Rasuah
adalah perbuatan tidak bermoral yang amat membahayakan keselamatan negara,
keharmonian masyarakat dan kelicinan urusan kehidupan seharian. Negara akan hancur dan huru hara jika amalan
rasuah berleluasa.
Banyak
negara jatuh ke tangan kuasa asing disebabkan berleluasanya amalan rasuah di
kalangan pegawai dan kakitangan awam.
Kerajaan menjadi boneka kepada pihak yang menyogok rasuah untuk mendapat
sesuatu.
Kerajaan
menanggung kerugian akibat rasuah yang mana kos pentadbiran meningkat,
sedangkan tahap perkhidmatan kepada rakyat semakin rendah. Pendapatan kerajaan juga menurun akibat
bayaran yang sepatatnya diterima telah dinafikan penerima dan pemberi
rasuah.
Perbuatan
rasuah atau makan suap bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat. Amalan tersebut telah dikesan berlaku
selewat-lewatnya 4,000 tahun lalu atau lebih awal daripada itu. Kisah dan hukum mengenai rasuah telah disebut
dalam Kitab Perjanjian Lama Injil.
Rasuah
ialah perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai
ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau
akan ditunaikan dengan cara yang tidak sebenarnya.
Penggunaan
perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit
proses sering digunakan sebagai mengabuli mata orang ramai sebagai menghalalkan
perbuatan itu.
Sesiapa dilantik menjalankan sesuatu urusan dan
dibayar gajinya oleh pihak berkuasa, perlu melakukan tugas tersebut tanpa
mengharapkan bayaran daripada pihak lain.
Apa yang dilakukan sudah
memadai dengan gaji yang diterima daripada kerajaan atau majikan.
Pengertian
rasuah bukan terhad kepada menerima wang sogokan sahaja. Segala bentuk yang mempunyai ‘nilai’ seperti
kenaikan pangkat, layanan istimewa, hubungan seks, hiburan dan jamuan juga
sebahagian daripada habuan rasuah.
Sesuatu
yang mempunyai hubung kait dengan rasuah melibatkan satu pelanggaran etika
kerja. Pekerja menerima rasuah
mengetepikah aturan tugas yang diamanahkan kepadanya. Dia tidak melakukan sesuatu yang hak dan
mewujudkan masalah dalam pentadbiran negara.
Perbuatan
rasuah mudah berlaku di kalangan pekerja melakukan penguatkuasa dan urusan
secara langsung dengan orang ramai.
Individu melakukan kesalahan sanggup mengeluarkan sedikit wang untuk
mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Sistem
pentabiran mengamalkan birokrasi meletakkan pegawai mempunyai kuasa penuh
terhadap sesuatu urusan yang dikendalikan yang menyebabkan amalan rasuah mudah
berlaku.
Secara
amnya pelanggan tidak suka kepada sistem birokrasi yang mengambil masa dan
banyak peraturan. Sebagai jalan mudah
pelanggan memberi sogokan supaya urusan dimudahkan. Pegawai yang berkuasa memenuhi keinginan
pelanggan itu mendapat habuan lumayan.
Pegawai
menerima rasuah didorong perasaan ingin mendapat wang lebih. Keperluan wang yang mendesak disebabkan cara
hidup mewah atau berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan ramai pegawai
terjebak amalan rasuah.
Setiap
pekerja yang dilantik tertakluk kepada peraturan tugas dan memastikan mutu
kerja yang memuaskan. Kecemerlangan
pekerja menjadi lambang kepada kejayaan kerajaan dan organisasi diwakili
pekerja menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Hal
demikian memerlukan setiap pekerja menanam azam dan iltizam akan melakukan
tugas dengan keupayaan terbaik. Matlamat
itu hanya tercapai jika pekerja mengikut peraturan kerja, jujur, amanah dan
melakukan yang terbaik.
Sewajarnya
setiap pekerja bersyukur diberikan pekerjaan dan berpeluang untuk berkhidmat
kepada negara. Gaji yang diterima di
atas kerja dilakukan hanya dianggap halal dan diberkati jika kerja tersebut
dilakukan seperti mana ditugaskan.
Pekerja
tidak menjalankan tugas dengan sempurna juga dianggap melakukan rasuah, yakni
tidak amanah. Amalan mencuri tulang,
lepas tugas dan tidak bersungguh-sungguh melakukan tugas menyebabkan mutu
perkhidmatan berada pada tahap rendah.
No comments:
Post a Comment