Monday 18 April 2022

TIDAK MESTI BAJU BAHARU SAMBUT AIDILFITRI

  
Semasa menyambut 1 Syawal atau Aidilfitri, kita disunatkan memakai pakaian cantik. Namun, apa yang dimaksudkan cantik itu tidak semestinya baju atau pakaian baharu. 
 
Cantik yang dimaksudkan ialah lebih cantik berbanding hari-hari biasa. Kalau setiap hari telah cantik, sudah memadai kekal dengan kecantikan itu. 
 
Seorang hukama pernah berkata: "Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baharu, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu." 
 
Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan, itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak. 
 
Begitu juga dengan semangat 'kembali baru atau fitrah', itulah manifestasi Aidilfitri yang bermakna kembali (aidil) ke pangkal fitrah (fitri) yang suci dan murni. Suci dari segala kotoran lahiriah dan batiniah serta bersih daripada noda dan dosa adalah hasil yang paling berharga pada hari raya ini. 
 
Dalam pada itu juga, Aidilfitri harus disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa atas nikmat agung berupa Hari Kebesaran yang dihadiahkan Allah kepada sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan ibadat puasa pada bulan Ramadan. 
 
Semangat bermaaf-maafan, iaitu buangkan yang keruh, ambil yang jernih adalah semangat yang harus diterapkan sempena hari mulia ini. Janganlah hanya kerana isu memilih kampung untuk beraya contohnya, akhirnya bergaduh suami isteri pada hari mulia ini. Ia tentunya bertentangan dengan roh atau semangat hari raya yang berupa hari perdamaian dan berbaik-baik antara sesama Muslim. 
 
Begitu juga semangat bantu-membantu terutamanya terhadap golongan yang susah, seperti anak-anak yatim, golongan fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, kaum mualaf dan seumpamanya. Mereka juga ingin mengecapi nikmat raya dan kemeriahan Syawal yang menjelang.  
 
Sumbangkanlah sekadar termampu apa jua bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik tersebut. Mereka yang dibantu pula jangan lupa berterima kasih kepada yang menghulurkan bantuan. 
 
Hadis Nabi SAW bermaksud: "Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, pasti tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak. Sesiapa yang tidak berterima kasih dengan manusia, sebenarnya, dia tidak bersyukur dengan Allah" (Riwayat Imam Ahmad).

No comments:

Post a Comment