Sunday 21 March 2021

PENYAKIT TIBI PERLU RAWATAN AWAL CEGAK KEMATIAN

Penyakit tuberkulosis atau tibi adalah penyakit berjangkit berpotensi memberi kesan serius terhadap kesihatan paru-paru seseorang. Penyakit tibi juga dikenali batuk kering disebabkan penghidapnya akan batuk berpanjangan antara dua minggu atau lebih.

Penyakit tibi berpunca kuman Mycobacterium bacillus. Ia mudah disebarkan hanya dengan titisan kecil melalui batuk atau bersin.

Penyakit ini boleh disembuhkan dengan mengambil beberapa jenis ubat selama beberapa bulan untuk membasmi jangkitan dan mencegah perkembangan rintangan antibiotik .

Namun jika tidak dirawat dengan segera, implikasinya boleh sampai ke peringkat mencabut nyawa!

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 juta kes baharu tibi di seluruh dunia pada tahun 2017, kira-kira 24,000 kes baharu setiap hari dan hampir 1.6 juta kematian dengan 4,000 kematian setiap hari.

Kesedaran orang ramai terhadap kuman, punca tibi masih rendah. Setiap tahun sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 kes kematian akibat batuk kering direkodkan dengan purata enam kematian setiap hari di Malaysia.

Lebih serius kes baharu tibi yang direkodkan Dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 setahun kes baharu tibi yang direkodkan di negara kita.

Kebanyakan kes kematian akibat tibi yang disifatkan masih tinggi itu adalah disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.

Sehingga kini transmisi jangkitan tibi masih aktif walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan.

Dua penyakit berjangkit yang tinggi di Malaysia adalah tibi dan denggi. Berbanding denggi, jumlah kes antara 50,000 hingga 100,000 kes setahun tetapi kes kematian hanya sekitar lebih kurang 100 kes. Namun, bagi tibi, kes sekitar 20,000 hingga 25,000 kes setahun tetapi kematian dalam lingkungan 1,500 hingga 2,000 kes setahun.

Kumpulan yang berisiko mendapat tibi ialah pesakit HIV dan buah pinggang, penghuni penjara dan pusat jagaan warga emas, pesakit diabetes, perokok tegar, pelanggan klinik metadon dan petugas kesihatan (bahagian berisiko mendapat jangkitan penyakit).

Penyebaran tibi sentiasa berlaku disebabkan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan. Ini disebabkan persamaan penyakit tibi dengan simptom influenza seperti demam, selesema dan batuk berpanjangan melebihi dua minggu.

Kuman Mycobacterium tuberculosis disebarkan melalui udara dan individu yang dijangkiti tibi akan mengeluarkan bakteria itu apabila batuk, bersin, bercakap atau menyanyi. Bakteria tercemar yang berada di ruang udara pula akan menyebabkan orang sekelilingnya terdedah dengan jangkitan itu apabila menyedut udara tersebut.

Terutama individu yang rendah tahap imunisasi, berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang biasanya akan menjangkiti paru-paru dan boleh merebak menjangkiti organ lain seperti kelenjar, usus dan tulang melalui aliran darah.

Biasanya tindak balas jangkitan akan dilihat dalam tempoh enam hingga lapan minggu selepas terdedah dengan individu yang dijangkiti tibi.

Pesakit tibi perlu mengikuti rejim rawatan antara tempoh enam bulan hingga 12 bulan bergantung kepada jenis tibi dan tahap keseriusan penyakit tersebut.

Rawatan pesakit tibi yang kebal ubatan biasa pula akan dipertingkatkan kualitinya dengan memperkenalkan rejim rawatan yang lebih pendek iaitu sembilan bulan berbanding 18 bulan sebelum ini.

Sepanjang tempoh rawatan, semua pesakit tibi akan dipantau dari segi kesan sampingan rawatan dan perubahan jangkitan dengan mengambil beberapa ujian seperti sampel kahak, ujian kultur dan imbasan sinaran-x pada dada.

Pesakit tibi akan turut diberikan buku rawatan bagi mencatat segala jenis ubat yang dimakan, dos dan bilangan hari semasa rawatan. Ini bagi memastikan pesakit makan ubat mengikut aturan jadual dan program pemantauan akan dibuat oleh petugas kesihatan sehingga mereka benar-benar sembuh.

No comments:

Post a Comment