hayat. Perceraian (kemudian jika berlaku) tidak terlintas di dalam hati kedua-duanya. 

Amalan ‘cina buta’ seperti dilakukan dalam masyarakat sebenarnya tidak wujud dalam hukum agama. Cina buta jika dirancang dan diniatkan, maka perkahwinan itu tidak sah. Lelaki yang dipertanggungjawabkan sebagai cina buta telah ditetapkan agar menceraikan isteri dalam tempoh tertentu selepas berkahwin. 

Perbuatan itu sama dengan kahwin kontrak atau kahwin mutaah. Kahwin mutaah diharamkan atau tidak sah. Justeru, syarat ‘kahwin’ bagi membolehkan isteri dicerai bain berkahwin semula dengan suami asal tidak sah. 

Bagaimanapun, perkahwinan itu sah jika lelaki yang dijadikan cina buta itu tidak mengetahui perkara sebenarnya. Dia berkahwin dengan niat baik, tetapi dipaksa menceraikan isterinya. Namun, terimalah balasan dosa mereka yang sengaja melakukan perbuatan itu. 

Janda ditalak dengan talak bain dan balu kematian suami boleh dipinang dengan cara sindiran ketika masih dalam edah. Maksud sindiran ialah ia tidak dinyatakan secara terus terang. Perbuatan itu sekadar memberi ‘isyarat’ keinginan hati yang mana difahami oleh perempuan itu.

Keempat, perempuan yang hendak dipinang mestilah sah nikah dengannya atau bukan muhrimnya. Haram bagi seorang lelaki meminang wanita muhrimnya, kerana di antara keduanya diharamkan nikah. 

Perempuan-perempuan yang diharamkan dikahwini ada dijelakan dalam surah an-Nisa ayat 32 bermaksud: “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mertuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya.”