Friday, 7 April 2023

MELAWAT SAHABAT SAKIT

 
Bersahabatlah selama-lamanya. Kata orang, bersahabat ketika senang dan susah. Ketika sihat mahupun sakit. Biarpun apa keadaan sekalipun, sahabat tetap sahabat.
 
Jika ada sahabat dalam keadaan sakit dan uzur, lawatilah dia. Mungkin kehadiran kita itu sedikit sebanyak memberi sokongan moral kepadanya. Beri kata-kata semangat dan dengan iringan doa.
 
Jika sahabat itu perlukan bantuan, hulurkan bantuan sekadar termampu. Sahabat yang ikhlas akan berusaha membantu sahabatnya. Kita bergembira bersama, susahpun bersama.
 
Ketika melawat itu, ambillah iktibar mengenai sakit yang dialami sahabat itu. Ada perkara yang boleh kita pelajari khususnya dalam penjagaan kesihatan melalui cara pengambilan pemakanan yang betul serta amalan gaya hidup sihat.  
 
Sesungguhnya, Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim  sesama muslim itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.
 
Menziarahi orang sakit bukan hanya tertumpu kepada keluarga atau rakan-rakan terdekat sahaja. Tetapi disunatkan juga untuk menziarahi saudara sesama islam yang tidak dikenali walaupun musuh sekalipun.
 
Namun, ramai yang tidak tahu atau lupa bahawa dalam menziarahi orang sakit juga mempunyai adab nya yang perlu dijaga. Di bawah ini admin kongsikan antara 5 Adab Menziarahi Orang Sakit yang boleh anda ikuti.
  
1. TUJUAN ZIARAH ADALAH IKHLAS KERANA ALLAH
Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu  ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.
 
2. ZIARAH PADA WAKTU YANG SESUAI
Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap  melakukan ziarah  kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit. Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa.
 
3. UCAPKANLAH KATA-KATA YANG ELOK DAN BAIK
Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang.
 
4. DISUNATKAN UNTUK MENDOAKAN KESEJAHTERAAN ORANG SAKIT
Disunatkan untuk  mendoakan orang sakit supaya cepat  sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.
 
5. MENJAGA AURAT DAN BATAS PERGAULAN SEMASA MENZIARAHI ORANG SAKIT
Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkaraperkara keji, syak, fitnah  dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan).

No comments:

Post a Comment