Thursday, 12 March 2020

MENGAPA PERLU SEMUA KERBAU MEMBAWA LUMPUR

Maksud peribahasa "seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit", seseorang yang berbuat salah semuanya terbawa-bawa. Peribahasa tersebut memberi peringatan bahawa jika ada individu yang melakukan kesalahan atau perbuatan buruk, maka kesannya akan terpalit kepada keluarga, rakan dan ahli kumpulan yang lain.

Peribahasa adalah merujuk kepada apa yang berlaku atau dapat dianalogikan berdasarkan kepada sesuatu pemerhatian masyarakat dahulu. Kerbau adalah haiwan ternakan yang dapat dilihat di kampung-kampung, mahupun kawasan pinggir bandar pada masa dahulu.

Daripada pemerhatian, orang dahulu dapat melihat kerbau selalu berkubang dan seluruh tubuh ditutupi dengan lumpur. Lumpur yang melekat di tubuh itu akan terkena atau terpalit kepada kerbau-kerbau lain.

Namun sebenarnya, dalam kumpulan kerbau boleh dikatakan seluruhnya berlumpur. Ini kerana memang kesukaan kerbau berkubang di dalam lumpur atau air.

Kerbau sensitif dan perlu berkubang atau berendam untuk menyejukkan suhu badannya. Jika dalam keadaan panas boleh menimbulkan kemurungan, tidak selesa, menjadi ganas, tidak menentu dan kurang sihat kepada kerbau.

Lumpur yang melekat di badan kerbau menjadi 'baju' untuk mengelak cahaya matahari terus terkena pada kulit atau belulang kerbau. Sebab itu kerbau akan kembali berkubang apabila semua lumpur telah tanggal di badannya.

Jadi, elok juga dibuat peribahasa, "sekumpulan kerbau semua membawa lumpur", membawa maksud jika kita berada di dalam sesuatu kumpulan perlu mengikut sikap atau amalan yang biasa dilakukan dalam kumpulan berkenaan.

No comments:

Post a Comment