Monday, 15 December 2025

WAJIB DAFTAR PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN

 
Pasangan yang berkahwin di negara jiran atau dengan apa cara yang dibenarkan oleh syarak perlu mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama di negeri masing-masing. Begitu juga jika belaku perceraian, maka hendaklah ia didaftarkan.

Kedua-dua keadaan itu perlu didaftarkan bagi mengelak sebarang kekeliruan atau yang berkaitan dengan undang-undang.

Pernikahan pasangan tempatan di Thailand tidak diiktiraf undang-undang jika tidak didaftarkan dengan jabatan agama di negara ini.

Begitu juga perceraian tidak disahkan selagi tidak disahkan oleh pihak berkuasa agama, biarpun secara hukumnya perceraian telah berlaku apabila diucapkan oleh suami atau apa-apa cara yang dibenarkan syarak.

Ambil pengajaran kisah atau berita dipetik daripada Berita Harian bertarikh 15 Dis 2025.

Wanita yang didakwa 'memadukan' suaminya selama lebih setahun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan kesnya.

Wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia juga sudah memberi keterangan di Pejabat Agama Tanah Merah semalam dan enggan mengulas lanjut bagi mengelak mengganggu siasatan.

"Buat masa ini saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Jika saya berkata-kata buat masa ini pun masyarakat tetap menyalahkan saya kerana perkara ini sudah menjadi isu besar," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau tetap menegaskan lafaz cerai dengan suaminya sudah berlaku pada 2022 sebelum dia berkahwin dengan suami kedua di Thailand pada November 2024.

"Namun kesilapan kami adalah tidak mendaftar cerai di pejabat agama sebelum saya berkahwin di Thailand.

"Saya mengaku berkahwin di Thailand tanpa membawa surat cerai, namun proses di sana sedikit mudah yang membolehkan akad nikah berlangsung," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita mendakwa abangnya 'dimadukan' isteri sejak setahun lalu apabila kakak iparnya berkahwin dengan suami kedua di Songkhla, Thailand.

Wanita yang dikenali sebagai Ekin ketika memuat naik kenyataan di Facebook berkata, kakak iparnya berusia 30 tahun berasal dari Terengganu.

Katanya, perkara itu terbongkar pada 6 Disember lalu selepas keluarganya dengan bantuan penduduk kampung 'menangkapnya' yang berada di rumah lelaki yang dikahwininya di Songkhla, Thailand pada November tahun lalu.

No comments:

Post a Comment