Saturday 30 November 2019

SEJARAH KAMPUNG SUNGAI SAM, KUALA KRAI

Kampung Sam merupakan sebuah perkampungan di Kuala Krai, Kelantan. Terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Kuala Krai yang menjadi pusat pentadbiran bagi jajahan (daerah) Kuala Krai dan 130 kilometer dari Kota Bharu, ibunegeri Kelantan.

Kampung Sungai Sam telah dibuka pada 1960 oleh sekumpulan bekas anggota keselamatan. Pada awalnya, kampung ini diberi nama Kampung Jasa Perwira

Pada ketika itu, satu-satunya cara untuk sampai ke lokasi tersebut ialah melalui Sungai Kelantan menggunakan bot galah (perahu panjang yang berenjin). Mereka akan bermula di pengkalan bot di Kuala Krai iaitu di Tangga Bradley yang kini dikenali Tangga Krai.

Bot galah akan mudik ke hulu sehingga sampai di cabang sungai yang menemukan dua sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Galas.

Perjalanan seterusnya memasuki Sungai Lebir sebelum sampai di cabang Sungai Sam dan perjalanan diteruskan ke pengkalan bot Kampung Sungai Sam.

Biarpun jarak mudik hanya kira-kira 40 kilometer, namun masa yang diambil untuk sampai Pengkalan Bot Sungai Sam dari Pengkalan Bot Tangga Krai kira-kira 8 jam.

Selepas sampai di Pengkalan Bot Sungai Sam, mereka perlu meruskan perjalanan dengan berjalan kaki selama kira satu jam untuk sampai ke Kampung Sungai Sam.

Pada musim kemarau, air sungai menjadi cetek dan menyebabkan bot galah sukar untuk bergerak. Keadaan itu menyebabkan penumpang terkandas dan kadang kala terpaksa bermalam di perkampungan tepi sungai sambil menantikan air sungai naik kembali untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah keadaan sukar yang terpaksa dihadapi oleh peneroka awal di Sungai Sam. Itu tidak termasuk kesukaran lain dari segi kemudahan asas.

Perjalanan pada masa dahulu yang mengambil masa kira-kira sembilan jam itu, kini dipendekkan hanya kepada kira-kira 45 minit sehingga sejam dengan adanya kemudahan Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang yang mula dibuka sekitar tahun 1980an.

Setelah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) kelantan ditubuhkan, pengurusan tanah rancangan ini diambil alih dari pengurusan persatuan bekas perajurit.

Selepas pertukaran pucuk pimpinan kerajaan Kelantan pada 1978, LKTN Kelantan ditukar nama kepada Perbadanan dan Pemulihan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR)  dan kemudian telah diserapkan di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Serentak dengan peralihan diletak di bawah pentadibran KESEDAR, Kampung Sungai Sam mula dikenali sebagai Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Sam.

Biarpun terletak jauh di pedalaman, Kampung Sungai Sam ini menikmati kemudahan yang seadanya.

Jika berkunjung di Kampung Sangai Sam, anda akan melihat replika parang. Parang menjadi memori kepada generasi peneroka terawal sebagai senjata untuk meneroka dan membangunkan perkampungan tersebut.

Thursday 21 November 2019

CARA BERKESAN GUNA SKINCARE


Wanita tidak lepas daripada menggunakan Skincare. Tidak kisahlah yang berjenama terkenal atau yang biasa-biasa saja.  

Set asas skincare yang ada di pasaran ialah 3 dalam 1 yang mengandungi sabun, krim siang dan krim malam.

Manakala set lengkap pula biasanya turut ditambah toner dan serum.

Cara guna skincare secara asasnya sama untuk semua produk. Mungkin ada sedikit beza hanya pada produk tertentu saja.

Waktu Siang
- Cuci muka dengan sabun. Lap kering.
- Pakai toner (jika ada) Sapu guna kapas.
- Pakai serum (jika ada)
- Pakai krim siang.
- Pakai sunblock (jika ada)
- Makeup seperti biasa.

Waktu Malam - elok dilakukan setengah jam sebelum tidur.
- Cuci muka dengan sabun. Lap kering.
- Pakai toner (jika ada) Sapu guna kapas.
- Pakai serum.
- Pakai treatment cream (jika ada)
- Pakai krim malam.

Semoga matlamat ini bermanfaat kepada anda. Selamat mencuba semua. 

Friday 15 November 2019

PERTANIAN BUKIT DI LUBOK ANTU

Di Sarawak, aktiviti pertanian pindah atau pertanian bukit masih dilakukan, terutama di kawasan pedalaman. Salah satu kawasan mengamalkan pertanian bukit ialah di Lubok Antu.

Lubok Antu ialah sebuah daerah di Bahagian Sri Aman, Sarawak. Ia bersempadan dengan Badau, Kalimantan Barat, Indonesia. Kawasan ini berbukit bukau. Jarak dari Kuching kira-kira 250 kilometer.

Pertanian pindah menumpukan kepada beberapa jenis tanaman seperti padi huma, keledek, sayur sayuran dan buah-buahan.

Jenis pertanian ini menggunakan cara-cara penanaman dan peralatam tradisional seperti cangkul, tugal, kapak, parang dan batang kayu.

Menariknya aktiviti pertanian yang dilakukan di sini diusahakan secara gotong royong. Namun, pemilikan masih milik individu atau keluarga.

Kerja gotong royong biasanya diadakan semasa membersihkan kawasan dan menanam.

Aktiviti gotong royong itu membentuk jalinan hubungan yang sangat akrab dan bersatu padu di kalangan penduduknya.

Selain aktiviti pertanian bukit, penduduk Lubok Antu juga mengusahakan pernternakan ikan dalam sangkar. Sangkar-sangkar tersebut dibina di tasik yang terletak di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

Kerja-kerja penternakan dikendalikan oleh para penduduk yang menganggotai Persatuan Peladang Lubok Antu. Antara ikan yang diternak ialah tilapia, patin, baung dan belida.

Wednesday 13 November 2019

PUCUK GAJUS RAWAT TEKANAN DARAH TINGGI

Salah satu jenis ulam digemari ialah pucuk gajus atau pucuk ketereh. Daun gajus muda berwarna merah atau merah perang. Daun gajus yang telah bertukar menjadi hijau masih boleh dijadikan ulam selagi ia masih lembut dan sesuai untuk dimakan.

Rasa pucuk ketereh yang kelat masam menjadikan ia sebagai salah satu ulam popular di negara kita.

Pucuk muda gajus boleh dimakan mentah dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk, sambal atau pencicih lain.   

Pemilihan pucuk yang muda mudah ketika musim hujan tetapi agak berkurangan dalam musim kemarau.

Khasiat pucuk gajus dipercayai mengelakan penyekit kanser, membantu proses penghadaman serta baik untuk mereka yang ada masaalah tekanan darah tinggi.

Pucuk gajus muda selain dibuat ulam mentah juga boleh dicampur dengan ulam atau bahan lain untuk dijadikan kerabu.

Pucuk gajus muda juga dijadikan bahan rebusan untuk diminum airnya.

Pucuk gajus dipercayai boleh membantu mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah manakala daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.

Amalan mengambil ulaman pucuk gajus boleh menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar. Malah, ianya membantu aliran darah menjadi sempurna, minda dan tubuh menjadi lebih sihat dan segar, sesuai untuk kulit dan mata.

Tuesday 5 November 2019

PUNCA LELAKI TIDAK KUAT


Kita tidak selamanya kuat. Kekuatan tenaga lelaki menurun seiring dengan peningkatan umur, tetapi bukan faktor mutlak.

Terdapat lelaki sudah lemah tenaga seawal usia 30 an. Keadaan itu dikenali lemah tenaga batin atau mati pucuk. Ada juga lelaki masih mengekalkan tenaga kelelakian biarpun usia telah melepasi 70 an.

Masalah mati pucuk pada usia muda atau pertengahan berpunca dari banyak sebab. Masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis banyak jadi punca masalah tenaga lelaki. 

Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang tidur, tekanan perasaan, kurang rehat dan kurang mengambil pemakanan berzat juga punca kemerosotan tenaga batin.

Untuk kembali bertenaga, amalkan cara hidup sihat. Amal bersukan dan elak memakan makanan boleh mendatangkan keburukan kepada kesihatan. Kawal makan untuk mengelak kegemukan.

Ketika usia semakin meningkat, utamakan pengambilan makan berzat atau pemakanan tambahan. Ambil pil atau minuman mengandungi herba untuk meningkatkan tenaga kelelakian.

Namun, jangan terpengaruh dengan ubat kuat menjanjikan kuasa hebat yang dicampur dengan barang terlarang boleh mendatangkan bahaya sehingga ada menyebabkan maut.

Pergi jumpa doktor sakit tuan dan bincang cara untuk mengubatinya. Banyak cara selamat boleh dilakukan untuk memulih tenaga batin. Kosnya berbaloi dan tidak melibatkan prosedur rumit. Hidup kembali ceria dan bermakna.

Usaha rawatan lemah tenaga batin banyak berjaya. Pesakit lemah tenaga batin boleh kembali normal selepas mendapat rawatan. Bahkan ada yang mengalami pengalaman prestasi tenaga kelelakian terbaik sepanjang hidup yang telah dilalui. 

Dengan kata lain, peluang sembuh dan kembali bertenaga masih terbuka kepada mereka mengalami masalah tenaga lelaki.

Apa yang penting ialah dapatkan rawatan sewajarnya. Jangan mudah menekan butang panik apabila berdepan situasi lemah kuasa kelelakian.

Dalam menangani soal lemah tenaga batin jangan terlalu tertekan. Terima seadanya apa yang dialami. Sedarlah hakikat keadaan tubuh semakin lemah disebabkan pelbagai penyakit. Jangan fikir kehendak masih ikut nafsu muda, sedangkan umur semakin meningkat.  

Saturday 2 November 2019

IDENTITI MELAYU THAILAND


Negara Siam merujuk kepada Thailand. Penggunaan perkataan Siam dikatakan lebih awal daripada Thailand.

Situasi ini lebih kurang sama dengan Tanah Melayu sebelum dikenali Malaya dan kemudian Malaysia.

Jika di Tanah Melayu, penduduk asalnya adalah Melayu yang sinonim dengan Islam. Manakala di Thailand, kaum Siam penduduknya beragama Buddha.

Sepertimana orang Melayu ada juga di negara lain. Begitu juga kaum Siam ada di negara lain, termasuklah di Malaysia.

Orang Siam di Malaysia juga majoriti beragama Buddha seperti mana Siam di Thailand. Begitu juga orang Melayu, biarpun di mana tempat tinggal, majoritinya beragama Islam.

Jadi, orang Melayu di Thailand tidak sesuai dipanggil 'Melayu Siam'. Mereka sepatutnya dikenali dengan nama 'Melayu Thailand'. Sepertimana orang Melayu di Singapura dikenali sebagai 'Melayu Singapura'.

Melayu yang ditinggal di luar Malaysia biasanya dikenali dengan panggilan Melayu dan diikuti dengan nama tempat tersebut. Kita ada Melayu Sri Langka, Melayu Cape Town atau Melayu Afrika Selantan dan lain-lain.

Maka, amat sesuai jika kita memanggil orang Melayu di Thailand dengan gelaran 'Melayu Thailand' atau 'Melayu Patani'.

Identiti ini lebih seragam untuk mengenali bangsa Melayu di luar Malaysia atau Tanah Melayu.

Dan, perkara paling penting ialah untuk membezakan identiti Siam yang dikaitkan dengan agama Buddha.