Wednesday 4 March 2020

SIFAT MALAIKAT SENTIASA TAAT


Malaikat digambarkan dalam Al-Quran sebagai selalu sibuk bertasbih dan memuji Allah SWT sepanjang masa. Cara bertasbih mereka tidak terbatas pada ucapan, malah merangkumi sikap dan perbuatan. Masing-masing ada perbuatan tersendiri seperti berdiri, duduk, rukuk, sujud dan tawaf mengelilingi Baitul Makmur.

Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang berkuasa atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka." (Surah an-Nahl, ayat 50).

Dalam keadaan itu, malaikat tidak dibebani tugas lain. Mereka hanya taat kepada Allah SWT dan tidak ada 'pilihan'. Hal ini berlainan dengan hakikat kejadian manusia dan jin yang terdedah kepada iman dan kufur. Satu persamaan malaikat dengan makhluk lain ialah ia juga akan binasa sebelum hari kiamat, termasuk Israfil yang bertugas meniup sangkakala menanda berlakunya kiamat.  

Malaikat dicipta dari cahaya, tidak ada jantina atau keperluan untuk berkelamin, tidak makan dan tidak minum, tidak memiliki nafsu, tidak tidur dan tidak perlukan rehat.

Kehebatan lain malaikat ialah dari segi kecepatan bergerak dan ketepatan melaksanakan tugas. Contohnya bagaimana Izrail melaksanakan tugas mencabut roh, bukan saja manusia, bahkan semua makhluk di seluruh dunia. 

Perlaksanaan tugas itu tepat dan tidak tersilap setelah mendapat perintah Allah SWT. Bayangkan bagaimana Izrail dapat melaksanakan tugas itu untuk mencabut roh manusia dan makhluk lain secara serentak di seluruh dunia yang berlaku setiap detik.

Pada malaikat terdapat sayap sama ada dua, tiga atau lebih sehingga 600 sayap dan tidak terkira jumlahnya. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat pertama bermaksud: "Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap. Masing-masing memiliki dua, tiga dan empat sayap."

Mengenai malaikat memiliki 600 sayap dijelaskan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melihat Jibril pada malam Israk dan Mikraj dengan 600 sayap yang dimilikinya. 

Sayap digambarkan berfungsi untuk pergerakan yang pantas, manakala pada erti lain membawa maksud keupayaan malaikat melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat. 

Dalam surah al-Maarij ayat 4 Allah SWT bermaksud: "Malaikat-malaikat dan Jibrail mengadap kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun." 

Maksud ayat itu keupayaan malaikat bergerak dalam tempoh sehari saja, sedangkan jika dibandingkan dengan keupayaan manusia mengambil masa 50 ribu tahun.

Para ulama dalam menjelaskan sayap malaikat, menafsirkan dalam pelbagai aspek. Namun, cukuplah kita mempercayai ia sebahagian perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui apa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tanpa membahas lebih panjang. Mempercayai malaikat termasuk dalam Rukun Iman.

Malaikat sentiasa beribadat kepada Allah SWT tidak melakukan dosa, sedangkan iblis pula sepanjang masa ingkar perintah Allah terus hidup dalam kemurkaan Allah.

Ketika malaikat dan jin dipanggil untuk dimaklumkan tentang keputusan Allah SWT untuk menjadikan manusia (Adam) sebagai khalifah di muka bumi, lalu kedua-duanya membantah kerana masing-masing merasakan kejadian mereka lebih mulia dan telah lama patuh kepada Allah SWT.

Namun,  malaikat angkur pada kehendak Allah SWT setelah gagal menjawab pertanyaan Allah SWT mengenai nama-nama tertentu, sedangkan Adam dapat memberi jawapan dengan tepat. Bahkan, Adam diberi penghormatan untuk mengajar malaikat apa yang diketahui itu. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 33 bermaksud: "Allah berfirman: 'Hai Adam, beritahulah mereka nama-nama ini' maka setelah diberitahu kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, 'Bukankah sudah Ku katakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu perlihatkan dan apa yang kamu sembunyikan." 

Setelah 'ujian' itu membuktikan kehebatan manusia, lalu Allah SWT menyuruh malaikat menghormati Adam dan menerima ketetapan bahawa Adam telah dipilih sebagai khalifah. Lalu malaikat segera patuh kepada perintah Allah SWT, kecuali iblis yang terus ingkar dan memilih untuk menjadi makhluk yang menzalimi diri sendiri.

No comments:

Post a Comment