Semasa
menyambut 1 Syawal atau Aidilfitri, kita disunatkan memakai pakaian cantik.
Namun, apa yang dimaksudkan cantik itu tidak semestinya baju atau pakaian
baharu.
Cantik
yang dimaksudkan ialah lebih cantik berbanding hari-hari biasa. Kalau setiap
hari telah cantik, sudah memadai kekal dengan kecantikan itu.
Seorang
hukama pernah berkata: "Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baharu,
tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu."
Semangat
ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap calon yang telah
berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan, itulah makna hari raya
sebenarnya yang dikehendaki syarak.
Begitu
juga dengan semangat 'kembali baru atau fitrah', itulah manifestasi Aidilfitri
yang bermakna kembali (aidil) ke pangkal fitrah (fitri) yang suci dan murni.
Suci dari segala kotoran lahiriah dan batiniah serta bersih daripada noda dan
dosa adalah hasil yang paling berharga pada hari raya ini.
Dalam
pada itu juga, Aidilfitri harus disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang
Esa atas nikmat agung berupa Hari Kebesaran yang dihadiahkan Allah kepada
sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan ibadat puasa pada bulan Ramadan.
Semangat
bermaaf-maafan, iaitu buangkan yang keruh, ambil yang jernih adalah semangat
yang harus diterapkan sempena hari mulia ini. Janganlah hanya kerana isu
memilih kampung untuk beraya contohnya, akhirnya bergaduh suami isteri pada
hari mulia ini. Ia tentunya bertentangan dengan roh atau semangat hari raya
yang berupa hari perdamaian dan berbaik-baik antara sesama Muslim.
Begitu
juga semangat bantu-membantu terutamanya terhadap golongan yang susah, seperti
anak-anak yatim, golongan fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, kaum mualaf dan
seumpamanya. Mereka juga ingin mengecapi nikmat raya dan kemeriahan Syawal yang
menjelang.
Sumbangkanlah
sekadar termampu apa jua bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik
tersebut. Mereka yang dibantu pula jangan lupa berterima kasih kepada yang
menghulurkan bantuan.
Hadis
Nabi SAW bermaksud: "Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang
sedikit, pasti tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak. Sesiapa yang tidak
berterima kasih dengan manusia, sebenarnya, dia tidak bersyukur dengan Allah"
(Riwayat Imam Ahmad).
No comments:
Post a Comment