Monday 30 July 2018

PERTAHAN SOPAN SANTUN MELAYU

Orang Melayu halus budi bahasa. Bagaimanapun, semakin banyak orang Melayu hilang budi bahasa. Bahasa yang kesat dan kasar digunakan oleh mereka hilang identiti Melayu. Mereka hilang jati diri dan tidak berbangga menjadi Melayu. Mereka ingin dikenali Melayu liberal yang bebas mengamalkan apa yang difikirkan betul tanpa melihat akar umbi bangsa sendiri.

Melayu liberal sama dengan Islam liberal. Hilangnya kehalusan jiwa Melayu disebabkan mereka hilang kekuatan pegangan Islam. Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Indahnya Melayu kerana dibimbing oleh hukum agama. Kalau sudah hilang kekuatan roh Islam, maka hilanglah sendi kekuatan Melayu.

Disebabkan sendi agama semakin longgar apabila diserang fahaman liberal, banyak individu menukilkan bahasa dan tindakan tidak sepatutnya dikeluarkan di luar norma-norma keperibadian Islam. Kadangkala ia diungkap oleh mereka yang mendakwa memperjuangkan agama Islam.

Semua ini mungkin kerana kekecewaan emosi dan sebagainya. Apa yang kita nak tahu kenapa mereka yang berilmu berpengetahuan tidak boleh memiliki satu integriti yang tinggi.

Orang Melayu menyatakan rasa marah dengan bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya diucapkan sebagai orang Islam. Kenapa orang Melayu jadi begitu. Adakah kerana marah kita tidak boleh kawal perasaan sehingga hilang pedoman, ini yang kita nak tengok.  

Sebahagian kecil orang Melayu rupa-rupanya sudah hilang kesopanan. Untuk atasi masalah ini kita perlu merapatkan diri dengan orang muda dan memberitahu mereka supaya menjaga budaya dan akhlak kita, tidak ada orang yang sempurna pasti ada kekurangan, ini kita harus terima. Selain itu kita perlu belajar untuk terima penerangan dan pandangan orang, sebelum kita buat rumusan.

Sikap orang kita buat rumusan terlalu cepat, apabila terima sesuatu berita tanpa usul periksa mereka percaya, apabila kita buat penjelasan, tidak mahu terima. Jadi mereka anggap itu betul semua, ini tindakan yang salah. Sepatutnya kita berfikiran terbuka dengan mengadakan perbincangan dan berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.

Itu adat kita, sama ada marah atau sedih, integriti kita sebagai orang Melayu kena kekal. Sebab itulah anak-anak muda kita, kalau marah pun jangan sampai kita mencarut. Itu bukan cara kita. Kalau marah pun, kita kena dengar pandangan orang dulu. Barulah ada integriti.  

Orang Melayu dalam apa keadaan sekalipun, sopan santun kita perlu ada, itu paling penting kerana itu akhlak orang Islam.

No comments:

Post a Comment