Tabie manusia berkehendakan berpakaian. Justeru, manusia berusaha dalam apa cara sekalipun untuk mencipta pakaian. Masyarakat primatif menggunakan kulit kayu, kulit binatang dan daun-daun untuk dijadikan pakaian asas.
Kepentingan pakaian kepada manusia dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhiasan.” - (Surah al-Akraf, ayat 26).
Syariat Islam menetapkan keperluan pakaian bagi umatnya bukan sekadar untuk zahir, tetapi lebih penting menepati keperluan batin. Sambungan surah al-Akraf, ayat 26 bermaksud: “Dan pakaian takwa itulah paling baik. Semua itu adalah antara sekian banyak tanda (kurniaan), supaya mereka ingat (akan kurnia-Nya).”
Peraturan berpakaian paling dititikberatkan ialah menutup aurat. Bahagian badan lelaki dikategorikan aurat meliputi bahagian antara pusat dan lutut. Manakala aurat perempuan pula meliputi seluruh bahagian badan, kecuali muka dan tangan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Hai Asma! Seorang wanita itu apabila telah baligh, maka seluruh badannya tidak boleh dilihat melainkan ini dan ini (ditunjukkan bahagian muka dan tangan).” - (Hadis riwayat Abu Daud).
Menutup aurat bukan sekadar menutup supaya tidak dapat dilihat, tetapi juga agar tidak menampakkan bentuk badan. Bentuk badan dapat dilihat jika memakain pakaian sendat dan nipis. Ramai menganggap berpakaian sendat dan mendedahkan aurat perkara kecil. Bahkan ada suami suka isteri berpakaian sedemikian ketika berada di luar rumah.
Sikap sedemikian lahir daripada hasutan syaitan. Syaitan mengambil kesempatan sikap manusia suka dipuji dan mendapat perhatian untuk mendorong manusia melakukan perbuatan yang menbawa dosa dan kemusnahan lebih besar.
Sesungguhnya wanita menutup aurat dikenali lebih beriman dan bersopan santun. Pengenalan ini mematahkan cita-cita lelaki yang mempunyai niat buruk kerana mereka sukar untuk mengajak melakukan perkara ditegah syariat. Justeru, yang demikian itu mengelakkan wanita daripada dianiayai.
Suami yang membenarkan isteri mendedahkan aurat kepada pandangan lelaki lain adalah dayus. Kesalahan yang dilakukan oleh isteri akan turut ditanggung dosa oleh suami. Suami sebagai pemimpin sepatutnya menjadi pembimbing dan penyelamat isteri dan keluarga daripada perkara mungkar.
Wanita mendedahkan aurat melakukan dosa besar. Kesalahan itu meletakkan sebagai penghuni neraka. Maka tidak tepat dikatakan perkara menutup aurat hanya perkara kulit bawang yang nipis dan tidak mencacatkan iman.
No comments:
Post a Comment