Tuesday, 8 July 2025

ISU PAWAGAM DI KELANTAN

 
Isu pawagam sebenarnya tidak pernah menjadi perdebatan besar dalam kalangan rakyat Kelantan. Ia hanya kembali diperkatakan apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa. 

Pada waktu itu, muncul segelintir pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen, kononnya rakyat Kelantan dinafikan hak menonton filem di pawagam. Kebetulan pula ketika itu hampir menjelang pilihan raya, maka suasananya mudah dimanipulasi sebagai isu politik.

Dan satu perkara yang kita harus ingat bahawa Kelantan bukannya tidak pernah ada pawagam, cuma semua pawagam terdahulu menutup perniagaannya.

Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuannya sepatutnya diberikan kepada usaha menggandakan penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat nilai.

Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun. Kita perlu isi layar dengan karya yang berterusan, yang membina budaya dan mendidik masyarakat. Barulah pawagam, jika wujud sekalipun, menjadi tempat yang menyuburkan kefahaman, bukan sekadar hiburan kosong.

Kita ingin melihat industri hiburan berkembang dalam acuan Islam. Sebagai contoh, papan-papan iklan di negeri ini diwajibkan patuh syariah dan menggunakan tulisan Jawi yang jelas.

Ini bukan satu bentuk sekatan, tetapi ikhtiar untuk mengangkat semula nilai budaya dan identiti bangsa. Bahkan secara tidak langsung, ia mencabar pereka dan syarikat-syarikat besar untuk tampil lebih kreatif dalam menyampaikan mesej mereka dan hasilnya dapat dilihat, pengiklanan di Kelantan tampil sopan, tetapi tetap berkesan dan menarik.

Oleh itu, penting untuk dibezakan antara larangan umum dengan kebebasan individu. Kerajaan negeri tidak pernah menyekat rakyat Kelantan daripada menonton filem. Apa yang diputuskan hanyalah dasar terhadap pawagam sebagai ruang hiburan awam yang terbuka.

Pawagam juga tidak wajar dijadikan kayu ukur kemajuan sesebuah negeri. Bahkan di luar Kelantan pun, banyak pawagam ditutup kerana perubahan trend hiburan dan kemunculan teknologi OTT, yang memberi lebih banyak kuasa kepada penonton untuk memilih kandungan, masa dan cara tontonan.

Pendekatan setiap negeri tidak sama. Setiap negeri ada pertimbangan masing-masing. Rakyat Kelantan sendiri tidak melihat pawagam sebagai satu keperluan mendesak. Bagi yang berhajat, ada yang ke Terengganu seisi keluarga.

Ada juga yang terus terbang ke Kuala Lumpur, ke pawagam bertaraf premium atau lounge mewah. Itu bukan perkara luar biasa. Sama seperti mereka yang melancong ke Thailand, membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan. Rakyat Kelantan celik hiburan, tahu menilai, dan punya kemampuan.

Kesimpulannya, pendekatan Kelantan dalam isu ini bersifat berimbang dan penuh pertimbangan. Ia bukan keputusan yang dibuat secara tergesa atau bersifat populis, bahkan telah dibincangkan secara panjang lebar sejak zaman Tok Guru memimpin.

Kita hanya ingin pastikan, apa jua bentuk hiburan yang dibawa, tidak merosakkan jiwa, tidak melalaikan masyarakat, dan sentiasa dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama.

Sumber - Fb Dato Nik Amar