Monday 28 October 2019

KHASIAT BUAH KEMUNTING

Kemunting menghasilkan buah berbentuk beri yang bujur yang boleh dimakan mentah atau dibuat jem, jeli atau jus. Isi buah yang manis ini memang sedap dimakan. Buah yang masih muda rasanya kelat.

Biasanya, buah yang terhasil daripada pokok yang ditanam lebih manis berbanding dengan pokok yang tumbuh liar.

Di luar negara ada yang mengusahakan ladang kemunting yang memberi gambaran bernilainya buah kemunting.

Pokok kemunting boleh dijadikan pokok hiasan dan buahnya boleh dimakan.

Pokok kemunting mudah tubuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Khasiat buah kemunting:
- Air rebusan buah kemunting masak merawat cirit birit.  
- Buah kemunting yang dimakan segar baik sebagai tonik penghadaman.
- Kandungan buah ini mampu meningkatkan hemoglobin sel darah merah.
- Buah kemunting kaya antioksidan.

Thursday 24 October 2019

NEGARA MAJU HARAMKAN VAPE

Menghisap vape dianggap pilihan lebih selamat berbanding menghisap rokok atau tembakau. Namun, walaupun kurang berbahaya berbanding rokok, itu bukan alasan untuk menghisap e-rokok atau vape. Bahayanya tetap ada.

Ironinya, penghisap vape mempamerkan sikap bangga menghisapnya tanpa mengira tempat dan suasana.

Di kebanyakan negara, perbuatan menghisap cape tidak dikawal. Namun, menyedari perbuatan itu mendatangkan keburukan dan bahaya, terdapat negara mula melarang dan mengehadkan pengedarannya.

Bagaimanapun baru-baru ini, Australia, Brazil, India dan Jepun ini telah melarang atau mengehadkan pemasaran e-rokok.

Sementara itu, Amerika Syarikat pula telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan penjualan e-rokok berperisa.

Jika di negara maju berusaha mengharamkan penjualan e-rokok berperisa, perkara itu sepatutnya turut dilakukan di negara kita.

Bersama membendung perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya.

Friday 18 October 2019

JIHAD BASMI KEMISKINAN


Berusaha mencari rezeki dan mengelak daripada kemiskinan merupakan jihad. Maksud jihad bukan hanya untuk mereka berjuang di medan peperangan. Sebaliknya, melakukan sesuatu disuruh agama dengan satu kesungguhan juga merupakan satu jihad.

Biarpun manusia tinggal di tempat berbeza dari segi cuaca, tanah tanih dan sumber bekalan di sekeliling, Allah mencukupkan segala keperluan untuk manusia mengikut apa yang diperlukan setempat.

Di padang pasir Allah menghidupkan unta yang tahan cuaca panas, di kutub yang sejuk hidup pula pelbagai jenis hidupan yang sesuai dijadikan sumber makanan dan di hutan rimba terdapat tumbuhan mengeluarkan buah. Semua itu tanda kemurahan rezeki yang Allah sediakan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” - (Surah al-Mulk, ayat 15).

Sikap malas bekerja dan berserah kepada takdir semata-mata bukan dari amalan umat Islam. Allah mengingatkan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat dari pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri, maka dia akan diberi keampunan.” - (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Rasulullah juga menjelaskan sesiapa melakukan usaha untuk mendapat rezeki akan dilindungi daripada menanggung perasaan aib. Biar apapun jenis pekerjaan yang dilakukan, asalkan halal, tetap dipandang mulia oleh agama.

Hadis diriwayatkan oleh Baihaqi bermaksud: “Sekiranya salah seorang di antara kamu mengambil tali dan keluar mencari kayu api, kemudian dia memikul kayu api itu dibawa pulang dan dijualnya, maka dengan itu Allah memelihara air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau tidak.”

Sekiranya umat Islam ingin terus dipandang tinggi dan tidak diperalatkan oleh orang lain, cara paling tepat ialah mengelak diri daripada kemiskinan.

Manakala, pemimpin paling berjaya ialah pemimpin yang mengelak rakyatnya daripada kemiskinan. Agama mudah ditegakkan jika rakyat hidup dalam keadaan selesa dan tenteram.