Monday, 30 July 2018

ISU SULTAN, JANGAN BERTINDAK KETERLALUAN

Setiap rakyat perlu sedar mengenai kedudukan dan kuasa Yang Di-pertuan Agong dan raja-raja. Jangan mudah lupa sejarah hingga timbul banyak kes mempertikaikan kedudukan itu.

Di negara kita, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik saja negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ini bermakna, kedudukan Raja yang sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia. Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.

Kedudukan dan peranan ini membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. Walaupun Raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Perlembagaan negara memaktubkan dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara. Namun, kuasa pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai Perdana Menteri. Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas d bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan Parlimen. Justeru, cadangan pihak tertentu supaya Dewan Negara dibubar atau ditiadakan seolah-olah menghina, mencabar dan cuba memperkecilkan peranan baginda.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menghina atau membangkitkan perasaan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga memperlekehkan titah atau ucapan baginda dalam apa-apa bentuk sekali pun termasuk dalam media sosial adalah satu kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi raja di negara ini.

Selain peranan utama yang disebutkan, Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Baginda juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Peranan institusi Raja dalam memayungi agama Islam di negara ini juga membuktikan bahawa institusi Raja di negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka semata-mata.

Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda, manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan.

Baginda akan dirujuk dan apa-apa perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan membetulkan yang mana yang perlu serta memberikan cadangan mengenai apa-apa perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.

Fungsi baginda itu adalah selari dengan Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Raja-raja adalah Ketua Agama Islam dalam negeri naungan baginda yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai.

Oleh sebab pentingnya institusi Raja ini, maka satu badan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di negara ini selari kedudukan mereka dengan Perlembagaan ditubuhkan. Ia dikenali sebagai Majlis Raja-Raja. Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli Majlis Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat kerajaan.

Perlembagaan mengehendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri. Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi Raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong, maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.

Kesimpulan, institusi raja di negara ini mempunyai kedaulatan tersendiri mengikut kuasa yang ditetapkan Perlembagaan. Institusi Raja tidak bersifat politik kerana baginda adalah lambang perpaduan kepada semua rakyat. Rakyat seharusnya sedar bahawa taat setia kepada baginda adalah elemen kenegaraan yang sangat penting.

No comments:

Post a Comment