Monday, 30 July 2018

MELAYU PERLU BERBINCANG DEMI ISLAM

Amat jelas mutakhir ini kedudukan orang Melayu di tanah air sendiri termasuk di sisi Perlembagaan dipersoalkan secara lantang dan tanpa berselindung lagi. Perkembangan itu semestinya didorong oleh kewibawaan orang Melayu itu sendiri yang dilihat oleh bangsa-bangsa lain semakin lemah dan tidak bersatu.

Semestinya antara Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan terutamanya dalam konteks sebuah negara yang bernama Malaysia. Oleh itu apabila keutuhan Melayu semakin rapuh maka sekali gus kedudukan Islam di negara ini akan tercabar.

Justeru apa yang menjadi keutamaan ialah menjayakan pertemuan pemimpin Melayu untuk kekuatan Islam. Hanya keikhlasan dan komitmen dapat membantu agenda penting ini. Paling penting umat Melayu mesti sentiasa sedar tujuan murni pertemuan itu kelak adalah semata-mata untuk memulihkan perpaduan Melayu yang terjejas akibat persaingan politik kepartian.

Walaupun semua parti politik mempunyai agenda masing-masing tetapi apabila mengambil kira kepentingan bangsa dan negara, semua pihak harus ketepikan sebarang pertimbangan sempit kumpulan sendiri.

Sesungguhnya orang Melayu sedang menghadapi pelbagai bentuk cabaran yang perlu ditangani secara bersama. Lihatlah di sekeliling kita dan ikutilah fakta-fakta mengenai kedudukan orang Melayu dalam ekonomi, politik dan budaya pada masa ini.

Sememangnya orang Melayu sudah mencapai kemajuan besar sejak negara mencapai kemerdekaan. Tetapi sejak akhir-akhir ini terdapat cabaran-cabaran baru yang perlu ditangani oleh orang Melayu secara rasional, terancang dan imaginatif.

Senario dunia yang sedang berubah pesat melalui kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta globalisasi menuntut usaha keperkasaan baru di kalangan orang Melayu.

Perlu juga disedari bahawa kemajuan masa depan negara juga terletak pada perpaduan orang Melayu. Bukan saja kepimpinan politik utama negara ini terletak di tangan orang Melayu tetapi aspirasi bangsa ini merupakan tonggak kepada hala tuju Malaysia. Bayangkanlah sekiranya orang Melayu terus berpecah dan saling bercakaran, apakah yang diharapkan oleh kaum lain untuk memastikan negara kita aman dan makmur.

No comments:

Post a Comment