Monday 26 February 2024

KESALAHAN MEROKOK KETIKA MEMANDU

 
Masih banyak pemandu yang keliru tentang larangan merokok ketika memandu. Ya, memang betul pemandu yang merokok boleh disaman. Namun, perlu diketahui bahawa peraturan tersebut hanya terhad kepada pemandu kenderaan tertentu sahaja.
 
Peraturan tersebut hanya tertakluk kepada kenderaan-kenderaan tertentu seperti berikut:
- Bas bermotor – kenderaan perkhidmatan awam yang mempunyai 7 tempat duduk atau lebih
- Bas sewa persendirian – bas yang disewa di bawah suatu kontrak bagi penggunaan kenderaan tersebut secara sepenuhnya
- Bas persendirian – bas yang dimiliki oleh mana-mana orang dan digunakan hanya untuk membawa pekerja-pekerja pemilik bas tersebut atau bagi membawa orang-orang berhubung dengan perniagaannya.
- Bas sekolah
- Teksi
 
Berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, tiada seorang pun boleh menghisap apa-apa rokok atau keluaran tembakau di dalam atau di atas mana-mana kereta api atau premis kereta api, kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan pelancongan. Sesiapa yang melanggar larangan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
 
Untuk pengetahuan anda, JPJ tidak mengeluarkan saman ke atas pemandu kenderaan persendirian yang merokok semasa memandu.
 
Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan merokok di dalam kenderaan persendirian, kerana ia merupakan ruang peribadi. Walau bagaimanapun, ibu bapa yang merokok di dalam kereta perlu sedar tindakan tersebut mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya asap rokok.

No comments:

Post a Comment