Thursday 21 July 2022

SULTAN YAHYA PETRA RAJA KELANTAN 1960

 
Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim, sultan Kelantan dari tahun 1960 – 1979. Baginda Diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 10 Disember 1917. 
 
Tengku Yahya Petra menerima pendidikan agama semasa zaman kanak-kanak ketika baginda dibesarkan oleh ayahanda saudara baginda, Sultan Ismail. 
 
Tengku Yahya Petra menerima pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang ketika berusia 14 tahun. Selepas empat tahun menuntut di sekolah ini, Sultan Ismail menghantar baginda menuntut di England pada 1934. 
 
Baginda berkahwin dengan Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra ketika berusia 22 tahun pada tahun 1939. Pasangan diraja ini dikurniakan seorang putera dan empat puteri. 
 
Untuk membiasakan diri dengan hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran, Tengku Yahya Petra telah dilantik untuk memegang pelbagai jawatan utama dalam kerajaan negeri. 
 
Baginda ialah Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadak Melayu Kelantan (MAIK) antara 1941 hingga 1947. Pada 2 April 1944, baginda dilantik sebagai Penolong Ketua Pegawai Kewangan Negeri dan pada 6 Februari 1945 pula dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Bharu. 
 
Pada 1945 Tengku Yahya Petra dilantik sebagai Tengku Bendahara. Bermula  pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1953 baginda dilantik Presiden MAIK. 
 
Tengku Yahya Petra ditabalkan sebagai Sultan dan Yang diPertuan Negeri Kelantan pada hari Ahad 10 Julai 1960, dengan gelaran "Sultan Yahya Petra". 
 
Pada 22 Julai 1970, Sultan Yahya Petra dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja.Istiadat mengangkat sumpah diadakan pada 21 September 1970. 
 
Kemudian pada 19 Julai 1975, Majlis Raja-raja memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Semasa pemerintahan Baginda sebagai Yang di Pertuan Agong, anakanda Baginda, Tengku Ismail Petra menjadi Pemangku Sultan. 
 
Sultan Yahya Petra mangkat ketika masih menjadi Yang di-Pertuan Agong, iaitu pada 29 Mac 1979.

No comments:

Post a Comment