Saturday 27 January 2024

RASIONAL PEJAWAT AWAM TIDAK BERPENCEN

 
Kabinet telah membuat keputusan agar lantikan baharu penjawat awam selepas ini adalah berstatus tetap tanpa pencen. Perkara ini bukan baharu. Ia pernah diperkenalkan sebelum ini yang mana pejawat awam berstatus tetap boleh memilih sama ada berpencen atau menerima kaedah simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 
Bagaimanapun majoriti pejawat awam memilih untuk berpencen. Pejawat awam tetap telah sinonim dengan pencen. Bahkan, kebanyakan pejawat awam sanggup dan bertahan kerana ingin menikmati pencen.
 
Keputusan kerajaan “mewajibkan” semua pejawat awam berstatus tetap baharu tidak berpencen sebenarnya sudah mula dibincangkan dengan serius sejak tahun 2021 iaitu ketika zaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
 
Asasnya ketika itu adalah tekanan kepada perbelanjaan kerajaan bagi menampung bayaran skim pencen. Ini disebabkan pertambahan mendadak pesara dan jangka hayat rakyat yang semakin meningkat.
 
Pada 2011, tanggungan skim pencen ke atas kerajaan cuma RM3.1 bilion. Hanya 1.4 peratus daripada belanjawan tahunan negara
 
Pada 2021, jumlahnya meningkat kepada RM29.1 bilion iaitu 9 peratus daripada belanjawan tahunan negara.
 
Berdasarkan kepada statistik tersebut, sekiranya tiada sebarang perubahan dilakukan, maka pada tahun 2040, tanggungan skim pencen kerajaan akan meningkat kepada RM120 bilion setahun.
 
Ini adalah sekitar 20 peratus daripada anggaran belanjawan tahunan pada ketika itu dan juga lebih besar daripada belanja pembangunan dan subsidi rakyat setiap tahun.
 
Dengan RM120 bilion itu, kita boleh membina 4 lebuh raya Pan Borneo, atau 2 buah landasan kereta api laju (HSR) KL-Singapura, atau 24 buah menara PNB 118 (menara kedua tertinggi dunia), atau 150 hospital pakar, atau 2400 buah sekolah menengah atau 12 ribu klinik desa.
 
Maka ia adalah dasar tidak populis tetapi terpaksa dilaksanakan bagi mengelakkan mudarat pada negara di masa akan datang.
 
Tuduhan kononnya ia akan menganiaya Melayu juga tidak tepat. Ini kerana pada hari ini, ratusan ribu penjawat awam masih berstatus kontrak dan ada yang terpaksa menunggu sehingga 15 tahun sebelum diserap ke jawatan tetap
 
Keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat menikmati faedah-faedah penjawat awam serta mempunyai kekangan dalam memohon pembiayaan rumah atau kenderaan
 
Namun dalam sistem baharu yang bakal diperkenalkan, mereka akan diserap ke jawatan tetap cuma hanya tidak berpencen sahaja. Mereka masih menikmati faedah-faedah sepertimana penjawat awam hari ini serta mempunyai simpanan tinggi dalam KWSP sebagai tabungan persaraan kelak.
 
Tiada penjawat awam akan diberhentikan dan semua kaum masih lagi akan menikmati peluang sama untuk berkhidmat dengan kerajaan.

No comments:

Post a Comment