Sunday 27 March 2022

MAKSUD PERIBAHASA ‘MACAM BELANGKAS’

  
Tentu pernah mendengar pepatah 'macam belangkas' atau 'berkepit macam belangkas'. Perumpamaan itu tidak saja merujuk kepada pasangan kekasih, tetapi juga mana-mana individu yang mempunyai hubungan terlalu rapat dan sukar berpisah dengan pasangan atau kawan masing-masing. 
 
Mengapa belangkas dijadikan perumpamaan untuk menjelaskan perbuatan mereka yang berkepit atau sentiasa berada bersama-sama di mana saja seperti tidak dapat dipisahkan. Itulah tabiat belangkas sentiasa bersama pasangan sepanjang masa. 
 
Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit. 
 
Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda. 
 
Haiwan ini merupakan artropodlaut yang bentuk badannya mirip kepada topi besi tentera, tetapi lebih leper dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). 
 
Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan. 
 
Bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin. Kit antitoksin menggunakan belangkas telah berkembang di Barat sejak 1988. 
 
Darah belangkas kini mendapat permintaan tinggi. Untuk memenuhi permintaan terhadap belangkas yang tinggi sama ada untuk mendapat isi atau darah, belangkas kini telah diternak secara komersal yang memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

No comments:

Post a Comment