Thursday 9 June 2022

ISLAM TIDAK BENARKAN SEBARANG KEGANASAN

  
Islam tidak menghalalkan sebarang bentuk keganasan. Pengganas adalah penjenayah yang wajib ditentang dan dihapuskan. Begitu juga keganasan atas nama agama adalah sesuatu yang seharusnya ditolak dan ditentang sama sekali. 
 
Sehubungan itu, adalah sesuatu yang amat penting bagi umat Islam terutama pemimpin dan ulama Islam memberikan penjelasan dan tanggapan benar kepada masyarakat dunia bahawa Islam sebagai agama yang bersifat rahmat kepada sekalian alam. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbia, ayat 107) 
 
Perlu ditegaskan bahawa Islam dari pelbagai sudutnya iaitu akidah, syariat dan akhlak, pada dasarnya amat menganjurkan umatnya supaya membentuk sebuah masyarakat sejahtera dan aman damai. 
 
Tidak timbul sama sekali istilah keganasan, pelampau dan lain-lain dalam kamus kehidupan umat Islam. Islam bukannya punca keganasan, sebaliknya penganut yang jahil mengenai Islam yang bersalah dalam hal ini. 
 
Punca utama kelemahan umat Islam kini ialah kerana mereka memahami Islam dengan kefahaman yang salah dan menyeleweng. 
 
Orang Islam juga adalah umat yang amat rajin membaca al-Quran, namun mereka sentiasa keberatan untuk melaksanakan isi kandungannya dan tidak berusaha untuk melakukan perubahan dan kemajuan untuk diri mereka. 
 
Sebaliknya, mereka membaca al-Quran dalam keadaan perasaan, hati dan akal mereka mati untuk menyelami, memahami, menghayati dan juga mempraktikkan ayat-suci al-Quran dalam ruang lingkup realiti kehidupan sejagat. 
 
Malahan ayat yang dibaca itu tidak berupaya bertindak sebagai pemangkin jitu ke arah kebangkitan, beramal, berjihad dan penerokaan terhadap rahsia Allah yang tersurat dan tersirat di bumi Allah SWT ini. 
 
Umat Islam selamanya tidak akan berjaya dalam menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan jika mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi. 
 
Kedudukan wasilah atau cara itu samalah dengan kedudukan ghayah atau matlamat yang dituju itu. Jika sesuatu amalan wajib itu tidak terlaksana melainkan dengan wasilah terbabit, maka wasilah itu dengan sendirinya akan menjadi wajib hukumnya. 
 
Jadi, macam mana mungkin umat Islam hendak merealisasikan amanah menyampaikan Islam ke sekalian alam sekiranya mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ehsan golongan kafir dan musuh-musuh Islam? 
 
Dan bagaimana pula umat Islam ingin bangkit berjihad pada jalan Allah sedangkan mereka masih lagi mengharapkan bantuan senjata dari musuh-musuh Islam?

No comments:

Post a Comment