Sebelum ini sering terjadi
masjid dijadikan medan untuk menyebarkan fahaman politik kepartian dan
kebencian. Malah ada kes bersembahyang Jumaat di masjid yang tidak dibenarkan
oleh pihak berkuasa agama. Lebih teruk lagi ada berlaku sembahyang jemaah dua
imam. Perkara ini diharapkan tidak akan berulang lagi.
Fungsi masjid tempat
ibadat dan menyatukan umat Islam tanpa mengira kedudukan, bangsa dan asal usul.
Semua orang Islam berhak memasuki dan memakmur masjid sepertimana dituntut
Islam. Justeru, di masjid dilarang dijadikan gelanggang sebar rasa benci
terhadap sesiapa saja.
Kesucian masjid perlu
dipertahankan dan tidak seharusnya dicemarkan semata-mata kerana ingin mencari
pengaruh atau mengaut keuntungan politik.
Tindakan itu yang boleh
menimbulkan kebencian dan perpecahan di kalangan umat Islam. Kejadian itu jauh
bertentangan dengan fungsi masjid sebagai tempat menyatukan umat Islam.
Sesungguhnya, Nabi
Muhammad SAW melarang masjid dijadikan platform untuk menabur fitnah, kebencian
serta merosakkan perpaduan umat Islam.
Sebenarnya, perbuatan
menimbulkan perpecahan bukan saja ditegah dilakukan di masjid, bahkan di
mana-mana saja. Islam mementingkan persaudaraan dan perpaduan, lalu menegah
sebarang perkara yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan.
Sepatutnya, umat Islam
mengambil kesempatan menjadikan masjid sebagai medan menyatukan ummah.
Individu hadir ke masjid
bertujuan satu iaitu mengesakan Allah dan meningkatkan takwa yang bersedia
melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.
Masjid adalah tempat untuk
melakukan ibadah dalam keadaan tenang dan tenteram. Sesiapa hadir ke masjid perlu
membersih diri daripada agenda lain, kecuali untuk beribadat.
Peranan sebenar masjid
adalah berdakwah secara bijaksana dan berhikmah serta mengajak ummah ke jalan
yang benar. Di masjid seruan perpaduan perlu diutama. Semua yang hadir ke
masjid adalah tetamu Allah. Apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.
Tindakan pihak yang
menjadikan masjid sebagai medan politik kepartian menyebabkan mereka berlainan
ideologi politik tidak akan hadir. Ini secara langsung menyebabkan
perpecahan. Sedangkan Islam mementingkan perpaduan dan antara tempat
menyatukan umat Islam adalah di masjid.
Hendaklah kita menjaga kesucian
masjid dangan mengelak melakukan perkara yang ditegah di masjid. Sebaliknya
jadikan masjid sebagai tempat penyatuan dan perpaduan umah, selain tempat
beribadat.
No comments:
Post a Comment