Thursday, 5 January 2023

SIJIL PERAKUAN PENYIAPAN DAN PEMATUHAN (CCC)

 
Apa itu CCC? Ia adalah singkatan kepada "Certificate of Completion and Compliance' atau 'Perakuan Penyiapan dan Pematuhan'.
Ia adalah sijil yang memperakui rumah itu siap dibina mengikut kelulusan dan pematuhan yang ditetapkan oleh undang-undang di bawah Akta 133, iaitu Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
CCC juga mengantikan Perakuan Kelayakan Menduduki (CFO) yang dahulunya dikeluarkan oleh PBT. Berkuatkuasa dari tahun 2007, CFO tidak lagi dikeluarkan oleh PBT tetapi digantikan pula dengan CCC yang dikeluarkan oleh PSP (Principal Submitting Person atau Orang Yang Mengemukakan).
Mereka terdiri dari Lead Consultant yang dilantik tuan rumah untuk membangunkan pelan-pelan rumah yang lengkap bagi membina struktur, infrastruktur, sistem kelengkapan rumah seperti pempaipan, pendawaian, kumbahan lengkap dengan lekapan dan kelengkapan rumah seperti dinding, siling, pintu, tingkap dan lain-lain.
Mereka juga yang mengemukakan pelan-pelan ini di PBT bagi mendapatkan kelulusan membina rumah atau dikenali sebagai Pelan Pembangunan (PB).
Kebiasaannya arkitek bertauliah akan dilantik sebagai Lead Consultant untuk membina rumah.
CCC perlu melalui satu proses panjang. Ia dikeluarkan secara berperingkat setelah '21 Borang G' yang perlu diisi kontraktor yang membina rumah, diperakui oleh arkitek ini.
Borang G1 hingga G21 adalah borang-borang yang mengesahkan sesuatu komponen binaan itu siap dibina mengikut pematuhan yang diperuntukan dan ditandatangani oleh setiap profesional dan kontraktor atau kontraktor tred yang terlibat.
Contohnya Borang G5 adalah borang mengesahkan kerja-kerja perpaipan dalaman.
Borang ini memerlukan kontraktor tred pempaipan berlesen dan arkitek (atau jurutera) yang menyedia dan mengemukakan lukisan pepaipan dalaman, sama-sama mengesahkan penyiapan dan pematuhan kerja-kerja pemasangan pepaipan dalaman.
Ada 3 peringkat utama CCC dikeluarkan iaitu:
i. Borang G1 - G3 dikeluarkan di peringkat penyiapan substruktur iaitu dari kerja-kerja membersihkan tanah hingga kerja-kerja binaan foundation rumah di bawah permukaan tanah.
ii. Borang G4 - G12 dikeluarkan di peringkat penyiapan superstruktur iaitu kerja-kerja membina tiang, rasuk, papak lantai dan bumbung yang akan menampakkan rangka rumah yang hendak dibina.
iii. Borang G5 – G21 dikeluarkan di peringkat penyiapan perkhidmatan luaran dan dalaman seperti sistem pempaipan untuk laluan air, saliran kumbahan, kerja elektrik, mekanikal, infra dan lain-lain.
Bagi mana-mana kerja yang tidak dispesifikasikan dalam binaan, borang G berkaitan tidak perlu diisikan.
Contohnya ada satu borang G yang memperakui lif dipasang dengan selamat, dan memandangkan kediaman itu tidak mempunyai lif, maka Borang G berkaitan pemasangan lif tidak perlu diperakui.
Banyak kepentingan CCC: Contohnya, sekiranya kerajaan mempunyai rancangan untuk membangunkan kawasan melibatkan tanah yang kita duduki, ganti rugi atau pampasan adalah bergantung kepada nilai tanah dan nilai rumah yang ada CCC. Sekiranya tiada CCC, ganti rugi hanya akan diberikan kepada tanah sahaja.
Sekiranya kita atau waris kita hendak mencagarkan rumah untuk mendapatkan pinjaman tunai, salah satu syarat bank adalah rumah ini ada CCC.
Jadi, jangan pandang mudah soal CCC. Bagi rumah yang telah lama siap dan tiada CCC, sila hubungi semula arkitek atau kontraktor anda. Lihat apa yang mereka boleh bantu.
Kredit penulis asal

No comments:

Post a Comment