Monday 22 May 2023

SENIMAN WAHID SATAY BERMULA SEBAGAI PELUKIS

 
Abdul Wahid Bin Ahmad dilahirkan di Inderagiri, Sumatera pada tahun 1930. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Geylang selama 4 tahun dan Sekolah Inggeris selama 2 tahun. Selepas Perang Jepun, Wahid bekerja sebagai kelasi kapal dan telah belayar di banyak negeri di Nusantara dan Eropah selama 9 tahun.
 
Selepas itu Wahid bekerja sebagai Penolong Pelukis dengan Keris Films dalam filem Buluh Perindu. Beliau juga turut berlakon sebagai pelakon tambahan. Selain dari itu, Wahid juga menganggotai kumpulan muzik Chand Ni Rat sebagai penyanyi lagu-lagu lawak.
 
Selepas berlakon dalam beberapa buah filem sebagai pelakon tambahan, Wahid diberi peranan yang melonjakkan nama beliau. Cathay Keris menawarkan Wahid berlakon sebagai penjual satay dalam filem Pontianak. Mulai dari itu, nama beliau melekat sebagai Wahid Satay.
 
Oleh kerana Wahid berjaya menambat hati penonton sebagai seorang pelawak, beliau diberi peranan sebagai hero dalam beberapa buah filem seperti Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tajam, Che Mamat Parang Tumpol (1960), Naga Tasik Chini (1966) Badang (1962) dan banyak lagi.
 
Filem terakhir lakonannya ialah Senario XX yang diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd pada 2005.
 
Apabila demam Pop Yeh Yeh melanda Singapura, Wahid juga tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat beliau menyanyikan lagu-lagu berentak demikian. Beliau menggunakan nama A.Wahid dan diiringi oleh Band The Blue Beats.
 
Bakat dan kebolehan Wahid Satay bukan setakat berlakon dan menyanyi, bahkan beliau juga dapat meniru suara orang lain, serta bunyi binatang seperti burung, ayam dan pelbagai lagi.
 
Malah, setiap kali membuat persembahan pentas arwah lebih suka meniru gaya pelakon komedi Hollywood iaitu Jerry Lewis sehingga beliau digelar 'Jerry Lewis Malaya'.
 
Wahid Satay meninggal dunia pada 22 Mei 2023, jam 0800H pada usia 93 tahun di Singapura.

No comments:

Post a Comment