Saturday, 2 April 2016

Adab bertandang ke rumah jiran

Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa, ayat 36)

Islam bererti damai dalam segala bentuk kehidupan. Individu muslim mesti menterjemahkan kedamaian itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu lain secara fizikal, mental ataupun emosi.  

Menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Apa yang penting, kita berusaha melakukan perbuatan yang tidak menggugat ketenteraman dan kebahagiaan orang lain.

Islam menggariskan beberapa peraturan hidup berjiran dan bermasyarakat. Antara perkara yang ditekankan ialah adab bertamu. Rumah adalah kawasan peribadi pemilik dan ahli keluarga yang tinggal di dalamnya. 

Individu lain tidak berhak memasuki sesebuah buah jika pemiliknya menghalang. Kecuali ada keperluan ‘darurat’ yang berkaitan keselamatan dan mencari bukti keadilan. 
 
Dalam istilah undang-undang, perbuatan itu hanya dapat dilakukan dengan waren geledah atas kebenaran pihak mahkamah atau pihak yang diberi kuasa meluluskan.     

Dalam Islam, peraturan menghormati kuasa tuan rumah telah tercatat di dalam al-Quran. Ini membuktikan satu peraturan hidup penting yang mesti dipatuhi setiap individu muslim. 

Allah berfirman bermaksud: “Hai orang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu ingat.” (Surah an-Nur ayat 27).

Sambungan dalam surah yang sama, menjelaskan kita perlu meninggalkan rumah yang dikunjungi jika pemiliknya tidak mahu menerima tetamu. Kita tidak perlu mempersoalkan tindakan pemiliknya. Perbuatan itu (meninggalkan rumah) adalah lebih baik, kerana banyak hikmah di sebaliknya. 

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seseorang pun dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 28).

Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahgaian daripada dakwah. Tindakan itu memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan menghina daripada penganut agama lain. 

No comments:

Post a Comment