Kekuatan
dan keagungan al-Quran tiada bandinganya. Kandungan al-Quran tidak mampu
dicipta oleh manusia. Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia
yang menandingi mana-mana ayat al-Quran.
Allah
telah menegaskan betapa biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran
serta saling membantu, tidak mungkin manusia dapat
melakukannya.
Firman
Allah bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk
membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang
serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian
yang lain.” (Surah al-Isra, ayat 88).
Dalam
al-Quran mengandungi pelbagai perkara meliputi semua kehendak dan keperluan
manusia berkaitan kepentingan dunia dan akhirat.
Kandungan
al-Quran boleh diringkaskan kepada empat perkara utama.
Pertamanya,
berkaitan mengenai hukum ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji. Keduanya,
memperkatakan mengenai peraturan hidup yang perlu diamalkan oleh manusia seperti
mengenai peraturan jual beli, perkahwinan, budi pekerti, pergaulan jiran
tetangga, tepati janji dan sebagainya.
Ketiganya
ialah menceritakan tentang ilmu sains, perubatan, cakrawala, biologi, kimia dan
geografi. Manakala perkara keempat ialah mengenai sejarah dan tauladan hidup
masyarakat terdahulu.
Sesungguhnya
apa yang tercatat di dalam al-Quran adalah lengkap dan memberi manfaat yang
besar kepada manusia sebagai panduan hidup. Semua keperluan panduan hidup
manusia terdapat di dalam al-Quran.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 38 bermaksud: "Tiadalah Kami
meninggalkan sesuatu perkara pun dalam al-Quran."
Menariknya,
perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Ini
membuktikan kehebatan al-Quran Kalam Yang Maha Pencipta. Pemikiran manusia
tidak mampu memahami atau menafsirkannya perkataan demi perkataan atau
ayat-ayatnya dengan sepenuhnya.
Kehebatan
kandungan al-Quran mendorong bukan Islam turut mengkajinya. Semakin banyak
penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang
bukan Islam.
Ketika
pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah
tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.
Ketepatan
kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli
sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW.
Tidak
mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah SAW dapat mencipta
kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan
teknologi.
Bahkan,
tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui
tentang penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih
seperti yang terdapat pada masa sekarang.
No comments:
Post a Comment