Pasangan
Adam dan Hawa memperoleh zuriat secara berpasang-pasang, lelaki dan perempuan
setiap kali Hawa melahirkan anak. Antara pasangan itu ialah Habil dilahirkan
kembar dengan Labuda dan Qabil bersama kembarnya Iqlima.
Apabila
dewasa mereka dinikahkan dengan adik beradik, tetapi bukan dengan kembar
masing-masing. Adam menentukan Qabil berkahwin dengan Labuda dan Habil dengan
Iqlima. Bagaimanapun Qabil membantah kerana Labuda tidak cantik. Dia ingin
mengahwini kembarnya sendiri Iqlima yang cantik rupawan.
Kedegilan
Qabil menyebabkan Adam buntu fikiran. Maka Allah SWT memerintahkan agar
penentuan siapa layak mengahwini Iqlima dilakukan dengan penyediaan korban
kepada Allah SWT. Siapa yang diterima korbannya oleh Allah SWT, dialah layak
menjadi pasangan Iqlima.
Peraturan
tersebut diterima oleh Habil dan Qabil. Mereka menyediakan korban mengikut apa
yang dimiliki masing-masing.
Habil
yang menjadi penternak telah menyediakan korban seekor kibas yang paling baik
dan gemuk daripada hasil ternaknanya. Kibas itulah paling disayanginya.
Manakala
Qabil pula menyediakan gandum sebagai korban kerana dia seorang petani. Tetapi,
Qabil memilih gandum yang telah busuk dan tidak lagi sesuai untuk dimakan.
Gandum yang baik disimpan untuk dimakan.
Kedua-dua
korban itu diletakkan di atas puncak gunung. Mana-mana korban yang diterima
oleh Allah akan dimakan oleh sejenis api putih dari langit, manakala korban
ditolak akan dimakan oleh burung dan binatang. Korban Habil telah diterima oleh
Allah SWT.
Peristiwa
tersebut diceritakan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Dan bacalah
(wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak (Habil dan Qabil)
yang berlaku sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan suatu
persembahan korban. Lalu diterima korban salah seorang daripadanya (Habil) dan
ditolak korban yang lain (Qabil), berkata (Qabil): “Demi sesungguhnya aku akan
membunuhmu!” Jawab (Habil): “Hanya Allah menerima (korban) dari orang yang
bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27).
Korban
Habil diterima kerana keikhlasannya melakukan korban itu. Dia memilih yang
terbaik dan apa yang disayanginya. Sedangkan Qabil memilih apa yang tidak lagi
diperlukan olehnya. Dia awal-awal lagi tidak ikhlas dan menyimpan sikap bongkak
tetap tidak mahu menerima Labuda.
Sikap
Habil menepati makasud korban yang sebenarnya. Dia sanggup mengorbankan apa
yang disayangi demi untuk menzahirkan keikhlasannya. Habil menyediakan korban yang baik bukan
untuk menandingi korban Qabil bagi memperisterikan Iqlima. Bahkan Habil sanggup
menerima siapa sahaja pasangan untuknya, termasuklah Labuda yang hodoh.
Dendam
Qabil pada Habil semakin memuncak hingga ke satu peringkat tidak dapat dikawal
lagi. Pada suatu hari Qabil memukul Habil dengan sebatang kayu sehingga mati. Peristiwa
itu adalah kejadian pembunuhan yang pertama dan dipercayai juga kematian
pertama keturunan manusia.
No comments:
Post a Comment