Wednesday, 26 April 2023

BERMUSUHAN SESAMA SENDIRI PUNCA ISLAM LEMAH

 
Amalan bermusuhan dengan melaga-lagakan orang Islam digunakan oleh pihak yang ingin menghancurkan Islam. Mereka menjadikan orang Islam bermusuhan sesama sendiri berebut kuasa memerintah dan kekayaan.
 
Ini bertepatan sebagaimana digambarkan oleh orientalis Perancis, Philip Foundatie. Menurutnya, untuk menghancurkan Islam, politik permusuhan perlu diterapkan untuk menghalang kebangkitan dan penyebaran agama tersebut.
 
Musuh Islam akan menaja mana-mana pihak yang sanggup menurut apa perintah yang diberikan. Pihak itu akan dijulang sebagai lebih baik daripada pemerintah yang sedia ada. Ini dilakukan melalui sokongan media antarabangsa yang dikuasai oleh musuh Islam.
 
Sebab itu, kita jangan mudah terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang ingin melihat umat Islam sentiasa lemah. Orientalis Barat ingin menjadikan umat Islam menjadi hamba di tanah air sendiri akibat perpecahan dan perseteruan sesama sendiri. Dalam keadaan itu, potensi umat Islam untuk mencapai kejayaan tidak akan terlaksana. 
 
Dalam keadaan tertekan, rakyat terpaksa bergantung harap kepada musuh yang menanguk di air keruh. Musuh Islam menggunakan proksi di kalangan orang Islam sendiri untuk menghancurkan kekuatan orang Islam. 
 
Harapan orientalis telah direalisasikan oleh umat Islam sendiri dengan menjadikan diri masing-masing boneka hidup di atas pentas politik. Seluruh pemikiran dan keupayaan ditumpukan untuk saling memusnahkan sesama Islam.
 
Inilah yang sedang berlaku di kebanyakan negara Islam yang rakyatnya sentiasa bertelagah sesama sendiri. Permusuhan melarat sehingga bunuh membunuh. Bilangan orang Islam dibunuh oleh orang Islam sendiri lebih banyak daripada yang dilakukan bukan Islam.
 
Kekayaan hasil bumi di negara Islam dan sumber tenaga manusia digunakan untuk saling memusnahkan sesama sendiri. Musuh Islam mendapat keuntungan dengan bermodalkan sikap hipokrit campur tangan dengan alasan demi keamanan dunia. 
 
Keadaan menjadi lebih membahayakan dalam politik Islam ialah ancaman kewujudan munafik moden yang berbangga dengan label Islam, tetapi sebenarnya mereka menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Mereka menjadi musuh dalam selimut yang sukar dikesan.
 
Jika ada bibit perpecahan di kalangan umat Islam, ada pihak yang berusaha agar perpecahan itu semakin melebar. Ini bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam yang melarang sebarang bentuk perpecahan. 
 
Islam agama amat mementingkan perpaduan berdasarkan kepada satu matlamat iaitu mencari keredaan Allah. Malang sekali umat Islam saling bermusuhan untuk menjayakan misi kepuasan hati sendiri. 
 
Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.”
 
Rasulullah pernah memperkatakan tentang akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam. Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi bermaksud: “Orang Yahudi berpecah kepada 72 golongan dan orang Nasrani juga berpecah sebanyak itu, tetapi umatku akan berpecah kepada 73 golongan.”
 
Daripada 73 golongan itu, hanya satu golongan akan memasuki syurga, sedangkan yang lain itu bakal menghuni neraka. Golongan yang dibalaskan neraka sudah tentu disebabkan ingkar perintah Allah dan Rasulullah.
 
Tumpuan sekarang sepatutnya ditumpukan kepada membina kekuatan ummah. Matlamat mencapai kepentingan peribadi dan kelompok perlu ditukar kepada usaha mencari kepentingan bersama.
 
Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment