Saturday 9 April 2022

WAJIBKAN KUASIAI BAHASA KEBANGSAAN

  
Siapa bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu kalau bukan rakyat Malaysia sendiri. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Sesiapa menjadi warganegara Malaysia, maka wajib baginya mahir bahasa Melayu dan memartabatkannya dalam segala urusan kehidupan, terutama dalam urusan rasmi.  
 
Memartabatkan bahasa kebangsaan bukan bermakna tidak boleh belajar dan menggunakan bahasa lain, terutama di kalangan kaum lain yang menjadi sebahagian rakyat Malaysia. 
 
Begitu juga, tidak dihalang untuk sesiapa belajar bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa. 
 
Hendak menguasai bahasa Inggeris memang dipuji. Tetapi, janganlah pula mengabaikan bahasa kebangsaan. Tidak guna kita mahir bahasa Inggeris, tetapi gagal menguasai bahasa kebangsaan. 
 
Penguasaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan berbanding mana-mana bahasa di dunia ini jika anda mengaku sebagai warganegara Malaysia. 
 
Satu kelebihan kita menguasai banyak bahasa. Namun, pastikan kita mahir bahasa kebangsaan dahulu. Bahasa menunjukkan bangsa. Berbanggalah dengan bahasa dan bangsa sendiri. 
 
Bahasa Melayu sudah mula mendapat tempat di pentas antarabangsa seperti di universiti-universiti di mana yang mengusahakannya adalah orang asing sendiri. 
 
Malah, ramai orang asing lepasan universiti tempatan di Malaysia fasih berbahasa Melayu dan masih fasih walau sudah lama pulang ke negara masing-masing. Mereka boleh berbangga dan menghargainya. 
 
Jadi, mengapa ada di kalangan rakyat Malaysia sendiri yang ‘gagap’ dan ‘geli-geleman’ berbahasa kebangsaan?

No comments:

Post a Comment