Tuesday 24 December 2019

TUMPAT DAERAH UNIK TARIKAN PELANCONG

Jajahan (daerah) Tumpat salah satu jajahan di Kelantan. Daerah Tumpat dipisahkan bersempadan dengan daerah Kota Bharu, daerah Pasir Mas dan negara Thailand.

Tumpat dan Kota Bharu dipisahkan oleh Sungai Kelantan dengan Jambatan Sultan Yahya Petra sebagai penghubung. Dihubungkan dengan Pasir Mas menggunakan Jalan Kutan dan Jalan Kg. Jambu. Tumpat dipisahkan dengan Thailand oleh sempadan Sungai Golok yang hanya boleh menggunakan feri dan bot sebagai penghubung.

Jajahan Tumpat ditadbirkan melalui tujuh daerah (mukim) penggawa dan dibahagikan kepada 30 mukim. Di setiap mukim (kampung) ini pula terdapat beberapa buah kampung yang kesemuanya berjumlah 57 buah dan setiap kampung diketuai oleh seorang penghulu (ketua kampung) yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan pentadbiran jajahan.

Memandangkan kedudukan bersebelahan bandar Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan dan pusat perekonomian, kebanyakan penduduk Tumpat banyak berurusan di Kota Bharu, termasuk mencari rezeki.

Penduduk yang tinggal di Pasir Pekan, Wakaf Bharu dan kawasan sekitar akan berurusan di Kota Bharu, berbanding pergi ke bandar Tumpat. Maka, jadilah bandar Tumpat sebagai bandar 'mati'. Jarang sangat orang masuk ke bandar Tumpat.

Dahulu Tumpat cukup terkenal kerana menjadi perhentian terakhir perjalanan kereta api. Penduduk Kota Bharu perlu ke Wakaf Bharu jika ingin menggunakan perkhidmatan kereta api.

Malah, di Tumpat juga pernah wujud sebuah pelabuhan yang menjadi nadi aktiviti import eksport negeri Kelantan.

Jajahan Tumpat adalah satu-satunya jajahan yang paling kecil antara jajahan di Negeri Kelantan dengan keluasannya hanya 169.5 kilometer persegi.

Bagaimana pun Tumpat merupakan jajahan yang paling unik sekali kerana mempunyai dataran dan beratus-ratus buah pulau sungai (river island) yang tidak berbukit yang amat sesuai serta berpotensi untuk dijadikan kawasan pelancongan. 

Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubur salah satu daya tarikan ke Tumpat selain keindahan Pantai Sri Tujuh dan Pantai Sri Genting.

Di Tumpat terdapat beberapa buah wat Buddha yang berstatus besar yang menjadi tarikan pelancongan dari luar negara. Tumpat adalah daerah paling ramai dihuni penduduk menganut agama Buddha.

Thursday 19 December 2019

KHASIAT BUNGA KANTAN MENAMBAH AIR SUSU IBU

Pokok bunga kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord biasanya hidup secara meliar di kawasan pinggir hutan dan kawasan kampung. Namun disebabkan permintaan yang tinggi, kini pokok kantan ada ditanam secara komersial.

Pokok bunga kantan yang tergolong dalam keluarga halia digunakan sebagai penambah perasa dan aroma makanan selain menjadi penawar pelbagai jenis penyakit termasuk turut digunakan untuk awet muda dalam kalangan wanita Melayu.

Pokok kantan biasanya tumbuh dalam satu rumpun. Pokok kantan tumbuh subur hingga mencapai ketinggian dua meter.

Bunga Kantan pula terdapat pada batang-batang pokok yang tumbuh dan muncul dari tanah. Bunga kantan ada tiga jenis warna iaitu bunga berwarna merah, putih dan merah jambu.

Dalam masakan, bunga kantan biasanya digunakan sebagai salah satu ramuan dalam pelbagai jenis masakan, misalnya resepi asam pedas, campuran untuk laksa dan kerabu. Ada juga menjadikannya sebagai ulam pembuka selera makan.

Menurut orang tua-tua, jika anda mengamalkan memakan bunga kantan secara mentah-mentah, ia boleh menjadi rawatan awet muda kepada kaum wanita, maka digalakkan memakan bunga kantan secara mentah-mentah.

Manakala menurut pengamal perubatan tradisional dari sejak zaman berzaman, dikatakan bahawa bunga kantan ini baik digunakan untuk merawat penyakit darah tinggi dan juga kencing manis.

Selain itu, khasiat bunga kantan dikatakan dapat menghilangkan rasa tidak bermaya jika selalu diamalkan memakannya.

Juga, jika anda kurang selera makan, amalkanlah dengan kerap memakan bunga kantan secara mentah-mentah ataupun dicampurkan dengan laksa ataupun nasi kerabu.

Bunga kantan juga berkesan untuk menghilangkan masalah badan yang berbau dengan cara merebus batang pokok kantan dan air rebusan itu dibuat air mandian.

Selain menambah kenikmatan dalam masakan, bunga kantan juga memiliki banyak khasiat untuk kesihatan.

Bunga kantan mempunyai kandungan zat aktif ‘flavonida’, ‘saponin’, ‘fenolik’, ‘alkaloid’, ‘tannin’, ‘triterpenoid’ ‘glikosa’, ‘steroid’ dan ‘polifenol’ yang baik untuk menghilangkan bau badan, membersihkan darah dan memperbanyakkan air susu ibu ketika menyusui.

Selain itu, bunga kantan juga mengandungi antioksidan yang tinggi, antimikroba , vitamin dan juga mineral yang sangat bermanfaat bagi tubuh kita.

Vitamin C yang terkandung di dalamnya bermanfaat sebagai antioksidan untuk mengurangi akumulasi produk radikal bebas,meneutralkan racun dan melindungi penyakit genetik.

Pokok berkenaan hidup subur di kawasan berair dan lembap sementara musuh seperti serangga tidak berminat menyerang kerana aroma yang terdapat padanya.

Setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok.

Hanya bunga yang belum berkembang saja diambil bagi memastikan ia tidak mudah rosak dan busuk apabila terdedah cuaca panas.

Bunga kantan jenis merah dianggap terbaik dan mendapat permintaan lebih tinggi dalam kalangan suri rumah dan tukang masak profesional berbanding jenis putih dan merah jambu.

Pokok bunga kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, namun pada waktu tertentu pengeluaran bunga berkurangan dalam tempoh beberapa bulan.

Projek tanaman pokok bunga kantan mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara besar-besaran.Harga produk berkenaan di pasaran katanya mencecah RM4 sekuntum terutama pada musim perayaan.

Monday 16 December 2019

IKAN KELI LIMBAT PEMAKAN BANGKAI

Ikan keli limbat (clarias nieuhofi) merupakan sejenis ikan keli liat yang hidup dalam kawasan belukar atau semak-samun yang ditakungi air di kawasan sawah.

Ikan keli limbat mempunyai ukuran tubuh lebih dua kali ganda daripada ikan keli biasa atau seakan-akan belut. Tubuhnya berwarna kuning pekat. Ikan keli limbat kini sukar untuk ditemui.  

Ikan keli limbat dipercayai berkurangan berikutan tidak ada kawasan tanah sawah terbiar seperti pada 1960-an dan 70-an. Selain itu, tanah belukar yang ditakungi air diteroka untuk dijadikan kawasan pertanian.

Ikan keli limbat mendiami di kawasan hulu sungai, alur air dan kawasan berpaya. Ikan keli limbat memakan anak ikan, serangga, udang dan juga terkenal sebagai pemakan bangkai. 
 
Dikatakan ikan keli limbat 'sanggup' naik ke darat untuk memakan bangkai yang ada di tepi.

Terdapat kampung yang menggunakan nama 'limbat'. Di Kelantan terdapat Kampung Limbat dan di Terengganu pula Kampung Alor Limbat.

Umpan terbaik untuk memancing ikan keli limbat ialah buah kelapa sawit dan daging ayam.

Wednesday 11 December 2019

Pati ibu syampu Jamu Jelita

Pati Ibu Syampu keluaran Jamu Jelita menggabungkan kebaikan kolagen bersama sumber botani seperti gamat, Aloe Vera, daun Neel dan biji betik yang menyimpan 1001 kebaikan untuk kecantikan dan kesihatan rambut.

Ia sesuai untuk diamalkan setiap hari bagi bagi mendapatkan rambut yang lebih lebat, halus dan bermaya.

KEBAIKAN PATI IBU SYAMPU JAMU JELITA
- Menyingkirkan kotoran mahupun minyak pada rambut dan kulit kepala
- Merawat rambut yang rosak dan bermasalah
- Memelihara kelembutan dan kecantikan rambut anda
- Menjadikannya lebih subur dan lebat
- Membantu mencegah dan mengatasi masalah rambut gugur
- Menguatkan rambut dari akarnya
- Merawat masalah kelemumur dan kegatalan
- Menyerlahkan warna sebenar rambut
- Mengatasi dan mengurangkan masalah uban
- Mengatasi masalah rambut bercabang
- Mengekalkan kelembapan rambut dan kulit kepala
- Memelihara kesegaran rambut dan kulit kepala

CARA PENGGUNAAN PATI IBU SYAMPU JAMU JELITA
- Lumurkan Pati Ibu Syampu pada rambut yang basah.
- Biarkan selama 1-2 minit.
- Bilas sehingga bersih.
- Untuk hasil yang terbaik, amalkan setiap hari bersama Krim Mahkota Rambut Berherba & Kolagen.

Kandungan: 200 ml 


Saturday 30 November 2019

SEJARAH KAMPUNG SUNGAI SAM, KUALA KRAI

Kampung Sam merupakan sebuah perkampungan di Kuala Krai, Kelantan. Terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Kuala Krai yang menjadi pusat pentadbiran bagi jajahan (daerah) Kuala Krai dan 130 kilometer dari Kota Bharu, ibunegeri Kelantan.

Kampung Sungai Sam telah dibuka pada 1960 oleh sekumpulan bekas anggota keselamatan. Pada awalnya, kampung ini diberi nama Kampung Jasa Perwira

Pada ketika itu, satu-satunya cara untuk sampai ke lokasi tersebut ialah melalui Sungai Kelantan menggunakan bot galah (perahu panjang yang berenjin). Mereka akan bermula di pengkalan bot di Kuala Krai iaitu di Tangga Bradley yang kini dikenali Tangga Krai.

Bot galah akan mudik ke hulu sehingga sampai di cabang sungai yang menemukan dua sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Galas.

Perjalanan seterusnya memasuki Sungai Lebir sebelum sampai di cabang Sungai Sam dan perjalanan diteruskan ke pengkalan bot Kampung Sungai Sam.

Biarpun jarak mudik hanya kira-kira 40 kilometer, namun masa yang diambil untuk sampai Pengkalan Bot Sungai Sam dari Pengkalan Bot Tangga Krai kira-kira 8 jam.

Selepas sampai di Pengkalan Bot Sungai Sam, mereka perlu meruskan perjalanan dengan berjalan kaki selama kira satu jam untuk sampai ke Kampung Sungai Sam.

Pada musim kemarau, air sungai menjadi cetek dan menyebabkan bot galah sukar untuk bergerak. Keadaan itu menyebabkan penumpang terkandas dan kadang kala terpaksa bermalam di perkampungan tepi sungai sambil menantikan air sungai naik kembali untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah keadaan sukar yang terpaksa dihadapi oleh peneroka awal di Sungai Sam. Itu tidak termasuk kesukaran lain dari segi kemudahan asas.

Perjalanan pada masa dahulu yang mengambil masa kira-kira sembilan jam itu, kini dipendekkan hanya kepada kira-kira 45 minit sehingga sejam dengan adanya kemudahan Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang yang mula dibuka sekitar tahun 1980an.

Setelah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) kelantan ditubuhkan, pengurusan tanah rancangan ini diambil alih dari pengurusan persatuan bekas perajurit.

Selepas pertukaran pucuk pimpinan kerajaan Kelantan pada 1978, LKTN Kelantan ditukar nama kepada Perbadanan dan Pemulihan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR)  dan kemudian telah diserapkan di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Serentak dengan peralihan diletak di bawah pentadibran KESEDAR, Kampung Sungai Sam mula dikenali sebagai Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Sam.

Biarpun terletak jauh di pedalaman, Kampung Sungai Sam ini menikmati kemudahan yang seadanya.

Jika berkunjung di Kampung Sangai Sam, anda akan melihat replika parang. Parang menjadi memori kepada generasi peneroka terawal sebagai senjata untuk meneroka dan membangunkan perkampungan tersebut.

Thursday 21 November 2019

CARA BERKESAN GUNA SKINCARE


Wanita tidak lepas daripada menggunakan Skincare. Tidak kisahlah yang berjenama terkenal atau yang biasa-biasa saja.  

Set asas skincare yang ada di pasaran ialah 3 dalam 1 yang mengandungi sabun, krim siang dan krim malam.

Manakala set lengkap pula biasanya turut ditambah toner dan serum.

Cara guna skincare secara asasnya sama untuk semua produk. Mungkin ada sedikit beza hanya pada produk tertentu saja.

Waktu Siang
- Cuci muka dengan sabun. Lap kering.
- Pakai toner (jika ada) Sapu guna kapas.
- Pakai serum (jika ada)
- Pakai krim siang.
- Pakai sunblock (jika ada)
- Makeup seperti biasa.

Waktu Malam - elok dilakukan setengah jam sebelum tidur.
- Cuci muka dengan sabun. Lap kering.
- Pakai toner (jika ada) Sapu guna kapas.
- Pakai serum.
- Pakai treatment cream (jika ada)
- Pakai krim malam.

Semoga matlamat ini bermanfaat kepada anda. Selamat mencuba semua. 

Friday 15 November 2019

PERTANIAN BUKIT DI LUBOK ANTU

Di Sarawak, aktiviti pertanian pindah atau pertanian bukit masih dilakukan, terutama di kawasan pedalaman. Salah satu kawasan mengamalkan pertanian bukit ialah di Lubok Antu.

Lubok Antu ialah sebuah daerah di Bahagian Sri Aman, Sarawak. Ia bersempadan dengan Badau, Kalimantan Barat, Indonesia. Kawasan ini berbukit bukau. Jarak dari Kuching kira-kira 250 kilometer.

Pertanian pindah menumpukan kepada beberapa jenis tanaman seperti padi huma, keledek, sayur sayuran dan buah-buahan.

Jenis pertanian ini menggunakan cara-cara penanaman dan peralatam tradisional seperti cangkul, tugal, kapak, parang dan batang kayu.

Menariknya aktiviti pertanian yang dilakukan di sini diusahakan secara gotong royong. Namun, pemilikan masih milik individu atau keluarga.

Kerja gotong royong biasanya diadakan semasa membersihkan kawasan dan menanam.

Aktiviti gotong royong itu membentuk jalinan hubungan yang sangat akrab dan bersatu padu di kalangan penduduknya.

Selain aktiviti pertanian bukit, penduduk Lubok Antu juga mengusahakan pernternakan ikan dalam sangkar. Sangkar-sangkar tersebut dibina di tasik yang terletak di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

Kerja-kerja penternakan dikendalikan oleh para penduduk yang menganggotai Persatuan Peladang Lubok Antu. Antara ikan yang diternak ialah tilapia, patin, baung dan belida.

Wednesday 13 November 2019

PUCUK GAJUS RAWAT TEKANAN DARAH TINGGI

Salah satu jenis ulam digemari ialah pucuk gajus atau pucuk ketereh. Daun gajus muda berwarna merah atau merah perang. Daun gajus yang telah bertukar menjadi hijau masih boleh dijadikan ulam selagi ia masih lembut dan sesuai untuk dimakan.

Rasa pucuk ketereh yang kelat masam menjadikan ia sebagai salah satu ulam popular di negara kita.

Pucuk muda gajus boleh dimakan mentah dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk, sambal atau pencicih lain.   

Pemilihan pucuk yang muda mudah ketika musim hujan tetapi agak berkurangan dalam musim kemarau.

Khasiat pucuk gajus dipercayai mengelakan penyekit kanser, membantu proses penghadaman serta baik untuk mereka yang ada masaalah tekanan darah tinggi.

Pucuk gajus muda selain dibuat ulam mentah juga boleh dicampur dengan ulam atau bahan lain untuk dijadikan kerabu.

Pucuk gajus muda juga dijadikan bahan rebusan untuk diminum airnya.

Pucuk gajus dipercayai boleh membantu mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah manakala daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.

Amalan mengambil ulaman pucuk gajus boleh menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar. Malah, ianya membantu aliran darah menjadi sempurna, minda dan tubuh menjadi lebih sihat dan segar, sesuai untuk kulit dan mata.

Tuesday 5 November 2019

PUNCA LELAKI TIDAK KUAT


Kita tidak selamanya kuat. Kekuatan tenaga lelaki menurun seiring dengan peningkatan umur, tetapi bukan faktor mutlak.

Terdapat lelaki sudah lemah tenaga seawal usia 30 an. Keadaan itu dikenali lemah tenaga batin atau mati pucuk. Ada juga lelaki masih mengekalkan tenaga kelelakian biarpun usia telah melepasi 70 an.

Masalah mati pucuk pada usia muda atau pertengahan berpunca dari banyak sebab. Masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis banyak jadi punca masalah tenaga lelaki. 

Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang tidur, tekanan perasaan, kurang rehat dan kurang mengambil pemakanan berzat juga punca kemerosotan tenaga batin.

Untuk kembali bertenaga, amalkan cara hidup sihat. Amal bersukan dan elak memakan makanan boleh mendatangkan keburukan kepada kesihatan. Kawal makan untuk mengelak kegemukan.

Ketika usia semakin meningkat, utamakan pengambilan makan berzat atau pemakanan tambahan. Ambil pil atau minuman mengandungi herba untuk meningkatkan tenaga kelelakian.

Namun, jangan terpengaruh dengan ubat kuat menjanjikan kuasa hebat yang dicampur dengan barang terlarang boleh mendatangkan bahaya sehingga ada menyebabkan maut.

Pergi jumpa doktor sakit tuan dan bincang cara untuk mengubatinya. Banyak cara selamat boleh dilakukan untuk memulih tenaga batin. Kosnya berbaloi dan tidak melibatkan prosedur rumit. Hidup kembali ceria dan bermakna.

Usaha rawatan lemah tenaga batin banyak berjaya. Pesakit lemah tenaga batin boleh kembali normal selepas mendapat rawatan. Bahkan ada yang mengalami pengalaman prestasi tenaga kelelakian terbaik sepanjang hidup yang telah dilalui. 

Dengan kata lain, peluang sembuh dan kembali bertenaga masih terbuka kepada mereka mengalami masalah tenaga lelaki.

Apa yang penting ialah dapatkan rawatan sewajarnya. Jangan mudah menekan butang panik apabila berdepan situasi lemah kuasa kelelakian.

Dalam menangani soal lemah tenaga batin jangan terlalu tertekan. Terima seadanya apa yang dialami. Sedarlah hakikat keadaan tubuh semakin lemah disebabkan pelbagai penyakit. Jangan fikir kehendak masih ikut nafsu muda, sedangkan umur semakin meningkat.  

Saturday 2 November 2019

IDENTITI MELAYU THAILAND


Negara Siam merujuk kepada Thailand. Penggunaan perkataan Siam dikatakan lebih awal daripada Thailand.

Situasi ini lebih kurang sama dengan Tanah Melayu sebelum dikenali Malaya dan kemudian Malaysia.

Jika di Tanah Melayu, penduduk asalnya adalah Melayu yang sinonim dengan Islam. Manakala di Thailand, kaum Siam penduduknya beragama Buddha.

Sepertimana orang Melayu ada juga di negara lain. Begitu juga kaum Siam ada di negara lain, termasuklah di Malaysia.

Orang Siam di Malaysia juga majoriti beragama Buddha seperti mana Siam di Thailand. Begitu juga orang Melayu, biarpun di mana tempat tinggal, majoritinya beragama Islam.

Jadi, orang Melayu di Thailand tidak sesuai dipanggil 'Melayu Siam'. Mereka sepatutnya dikenali dengan nama 'Melayu Thailand'. Sepertimana orang Melayu di Singapura dikenali sebagai 'Melayu Singapura'.

Melayu yang ditinggal di luar Malaysia biasanya dikenali dengan panggilan Melayu dan diikuti dengan nama tempat tersebut. Kita ada Melayu Sri Langka, Melayu Cape Town atau Melayu Afrika Selantan dan lain-lain.

Maka, amat sesuai jika kita memanggil orang Melayu di Thailand dengan gelaran 'Melayu Thailand' atau 'Melayu Patani'.

Identiti ini lebih seragam untuk mengenali bangsa Melayu di luar Malaysia atau Tanah Melayu.

Dan, perkara paling penting ialah untuk membezakan identiti Siam yang dikaitkan dengan agama Buddha.

Monday 28 October 2019

KHASIAT BUAH KEMUNTING

Kemunting menghasilkan buah berbentuk beri yang bujur yang boleh dimakan mentah atau dibuat jem, jeli atau jus. Isi buah yang manis ini memang sedap dimakan. Buah yang masih muda rasanya kelat.

Biasanya, buah yang terhasil daripada pokok yang ditanam lebih manis berbanding dengan pokok yang tumbuh liar.

Di luar negara ada yang mengusahakan ladang kemunting yang memberi gambaran bernilainya buah kemunting.

Pokok kemunting boleh dijadikan pokok hiasan dan buahnya boleh dimakan.

Pokok kemunting mudah tubuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Khasiat buah kemunting:
- Air rebusan buah kemunting masak merawat cirit birit.  
- Buah kemunting yang dimakan segar baik sebagai tonik penghadaman.
- Kandungan buah ini mampu meningkatkan hemoglobin sel darah merah.
- Buah kemunting kaya antioksidan.

Thursday 24 October 2019

NEGARA MAJU HARAMKAN VAPE

Menghisap vape dianggap pilihan lebih selamat berbanding menghisap rokok atau tembakau. Namun, walaupun kurang berbahaya berbanding rokok, itu bukan alasan untuk menghisap e-rokok atau vape. Bahayanya tetap ada.

Ironinya, penghisap vape mempamerkan sikap bangga menghisapnya tanpa mengira tempat dan suasana.

Di kebanyakan negara, perbuatan menghisap cape tidak dikawal. Namun, menyedari perbuatan itu mendatangkan keburukan dan bahaya, terdapat negara mula melarang dan mengehadkan pengedarannya.

Bagaimanapun baru-baru ini, Australia, Brazil, India dan Jepun ini telah melarang atau mengehadkan pemasaran e-rokok.

Sementara itu, Amerika Syarikat pula telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan penjualan e-rokok berperisa.

Jika di negara maju berusaha mengharamkan penjualan e-rokok berperisa, perkara itu sepatutnya turut dilakukan di negara kita.

Bersama membendung perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya.

Friday 18 October 2019

JIHAD BASMI KEMISKINAN


Berusaha mencari rezeki dan mengelak daripada kemiskinan merupakan jihad. Maksud jihad bukan hanya untuk mereka berjuang di medan peperangan. Sebaliknya, melakukan sesuatu disuruh agama dengan satu kesungguhan juga merupakan satu jihad.

Biarpun manusia tinggal di tempat berbeza dari segi cuaca, tanah tanih dan sumber bekalan di sekeliling, Allah mencukupkan segala keperluan untuk manusia mengikut apa yang diperlukan setempat.

Di padang pasir Allah menghidupkan unta yang tahan cuaca panas, di kutub yang sejuk hidup pula pelbagai jenis hidupan yang sesuai dijadikan sumber makanan dan di hutan rimba terdapat tumbuhan mengeluarkan buah. Semua itu tanda kemurahan rezeki yang Allah sediakan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” - (Surah al-Mulk, ayat 15).

Sikap malas bekerja dan berserah kepada takdir semata-mata bukan dari amalan umat Islam. Allah mengingatkan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat dari pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri, maka dia akan diberi keampunan.” - (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Rasulullah juga menjelaskan sesiapa melakukan usaha untuk mendapat rezeki akan dilindungi daripada menanggung perasaan aib. Biar apapun jenis pekerjaan yang dilakukan, asalkan halal, tetap dipandang mulia oleh agama.

Hadis diriwayatkan oleh Baihaqi bermaksud: “Sekiranya salah seorang di antara kamu mengambil tali dan keluar mencari kayu api, kemudian dia memikul kayu api itu dibawa pulang dan dijualnya, maka dengan itu Allah memelihara air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau tidak.”

Sekiranya umat Islam ingin terus dipandang tinggi dan tidak diperalatkan oleh orang lain, cara paling tepat ialah mengelak diri daripada kemiskinan.

Manakala, pemimpin paling berjaya ialah pemimpin yang mengelak rakyatnya daripada kemiskinan. Agama mudah ditegakkan jika rakyat hidup dalam keadaan selesa dan tenteram.