Islam amat menitik berat soal lidah atau
percakapan. Walaupun mampu bercakap dan meluahkan rasa hati melalui percakapan,
ia perlu selalu diawasi dan berhati-hati jangan sampai terpelanting ke luar
batasan ajaran agama.
Setiap muslim selalu berusaha menjaga diri
dan keluarga atau masyarakatnya daripada terjerumus ke kancah maksiat atau
melakukan perkara yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT lebih-lebih
lagi dalam hal percakapan.
Seorang muslim selalunya mengeluarkan
kata-kata yang baik, lembut serta memberi manfaat kepada si pendengar kerana
sedar bahawa Allah SWT menjadikan lidah bukan untuk berbicara sesuatu yang
sia-sia. Sebaliknya, lidah perlu digunakan kepada perkara yang mendatangkan
faedah, bukan saja kepada diri sendiri bahkan orang lain juga.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada
kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang
menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau mengadakan
perdamaian di antara manusia. Siapa yang berbuat demikian kerana mencari
keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah
an-Nisa, ayat 114)
Daripada ayat itu beberapa contoh yang
dimaksudkan dengan perkataan yang baik iaitu menyuruh manusia bersedekah
sebahagian harta yang dikurniakan Allah SWT kepada orang yang memerlukan
seperti orang miskin, anak yatim dan orang susah.
Perkataan baik juga apabila menyuruh orang
berbuat baik dalam segala hal sebagai merealisasikan tuntutan agama di samping
terlebih dulu diri sendiri melakukan kebaikan.
Seterusnya, perkataan yang baik ialah
dengan mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah atau berbalah dengan memberi
nasihat supaya hidup berbaik-baik seperti yang terkandung dalam suruhan
Rasulullah SAW, di samping menyedarkan mereka mengenai keburukan akibat
daripada hidup berbalah, tidak bertegur sapa dan berpecah belah.
Sesungguhnya percakapan yang terkeluar
daripada mulut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang. Ini dapat kita
fahami daripada sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak
lurus keimanan seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya
sehingga lurus pula lidahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Boleh dikatakan seorang yang beriman,
senantiasa mengeluarkan kata-kata baik dan berfaedah. Orang tidak beriman pula
katanya keluar mengikut rentak nafsu atau mengikut hati yang jauh daripada
hidayah. Kata-katanya kedengaran tidak keruan, mencarut, mengejek, memfitnah
dan menipu.
Lantaran itu, Islam sebagai agama paling
lengkap, tinggi dan suci mengajar manusia bukan saja sebatas ibadat dan akidah,
bahkan juga akhlak termasuk percakapan. Islam memberi panduan dalam berkata dan
menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menghayati dan mematuhinya baik
dalam keadaan bagaimana sekalipun.
Dalam pertuturan, perbualan atau
percakapan, kita perlu mengikut beberapa ketetapan antara lain: bercakap benar,
bercakap perkara baik dan bercakap menggunakan kata yang sopan dan lembut.
Kata yang lembut dan sopan dengan bahasa
baik, disertai nada suara rendah dan menawan, mempunyai tarikan tersendiri bagi
orang yang mendengarnya kerana hati akan tenteram dan apa diperkatakan mudah
difahami serta mewujudkan kemesraan.
Al-Quran menyebut saranan supaya berkata
sopan dan lembut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan lunakkanlah suaramu,
sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, ayat 19)
No comments:
Post a Comment