Anak perlu dididik dengan kekuatan iman dan
sahsiah diri yang mantap agar mampu menghadapi ujian kehidupan di dunia ini
khususnya ancaman pemikiran yang merosakkan seperti liberal dan sekular.
Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai
medan ujian di sepanjang kehidupan manusia bermula usia mereka mencapai akil
baligh. Islam menuntut manusia mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap
jiwa anak dan tidak membiarkan mereka hidup menyimpang daripada agama.
Oleh itu, sandarkan segala tindakan dan
urusan kepada al-Quran dan hadis terutama untuk mengukuhkan keimanan anak
seperti sabda Rasulullah SAW supaya diperkenalkan kalimah syahadah kepada anak
supaya kalimah tauhid menjadi perkara pertama didengari bayi yang dilahirkan ke
dunia. Apabila anak sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan
haram.
Selain itu, apabila umurnya mencecah tujuh
tahun ajak mereka beribadat kepada Allah SWT, iaitu mengajar untuk solat,
mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza antara satu sama lain.
Begitu juga dibenarkan untuk memukul dengan
tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10
tahun, selain mengasingkan tempat tidur mereka dan membiasakan diri untuk
berpuasa serta mengerjakan haji apabila berkemampuan.
Mendidik anak mengenali agama adalah hak
mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa supaya sentiasa berada dalam
ketaatan kepada Allah SWT. Malah untuk mengukuhkan keimanan anak yang sedang
membesar, didiklah mereka mencintai Rasulullah SAW dan keluarga Baginda.
Rasulullah SAW bersabda: "Didiklah
anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi
kamu. Kedua, didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan ketiga,
didiklah anak kamu dengan Al-Quran." (Riwayat at-Tabarani)
Golongan ibu juga digalakkan mendidik anak
membaca al-Quran kerana suaranya yang lunak dan dapat meluangkan lebih masa
bersama mereka. Malah, anak lebih mudah menerima didikan daripada ibu yang
mentarbiah dengan penuh keikhlasan.
Sesungguhnya sesiapa yang hidup dengan
al-Quran, individu itu akan berada di bawah naungan Arasy Allah SWT bersama
nabi dan golongan manusia lain yang mendapat keuntungan besar kerana dinaungi
oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment