Friday, 8 December 2017

KULAT TAHUN TUMBUH SELEPAS HUJAN

Kulat atau cendawan tahun unik kerana dikatakan tumbuh hanya sekali setahun di satu-satu tempat. 

Menariknya, kulat tahun lazim didapati tumbuh jika pada musim panas (lebih tepat bukan pada musim hujan) berlaku hujan yang diikuti dengan guruh dan kilat. Hari selepas hujan itu akan panas atau tidak ada hujan selama tiga hari di sesuatu kawasan.

Kulat tahun juga dikenali kulat pusu atau kulat busut kerana ia tumbuh di kawasan busut yang terdapat anai-anai. Sebab itu dikatakan kulat tahun mempunyai hubung kait yang kuat dengan anai-anai.

Biarpun dikatakan tubuh setahun sekali, tidak bermakna kulat tahun hanya diperoleh setahun sekali dalam satu musim. Dikatakan tumbuh setahun sekali ialah di kawasan yang sama. 

Mungkin di tempat lain, kulat tahun tumbuh pada masa lain, asalkan di kawasan berkenaan berlaku hujan dan ada petir serta guruh.

Menariknya, kulat pusu itu akan tumbuh di tempat sama pada tahun hadapan jika kawasan itu tidak diusik atau tiada perubahan ketara di kawasan itu. Dan satu lagi, kawasan itu masih menjadi tempat tinggal anail-anai.

Agaknya peribahasa 'seperti cendawan tumbuh selepas hujan' merujuk kepada kulat pusu ini. Kewujudan kulat pusu di sesuatu kawasan mengubah pemandangan landskap kawasan berkenaan. Ia menjadi seakan 'kebun' kulat tahun.

Cendawan busut hanya bertahan dalam tempoh lima hari (5) sahaja. Kulat ini keluar dari permukaan tanah dengan mempunyai bahagian kepala dan badan pada peringkat awal sebelum mengembang. 

Semasa kudup belum kembang atau baru sahaja kembang merupakan tahap yang paling sesuai dipetik atau paling enak dimakan. Selepas lima hari jika cendawan ini tidak dikutip maka ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya. 

No comments:

Post a Comment