Hidup manusia di dunia ini bertujuan untuk melakukan ibadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya setiap perbuatan di dunia ini tidak kira kecil atau besar akan mendapat pembalasan yang setimpal.
Dalam lain perkataan, keseluruhan kehidupan
rohani dan jasmani manusia Muslim mesti berlangsung dalam keseluruhan ruang
legar definisi istilah ibadah itu. Jika tidak demikian, bermakna Muslim
berkenaan sedang terperangkap dalam gaya atau budaya hidup yang tidak islamik,
sekali gus tidak menepati matlamat kehadiran mereka di alam ini.
Ibadat dalam Islam bukan hanya niat kerana
Allah semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan pergerakan jasmani, tumpuan
hati dan akal. Contohnya dapat lihat dalam ibadat solat yang mana jasmani, hati
dan akal perlu berfungsi secara serentak.
Amalan kebaikan atau pahala tidak hanya dicapai apabila melakukan ibadat khusus
semata-mata. Semua perbuatan, percakapan mahupun gerak hati dikira
mendatangkan pahala sekiranya diniatkan untuk kebaikan serta mencari keredaan
Allah SWT.
Rasulullah SAW menjelaskan terdapat tiga golongan di sisi Allah SWT. Perkara
ini dijelaskan sepertimana sabda Baginda SAW kepada sahabat yang bermaksud:
“Mahukah aku ceritakan pada kalian mengenai tiga golongan manusia. Pertama,
mereka yang sentiasa berusaha mendampingi Allah SWT dengan melakukan kebaikan
lalu mereka didampingi Allah SWT. Kedua, mereka malu kepada-Nya untuk melakukan
kejahatan lalu Allah SWT malu untuk menolak permohonan mereka dan ketiga,
mereka yang menyimpang terus daripada Allah SWT apabila bergelumang dengan
maksiat lalu Allah melupakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dua golongan pertama dikira bertuah kerana mendapat perhatian daripada Allah
SWT dan hidup mendapat keredaan.
Dua golongan disebut melakukan kebaikan dan menjauhkan kejahatan dianggap
membantu agama Allah SWT dan mendapat pertolongan. Mereka yang melakukan
sesuatu untuk Allah SWT mendapat ganjaran terbaik.
Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah SWT nescaya kamu akan
mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7)
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Kamu tidak akan meninggalkan sesuatu untuk Allah
selain digantikan dengan yang lebih baik daripada itu.” (Hadis riwayat
Ahmad)
Manakala golongan ketiga ini dikategorikan sebagai durhaka terhadap perintah
dan amanah yang telah diserahkan kepada mereka. Mereka bukan saja merosakkan
imej Islam, bahkan memusnahkan kehidupan diri sendiri.
Mereka menganggap perbuatan itu mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Bahkan
mereka dengan bangga melakukan perbuatan itu sehingga merasa bongkak dan besar
diri seolah-olah dirinya paling berkuasa dan tidak ada pihak lain dapat
menghalang dirinya melakukan apa yang diingini.
Sesungguhnya, golongan ketiga ini menipu Allah SWT apabila berasa dapat
menyembunyikan atau melanggar apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Namun,
apa yang dilakukan itu semuanya sia-sia.
Mereka berasa telah berjaya menipu Allah SWT, sedangkan merekalah yang telah
tertipu. Perkara ini seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Mereka menipu Allah SWT dan mereka akan tertipu.” (Surah An-Nisa, ayat
142)
Sesungguhnya, Islam dan iman menjadi syarat utama untuk menerima ganjaran di
akhirat dan diharamkan sama sekali bagi orang kafir mendapat balasan baik di
sana.
Mereka hanya mendapat kesenangan dan penghormatan dunia manakala Muslimin
mendapat kedua-dua manfaat daripada kebaikan mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mereka yang kafir tiada apa yang dapat
mereka hasilkan di akhirat manakala orang yang beriman akan menuai hasil yang
banyak di akhirat dan kurniaan rezeki yang melimpah dalam kehidupan dunia.”
(Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka yang kafir dan sesat akan menerima
balasan berganda di akhirat kelak sebagai balasan atas kesesatan dan kerosakan
yang mereka lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 88)
Ulama bersepakat mengatakan orang kafir yang mati tidak membawa apa-apa
kebaikan. Mereka hanya mendapat sedikit penghormatan ketika di dunia daripada
kebaikan dilakukan seperti berbuat baik sesama manusia, menderma dan memuliakan
tetamu.
No comments:
Post a Comment