Merujuk kepada isu aktiviti dan pembinaan di atas tanah
warta kerajaan bagi mendirikan masjid yang tular pada 9 April 2025, JAIS ingin
memaklumkan bahawa individu / pihak yang berada di tanah JAIS adalah individu
yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan
bagi projek pembangunan Cyberjaya.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang telah memberi
penempatan baru bagi aktiviti individu / pihak tersebut berpindah ke tanah
rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).
Pada tahun 2007 Kerajaan Negeri mengarahkan pengosongan
tanah oleh individu / pihak tersebut bagi tujuan rizab masjid dan berlaku
tuntutan pampasan oleh individu / pihak atas arahan pengosongan tapak.
Pada tahun 2011 Kerajaan Negeri telah mewartakan
tanah dengan keluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian dari
tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh individu /
pihak terbabit tanpa mengeluarkan individu / pihak yang menduduki tanah.
Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan
pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut adalah kosong daripada
sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan / premis.
Namun pada tahun 2024 JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan
pembinaan bangunan / premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang
akan dimulakan pada tahun 2026.
Sehubungan dengan itu, JAIS telah mengeluarkan surat
bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut
undang-undang bagi pengosongan tanah.
Dengan tindakan ini JAIS berpandangan bahawa laporan polis
tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah
Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan
pembinaan bangunan / premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS. Namun JAIS
akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS.
Memandangkan perkara melibatkan pencerobohan ini adalah amat
serius dan selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa tanah di bawah
kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan, JAIS akan bekerjasama
dengan PDT Sepang untuk memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak
pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh 1 bulan.
JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk
pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil
tindakan yang sewajarnya jika ianya berlaku.
Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh 1
bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS
akan bersama-sama PDT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perkara ini.
Orang awam atau pihak-pihak yang mengetahui sebarang bentuk
pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan JAIS juga diminta terus
menyalurkan maklumat kepada JAIS atau Pihak Berkuasa Negeri, Pejabat Agama
Islam Daerah atau menghubungi Talian Hotline Penguatkuasa JAIS 1-800-88-2424
untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.
Sekian, dimaklumkan, terima kasih.
Wassalam,
(DATO’ HAJI MOHD SHAHZIHAN BIN AHMAD) D.P.M.S., P.P.T.
Pengarah
Jabatan Agama Islam Selangor
11 April 2025
No comments:
Post a Comment