Friday, 20 March 2020

TAAT ARAHAN PEMIMPIN ITU IBADAH

Mematuhi peraturan sekatan perjalanan yang digariskan oleh pihak pemerintah itu adalah ibadah. Melanggarnya pula dengan menunjukkan kedegilan dan merobek harapan di sebalik peraturan itu adalah dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang taat kepada pemimpin maka dia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepadaku" (Hadis riwayat Bukhari, No. 2957 )

Kerajaan melaksanakan perintah sekatan perjalanan adalah bertujuan kebaikan dan bukannya untuk menyekat kebebasan rakyat. Kebebasan ada batasanya. Ia perlu disekat jika mendatangkan kemudaratan.

Rakyat yang baik sentiasa mempertahankan kedudukan pemerintah dan memberi penuh kepercayaan untuk terus memimpin ke arah kebaikan. 

Perkara ini dijelaskan hadis riwayat Bukhari bermaksud: “Wajib ke atas setiap muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.”

Tinggalkan sikap suka membantah dan menyalahkan pihak lain. Perbuatan keras kepala dan mengaku lebih bijak daripada orang lain hanya membawa kepada kerosakan.

Seorang bijak pandai pernah berkata: "Mujadalah iaitu berbantah-bantah tidak akan menghidupkan ilmu, sebaliknya ia menimbul bibit sengketa lebih dahsyat. Rosaknya masyarakat kerana banyaknya mujadalah akibatnya kebenaran dicari semakin jauh, api permusuhan pula semakin marak."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa meninggalkan mujadalah pada ia dalam kesalahan, maka Allah akan binakan istana baginya di tepi syurga. Barang siapa meninggalkan bermujadahlah itu pada ia dalam kebenaran, maka Allah akan bina istananya dalam syurga."

Sebenarnya pertelagahan meruntuh umat seperti umat terdahulu pernah runtuh dan hancur kerana pertelagahan. Allah melarang kita daripada berpecah-belah dan berselisih faham dalam firman-Nya bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi serupa orang berpecah belah dan berselisih selepas datang kepadanya bukti terang mereka itu akan mendapat azab besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Oleh itu, tiba masanya kita hentikan perdebatan dan berbantah-bantah bagi keharmonian dan keselamatan negara. Bersama berganding bahu membina negara yang lebih selamat.

No comments:

Post a Comment