Saturday, 13 March 2021

MENTALITI JAMBAN

Apa maksud mentaliti jamban? Perkataan ‘mentaliti’ adalah merujuk kepada keadaan atau kualiti kebolehan akal. Ia juga merujuk kepada cara berfikir.

Jamban pula tempat buang air kecil mahun air besar. Jadi, jamban adalah tempat kotor atau tempat membuang benda yang tidak diperlukan badan.

Maka, mentaliti jamban boleh diertikan sebagai keupayaan pemikiran yang amat teruk. Suka kepada perkara buruk dan menjijikkan.

Keputusan hasil berfikir bukan membawa kepada kebaikan, tetapi lebih membawa kepada keadaan lebih teruk dan meloyakan.

Mentaliti jamban lebih kepada sikap pentingkan diri sendiri. Apa sahaja yang dilakukan tidak memikirkan kesan buruk kepada orang lain, organisasi, agama, bangsa dan negara.

Individu bermentaliti jamban hanya memikirkan ‘keuntungan’ yang akan diperoleh. Dia sanggup mengkhianati amanah, menerima rasuah, berbohong dan sebagainya.

Untuk mencapai matlamatnya, dia sanggup melanggar prinsip asal. Apa yang dikatakan pada masa dahulu tidak diperdulikan. Berubah 180 darjah. Berpusing dari utara ke selatan.

Perkara yang dahulunya dianggap baik, bertukar menjadi buruk dan begitulah sebaliknya. Dahulu kawan, kini dianggap musuh. Yang dahulunya musuh bertukar menjadi kawan paling akrab.

Individu bermentaliti jamban tidak kisah apa anggapan pihak lain terhadapnya. Apa yang penting hasratnya tercapai. Dia yakin berbuat demikian kerana yakin akan ada individu atau pihak lain yang juga bermentaliti jamban akan bersama-sama dengannya.

Konsep mentaliti jamban ini banyak dilakukan dalam politik. Asal kehendak dipenuhi, apa sahaja akan dilakukan. Prinsip tidak lagi menjadi perkara penting untuk dituruti.

Demi kuasa, maruah diri tidak lagi dipedulikan. Asal dapat kuasa, ‘maruah’ akan diperoleh. Kuasa yang diperoleh akan menjadikan mereka ‘dihormati’ rakyat biarpun itu sekadar ilusi.

Untuk membersihkan mentaliti jamban ahli politik, rakyat perlu menolak mereka dan jangan terikut-ikut dengan cara mentaliti jamban.

No comments:

Post a Comment