Saturday 30 November 2019

SEJARAH KAMPUNG SUNGAI SAM, KUALA KRAI

Kampung Sam merupakan sebuah perkampungan di Kuala Krai, Kelantan. Terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Kuala Krai yang menjadi pusat pentadbiran bagi jajahan (daerah) Kuala Krai dan 130 kilometer dari Kota Bharu, ibunegeri Kelantan.

Kampung Sungai Sam telah dibuka pada 1960 oleh sekumpulan bekas anggota keselamatan. Pada awalnya, kampung ini diberi nama Kampung Jasa Perwira

Pada ketika itu, satu-satunya cara untuk sampai ke lokasi tersebut ialah melalui Sungai Kelantan menggunakan bot galah (perahu panjang yang berenjin). Mereka akan bermula di pengkalan bot di Kuala Krai iaitu di Tangga Bradley yang kini dikenali Tangga Krai.

Bot galah akan mudik ke hulu sehingga sampai di cabang sungai yang menemukan dua sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Galas.

Perjalanan seterusnya memasuki Sungai Lebir sebelum sampai di cabang Sungai Sam dan perjalanan diteruskan ke pengkalan bot Kampung Sungai Sam.

Biarpun jarak mudik hanya kira-kira 40 kilometer, namun masa yang diambil untuk sampai Pengkalan Bot Sungai Sam dari Pengkalan Bot Tangga Krai kira-kira 8 jam.

Selepas sampai di Pengkalan Bot Sungai Sam, mereka perlu meruskan perjalanan dengan berjalan kaki selama kira satu jam untuk sampai ke Kampung Sungai Sam.

Pada musim kemarau, air sungai menjadi cetek dan menyebabkan bot galah sukar untuk bergerak. Keadaan itu menyebabkan penumpang terkandas dan kadang kala terpaksa bermalam di perkampungan tepi sungai sambil menantikan air sungai naik kembali untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah keadaan sukar yang terpaksa dihadapi oleh peneroka awal di Sungai Sam. Itu tidak termasuk kesukaran lain dari segi kemudahan asas.

Perjalanan pada masa dahulu yang mengambil masa kira-kira sembilan jam itu, kini dipendekkan hanya kepada kira-kira 45 minit sehingga sejam dengan adanya kemudahan Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang yang mula dibuka sekitar tahun 1980an.

Setelah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) kelantan ditubuhkan, pengurusan tanah rancangan ini diambil alih dari pengurusan persatuan bekas perajurit.

Selepas pertukaran pucuk pimpinan kerajaan Kelantan pada 1978, LKTN Kelantan ditukar nama kepada Perbadanan dan Pemulihan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR)  dan kemudian telah diserapkan di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Serentak dengan peralihan diletak di bawah pentadibran KESEDAR, Kampung Sungai Sam mula dikenali sebagai Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Sam.

Biarpun terletak jauh di pedalaman, Kampung Sungai Sam ini menikmati kemudahan yang seadanya.

Jika berkunjung di Kampung Sangai Sam, anda akan melihat replika parang. Parang menjadi memori kepada generasi peneroka terawal sebagai senjata untuk meneroka dan membangunkan perkampungan tersebut.

No comments:

Post a Comment