Saturday 4 June 2022

PASAR TERAPUNG SRI TANJUNG, PULAU RENJUNA

 
Pasar Terapung Sri Tanjung, Pulau Renjuna cukup terkenal. Sumbangan pihak swasta atau individu dalam memajukan industri pelancongan di Kelantan semakin terserlah. Banyak destinasi pelancongan kini diuruskan oleh syarikat dan individu. 
 
Nama Sri Tanjung, Pulau Renjuna, Kepulauan Delta Sungai Kelantan Tumpat semakin mengukir nama dalam aktiviti pelancongan di kawasan kepulauan. 
 
Sri Tanjung bermula dengan Restoran Sri Tanjung di satu lokasi di Pulau Renjuna. Kemudian berkembang menjadi chelet dan kem untuk kursus dan aktiviti berkumpulan di samping menyediakan kemudahan menyewa peralatan rekreasi seperti basikal dan kayak. 
 
Kini, Sri Tanjung mengorak langkah memperkenalkan Pasar Terapung Sri Tanjung atau Floating Market Sri Tanjung. Satu identiti yang patut benar diperkenalkan dan dijadikan satu keistimewaan sebagai aktiviti ekonomi masyarakat di kepulauan. 
 
Masa operasi pasar terapung pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula pukul 08.00 pagi sehingga 05.00 petang. Pada hari Jumaat ada disediakan bot untuk pergi ke masjid bagi yang ingin menunaikan sembahyang Jumaat.  
 
Pengunjung berpeluang berada di kawasan tersebut dari pagi hingga petang kerana ia dilengkapi dengan kemudahan untuk bersantai, surau, restoran dan chelet. Kepada yang ingin menginap di situ pun boleh. 
 
Kewujudan pasar terapung itu memberi peluang kepada penduduk kepulauan menjana ekonomi dengan berniaga di situ, peluang pekerjaan di chelet dan menambah bilangan penumpang bot bagi mereka yang mengusahakan bot penambang. 
 
Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besar dan Jeti Medan Ikan Bakar, Kota Bharu atau melalui Jeti Kok Majid, Tumpat. Ada bot penambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang yang fungsinya seperti teksi air. 
 
Kawasan kepulauan mempunyai daya tarikan yang unik. Susana perkampungan yang dihiasi dengan pokok nipah di pinggir sungai, sehinggalah lambaian pokok kelapa yang tinggi, serta deruan enjin bot yang sesekali bergema adalah suasana yang tidak terdapat di tempat lain. 
 


No comments:

Post a Comment