MENGAKU KESALAHAN SENDIRI DIPANDANG MULIA
Perkara salah tetap salah, dan amat mulia
kita mengakui kesalahan itu dan memohon maaf. Tidak elok kita ingin menegakkan
benang basah. Jadilah orang yang berjiwa besar dan berani bertanggungjawab atas
apa yang dilakukan.
Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang
sering kali dianggap sebagai mudah mengalah, tidak kuat pendirian dan dianggap
terlalu lembut. Pada hakikatnya, tidak salah merendah diri untuk memohon maaf
atas kesalahan dilakukan. Itulah sikap terpuji yang bersedia mengakui kelemahan
sendiri dan sanggup menanggung apa juga akibatnya.
Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan,
kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah kemasyarakatan. Jika
menjadi pemimpin, sifat seperti ini menggambarkan ketelusan dan kejujuran yang
ada kaitannya dengan natijah keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Mengakui kesalahan dan berazam untuk tidak
mengulangi kesalahan adalah ciri-ciri orang beriman. Meminta maaf bukanlah
suatu tindakan yang hina. Malah, mengakui kesalahan adalah tindakan yang
berani.
Tidak ramai manusia termasuk pemimpin
bersedia memohon maaf di atas kesilapannya. Ini hakikat yang perlu difahami
kerana manusia bukanlah makhluk sempurna dan sentiasa terdedah dengan
kesilapan.
Namun manusia harus bertanggungjawab
terhadap apa yang dilakukan bagi menjana peribadi yang mulia.
Khalifah Abdul Malik Marwan pernah
mengungkapkan mutiara kata: “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai
adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya
membalas dan bersikap adil ketika kuat.”
Allah SWT sangat mencintai orang yang
memaafkan kerana ia termasuk dalam perbuatan baik kepada manusia.
Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik
seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134).
Rasulullah SAW sendiri adalah insan yang
mudah memaafkan orang lain. Baginda Rasulullah SAW pernah berdepan dengan
perlakuan seorang wanita Yahudi memberi hadiah kepada Nabi berupa daging
kambing yang di dalamnya mengandungi racun.
Sesungguhnya Nabi sendiri tidak mengetahui
akan perkara itu dan memakannya. Selepas mengetahui diri Baginda diracun, Nabi
berbekam untuk mengeluarkan racun berkenaan.
Dengan izin Allah, Baginda terselamat lalu
dipanggil wanita itu dan ditanya maksud dan tujuannya berbuat begitu kepada
Nabi. Ternyata dari jawapannya dia ingin membunuh Nabi. Namun Rasulullah SAW
memaafkan wanita itu dan tidak sesekali menghukumnya.
Sayangilah makhluk, nescaya kamu akan
disayangi Allah dan berilah ampunan nescaya Allah mengampunimu.
No comments:
Post a Comment