Pokok melaka (Phyllanthus
emblica) merupakan sejenis tumbuhan yang dipercayai berasal dari Asia. Ia
banyak ditanam atau tumbuh liar di Malaysia terutama di negeri Melaka, Perak
dan Pulau Pinang.
Menurut sejarah, pokok melaka menjadi nama
negeri Melaka yang dibuka oleh Parameswara dari Palembang. Ketika tiba di suatu
tempat yang boleh bernama, baginda bertanya tentang nama sejenis pokok yang
dilihatnya. Apabila pokok itu diberitahu bernama “melaka”, lalu tempat itu
dikenali Melaka dan seterusnya digunakan sebagai satu nama kerajaan atau
negeri.
Sebagai mengingati sejarah ini, beberapa
batang pokok melaka ditanam di beberapa tempat di bandar Melaka termasuk di kawasan
pelancongan Bandar Hilir.
Pokok melaka ialah sejenis pokok yang kecil
hingga sederhana di mana ia tumbuh menegak serta banyak cabang. Lazimnya ia
mencapai ketinggian antara 6 - 15 meter dan untuk tanaman landskap ia perlu
dicantas agar kanopi dan pembentukkan pokok kelihatan menarik.
Bentuk daun pokok ini adalah jenis
daun mudah dalam tangkai daun berbentuk 'oblong' dengan susunan
bertentangan pada tangkai panjang.
Warna daun di bahagian pucuk adalah hijau
muda dan daun yang telah tua berwarna hijau gelap. Tangkai daun ini lazimnya
pendek dan bersusun di dahan dengan susunan tangkai 'alternate'.
Daun pokok melaka akan gugur pada musim
tertentu dan ini memerlukan pembersihan jika pokok tersebut terlalu besar.
Pokok melaka berbunga dan berbuah sepanjang
tahun, tetapi ada musim tertentu bunganya lebih banyak berbanding biasa dan
turut menghasilkan banyak buah.
Buah melaka berukuran 2 - 3 cm panjang dan
hampir tidak bertangkai. Bentuknya seperti buah 'cherry' iaitu hampir bulat,
agak dempak (masuk ke dalam) di hujung dan pangkalnya. Terdapat enam
garis lurus yang berwarna pucat yang memanjang seolah-olah membahagi buah
kepada enam bahagian yang jelas.
Buah melaka mempunyai rasa yang sangat
pahit dan masam di mana kurang sesuai dimakan segar. Sebelum dimakan, buah
melaka elok dijeruk atau dijadikan “sweet candies” iaitu dengan cara mengeringkan
atau memasaknya dengan gula.
Buah melaka juga dikenal sebagai ‘aonla’ di
kalangan orang India.
No comments:
Post a Comment