Tuesday 2 August 2022

IKHLAS MELAKUKAN KEBAIKAN TANPA HARAP PUJIAN

  
Menurut Imam al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat daripada sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riyak apabila melakukan ketaatan. Dari sudut istilah, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudarkan kesuciannnya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya dan dengan itu ia dapat dielakkan. 
 
Manakala Imam al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq di dalam ketaatan. Manusia mentaati Allah SWT adalah semata-mata ingin mendekatkan diri kepada-Nya tanpa tujuan lain seperti pujian dan lain-lain. 
 
Hakikat keikhlasan ialah terpelihara dari belenggu riyak dan hawa nafsu. 
 
Ikhlas merupakan perbuatan yang tinggi martabatnya. Manakala niat pula menjadi kunci ibadat. Berniat untuk melakukan sesuatu dan seikhlas hati, merupakan dua perkara yang berbeza tetapi saling berkaitan. 
 
Jika berniat melakukan sesuatu tanpa kejujuran, sudah tentu tidak beroleh keikhlasan, sedangkan ada juga bentuk amalan yang mendapat ganjaran mesti bermula dengan ikhlas. 
 
Tanpa keikhlasan sudah tentu apa yang dilakukan itu hanya sia sia belaka meskipun perbuatan itu baik. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud: " Sesungguhnya Allah tidak menerima perbuatan kecuali amal perbuatan yang diniatkan dengan ikhlas demi meraih reda-Nya." (Hadis riwayat Nasai). 
 
Orang yang ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah SWT tidak akan rugi apa apa, malah keikhlasan yang kecil itu akhirnya diganjari pahala. Manakala melakukan sesuatu kerana hendak menunjuk nunjuk, akan menyebabkan amalan yang besar menjadi semakin kecil dan lenyap begitu sahaja. 
 
Selain niat yang ikhlas sebagai jalan untuk mendapatkan ganjaran, kita mestilah mengamalkan sifat amanah, jujur dan sentiasa mematuhi peraturan supaya apa yang dilakukan itu diterima Allah SWT. 
 
Disebabkan itulah, adakalanya kita lihat bagaimana seseorang itu sangat cemerlang dalam perkara yang dilakukan kerana berpandukan batasan yang ditentukan. 
 
Allah SWT juga memandang tinggi kepada mereka yang ikhlas dalam apa jua perkara selagi ia ke arah kebaikan meskipun hanya ingin berjumpa dengan saudara atau kenalan. 
 
Yakinlah, setiap perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan telah tersedia ganjaran yang besar melimpah ruah.
 
Gambar hiasan: Masjid Mukim Teluk Renjuna, Tumpat, Kelantan

No comments:

Post a Comment