Monday, 5 May 2025

KULAT PUSU TUMBUH DI KAWASAN ANAI-ANAI

 
Cendawan busut atau di Kelantan dipanggil kulat pusu biasa tumbuh berhampiran kawasan busut. Busut dikaitkan dengan tempat tinggal anai-anai. Dengan kata lain, kulat pusu mempunyai kaitan dengan kewujudan anai-anai di sesuatu kawasan.

Kulat pusu nama saintifiknya adalah Termitomyces sp. Dari famili Lyophyllaceae. Kulat pusu tumbuh secara meliar seperti di kawasan belukar, kebun, bahkan berhampiran laman rumah.

Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis Odontotermes spp.

Anai-anai membiakkan kulat dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis di dalam pusu.

Kulat memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, di mana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu. Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh kulat sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.

Kulat pusu akan tumbuh di tempat yang sama, sekiranya tempat itu tidak diganggu. Namun apabila kawasan tempat ia biasa tumbuh diratakan, digali dan dicangkul untuk didirikan penempatan, kulat pusu akan beralih untuk tumbuh di tempat lain pula, tetapi di sekitar itu juga. Ini berlaku kerana pusu anai-anai juga telah beralih.


No comments:

Post a Comment