Saturday 22 June 2024

DURIAN D223 ADIK MANJA

 
Durian D223 atau lebih dikenali dengan nama adik manja mungkin tidak sepopular musang king atau raja kunyit, namun bagi orang pernah merasainya pasti terpikat dengan rasanya dan mampu menyaingi varieti durian terkenal yang ada di pasaran ketika ini.
 
Benih adik manja dipercayai berasal dari Thailand, telah dipopularkan di Malaysia oleh Che Harun Ahmad di Kampung Legeh, Ayer Lanas, Jeli, Kelantan. Sebelum dikenali dengan nama adik manja, durian ini telah dikenali dengan nama bunga raya.
 
Dipanggil adik manja kerana sifat buah yang “manja” atau sensitif yang memerlukan kepada penjagaan yang cermat.
 
Adik manja istimewa kerana isinya sedap dan agak kemerahan. Penanaman adik manja patut diperkembangkan di Malaysia sebagai varieti alternatif di samping baka durian lain yang ada ketika ini.
 
Warna buah hijau kecokelatan dan hujung duri sedikit kemerahan. Duri sedikit membelok ke atas. Bentuk duri agak besar dan kasar. Majoriti berat buah antara 3-4 kilo sebiji. Pokok adik manja boleh tahan tinggi dan buah majoriti besar, jika dibiarkan gugur sendiri hanya 30/40% sahaja akan berkualiti untuk dijual. Oleh itu kaedah tuai dan peram pilihan yang terbaik. Ia kaedah seperti yang banyak diamalkan oleh petani di Thailand.
 
Isi adik manja solid tembaga yang memang menarik perhatian. Bau wangi manis seperti gula melaka. Rasa isi lemak dan manis gula melaka. Isi mempunyai serat yang halus dan sesuai dimakan dengan pulut. Isinya tebal.




No comments:

Post a Comment