Saturday 18 September 2021

KHASIAT POKOK SEMALU

  
Batang pokok semalu ada duri. Kalau terpijak semalu memang sakit. Pengidap kencing manis yang terpijak duri semalu boleh menyebabkan luka yang sukar sembuh.
 
Pokok semalu dianggap rumpai yang tidak mendatangkan manfaat. Ia dianggap musuh dan menyusahkan jika tumbuh di laman rumah, tepi jalan dan padang permainan. 
 
Namun, sesungguhnya setiap ciptaan Allah itu ada manfaatnya. Pokok semalu juga ada khasiat yang boleh dimanfatkan oleh manusia. 
 
Pokok semalu boleh digunakan untuk mengecut, menguat dan membersihkan faraj, khususnya selepas bersalin atau haid. 
 
Caranya, batang pokok semalu bersekali dengan akarnya direbus bersama sedikit buah manjakani, garam kasar dan asam keping. Rebus sehingga asam keping kembang dan biarkan airnya menjadi suam. Air rebusan ini boleh digunakan sebagai mandian bukannya minuman. 
 
Semalu juga dapat merawat masalah cekam kaki atau tangan yang pecah-pecah akibat dimakan air. Beberapa batang pokok semalu bersama akarnya dicampurkan dengan sedikit kapur dan tumbuk sehingga lumat. Sapukan pada bahagian yang ingin dirawat. 
 
Cara lain untuk merawat cekam air ialah pokok semalu yang dicabut menggunakan playar (keseluruhan pokoknya termasuk akar) direbus di dalam periuk hingga menggelegak. 
 
Biarkan sejuk sedikit sehinggalah agak-agak boleh dimasukkan tangan atau kaki di dalam air rebusan itu (masukkan air itu ke dalam besen atau baldi terlebih dahulu). 
 
Air rebusan ini cukup baik untuk mengekalkan kelembapan tangan dan kaki, menghilangkan gatal-gatal tangan dan kaki akibat ‘makan air’ atau istilah saintifiknya Athlete’s foot dan juga cekam pada kuku tangan dan kaki. 
 
Pokok semalu juga dapat mengubati bengkak, luka dan bisul. Caranya ialah dengan menumbuk daun semalu bersama kunyit dan kerak nasi (terenia polygonaides). Tampalkan pada bahagian yang sakit. 
 
Akar semalu boleh merawat sakit buah pinggang, sebagai pelawas kencing, sakit perut, senggugut, malaria, asma, tonik, keputihan dan kusta. 
 
Air dari batang semalu boleh diminum bagi merawat sakit tekak, batuk dan demam. 
 
Batang dan daun pokok semalu yang ditumbuk dan ditampal pada bahagian yang digigit oleh binatang berbisa boleh meredakan kesakitan akibat bisa daripada gigitan tersebut. 
 
Pokok semalu mempunyai keupayaan untuk melawaskan kencing dan memecahkan batu karang dalam pundi kencing. Pokok semalu mampu untuk menghapuskan lemak/kolestrol di dalam darah dengan bertindak sebagai agen antikolestrol.

1 comment: