Monday 30 July 2018

RAJA PAYUNG RAKYAT TADBIR NEGARA

Negara kita mengamalkan dua sistem berkembar, iaitu demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kedua-dua sistem ini bergerak secara bersama dan perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain menurut falsafah atau acuan negara.

Keduanya umpama tiang menunjangi negara. Satu daripadanya tidak boleh dilupai kerana ia boleh membinasakan keseluruhan negara. Apa yang perlu dilakukan ialah mengimbangi kedua-duanya sehingga menjadi pelengkap antara satu sama lain, bukan kompetitif atau berlawanan.

Kedua-dua sistem itu mempunyai tanggungjawab masing-masing. Namun, kita tidak dapat mengelak daripada pertembungan antara kedua-duanya. Pertembungan ini berlaku kerana keadaan, budaya serta sejarah yang membentuk latar dan landskap negara.

Pindaan kepada Perkara 66 pada 1983 dan seterusnya 1994 menjadi antara contoh pertembungan. Pindaan terbabit dianggap sesetengah pihak sebagai mengikis kuasa Raja. Tetapi, jika dilihat dari satu sudut lain, ia bertujuan mengukuhkan demokrasi.

Pada peringkat Persekutuan, peruntukan asal Perlembagaan mewajibkan setiap Rang Undang-Undang mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan dan seterusnya beroperasi sebagai undang-undang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong, Rang Undang-Undang terbabit tidak boleh diwartakan dan tidak boleh menjadi undang-undang.

Ia kemudian dipinda sehingga kepada apa yang ada sekarang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dalam masa 30 hari, rang undang-undang itu boleh diwarta dan beroperasi. Bagaimanapun, pada peringkat negeri masih ada negeri yang masih mengekalkan syarat mohor besar Raja-Raja dalam Perlembagaan negeri.

Dalam konvensyen Westminster, Raja tidak pernah enggan memberikan mohor besar kepada rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Ini bagi meraikan demokrasi berparlimen. Bagi negara kita, sejarah perundangan memperlihatkan bahawa Perlembagaan negeri meletakkan kuasa legislatif dalam bidang kuasa Raja.

Keadaan mula berubah dengan Perjanjian Persekutuan 1948, bila mana Raja-Raja bersetuju menjadi Raja Berperlembagaan dan sebahagian besar kuasa Raja, termasuk kuasa legislatif diserahkan kepada majlis perundangan. Begitu juga dengan Perlembagaan 1957, tetapi mengekalkan syarat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dan pada peringkat negeri, mohor besar Raja.

Pindaan kepada Perkara 40 Perlembagaan juga boleh dijadikan contoh. Pindaan terbabit memasukkan fasal (1A) yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut atas nasihat jemaah menteri berkenaan apa juga peranan dan fungsi yang memerlukan baginda bertindak atas nasihat. Pindaan Perlembagaan ini juga satu cedukan daripada konvensyen Perlembagaan Westminster.

Yang pasti, Raja bukan hanya sekadar simbol dalam sistem demokrasi kita. Baginda mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri.

Kuasa Raja dalam soal mohor besar sebagai contoh, boleh menjadi penapis kepada ‘demokrasi mutlak’. Ia boleh bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang kepada tindakan pihak legislatif atau eksekutif menurut demokrasi.

Maka, di sinilah timbulnya konflik antara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Mengelak daripada Raja mutlak, pada masa sama, juga menghindari demokrasi mutlak. Kita mestilah berhati-hati dalam hal ini supaya kedua-duanya menjadi pelengkap antara satu sama lain mengikut acuan kita. Apa yang pasti kita mahukan kedua-duanya kekal bersama.

No comments:

Post a Comment